Sebermula penjenamaan semula Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) pada tahun 2013, kelab kebanggaan ini telah mentransformasikan wajah baharu bola sepak negeri Johor. Bukan itu sahaja, konstruksi pascabaharu dalam era komersialisasi empayar Harimau Selatan juga telah berjaya mengubah sosiobudaya dan landskap bola sepak Malaysia.

Menyelongkar retrospeksi sepanjang tahun 2013 sehingga 2021, berikut adalah LAPAN keajaiban empayar unggul ini;

PERTAMA, MENARIK MINAT PEMAIN YANG BERNILAI TINGGI DALAM PASARAN GLOBAL

Sejak dari dahulu lagi, pemain luar negara antara tarikan utama penyokong teruja untuk hadir ke stadium. Memiliki pemain-pemain terkenal dunia beraksi dalam pasukan kesayangan pula adalah impian semua penyokong.

Tanpa ekapaksi yang kukuh, semua ini tidak dapat direalisasikan kerana pemain-pemain ternama ini amat cerewet mengenai reputasi mereka. Namun dengan memiliki prasarana, fasiliti, infrastruktur, kestabilan kewangan serta kesempurnaan dalam pengendalian organisasi, tiada sebab untuk pemain-pemain ini menolak tawaran dari Harimau Selatan.

Imbas kembali, JDT berjaya membawa nama-nama besar ke bumi selatan seperti Simone Del Nero, Daniel González Güiza dan Luciano Gabriel Figueroa Herrera.

Paling diingati, pada 14 September 2013 merupakan detik terhebat dalam sejarah ‘Marquee signing’ Liga Super Malaysia apabila dengan rasminya pemain terkenal dunia iaitu Pablo César Aimar Giordano menandatangani kontrak bersama JDT.

Pablo Aimar, bekas pemain antarabangsa Argentina berusia 34 tahun menyarung jersi nombor 10 Harimau Selatan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim 2013-2014. Beliau bersetuju mengikat kontrak selama lima tahun(2+3) dan diperkenalkan buat pertama kalinya dalam satu majlis di Stadium Tan Sri Dato’ Hj. Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru.

KEDUA, MENJADI TEMPAT PERSINGGAHAN TOKOH DAN LEGENDA BOLA SEPAK DUNIA

Suatu ketika dahulu, kebanyakan penyokong bola sepak Malaysia hanya mampu berimaginasi untuk melihat pemain ternama, tokoh serta legenda bola sepak dunia bertandang ke Malaysia. Melihat di depan mata kelibat mereka beraksi pula menjadi sesuatu yang tidak pernah terlintas dalam pemikiran logikal. Namun dengan kewujudan JDT, semuanya yang mustahil telah menjadi sesuatu yang tidak mustahil.

Himpunan nama-nama besar seperti bekas bintang Portugal, Luis Figo, bekas bintang Brazil, Ronaldo, Roberto Carlos dan Bebeto selain kelibat bekas bintang Argentina, Claudio Caniggia, bekas bintang Itali, Marco Materazzi, bekas bintang Perancis, Robert Pires, bekas bintang-bintang Manchester United, Gary Neville, Ryan Giggs, David Beckam, Juan Sebastian Veron dan ramai lagi pernah singgah di Negeri Johor rentetan tertarik dengan perkembangan progresif kelab JDT.

KETIGA, JARINGAN KERJASAMA KEPAKARAN KELAB BOLA SEPAK TERKEMUKA

Kerjasama kepakaran antarabangsa adalah penting untuk anjakan paradigma kelab. Berikutan dengan itu, organisasi JDT telah mengadakan kerjasama dengan beberapa organisasi bola sepak terkemuka dari seluruh dunia. Dengan keterampilan dan reputasi terkini yang dimiliki oleh JDT, ianya amat mudah untuk diaturkan.

Imbas kembali, JDT berjaya menjalinkan kolaborasi jangka masa panjang dan perkongsian idea bersama kelab-kelab terkemuka dunia seperti Borussia Dortmund (Bundesliga), Paris Saint-Germain FC (Ligue 1), Real Madrid CF, FC Barcelona, Valencia CF, Real Valladolid CF (La Liga), Manchester City FC (EPL) dan Juventus FC (Serie A).

KEEMPAT, MENARIK MINAT PENAJAAN ANTARABANGSA

JDT dilihat menjadi ikon terbaik dalam menarik minat penaja. Dari segi kontekstual, koordinasi bersistematik yang merangkumi strategi, masa dan realistik dalam merencanakan hala tuju perjalanan kelab ini telah menjadi medan magnet untuk menarik minat penajaan syarikat-syarikat elit antarabangsa dalam usaha memanfaatkan kekuatan platform penjenamaan masing-masing melalui perkongsian publisiti dan populariti. Kejayaan pelan kontingensi yang dirangka organisasi dalam mendapat kepercayaan jenama antarabangsa ini, lantas mengkonsolidasikan lagi nilai komersial dan pendedahan jenama JDT ke peringkat global.

Jenama antarabangsa yang telah berkolaborasi bersama JDT adalah NIKE, HUBLOT, UNICEF, Spartan Stadion, SWAG Electric Vehicle, Subway, Aston Martin Racing dan Fraser & Neave (F&N).

KELIMA, STADIUM BERTARAF DUNIA YANG SEMPURNA

22 Februari 2020 telah menjadi sebahagian anotasi dari lipatan sejarah bola sepak Negeri Johor apabila Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri dirasmikan dalam acara yang penuh menakjubkan. Dengan kos pembinaan bernilai RM250 juta ianya menjadi aset kekal paling berharga milik organisasi JDT.

Bermula detik itu, nama Stadium Sultan Ibrahim begitu dikenali dan mendapat publisiti yang ekstensif. Bukan itu sahaja, stadium ikonik ini juga telah mendapat pengiktirafan eksklusif diperingkat global.

Stadium Sultan Ibrahim telah tercalon bagi anugerah ‘2020 Stadium of the Year’ dari laman Web Poland iaitu StadiumDB.com.

Untuk rekod, Stadium Sultan Ibrahim adalah stadium pertama di Malaysia yang dicalonkan dan merupakan antara 20 stadium terbaik di seluruh dunia yang telah tersenarai.

KEENAM, MEMILIKI ASET KEKAL DAN PROJEK REALITI YANG MENAKJUBKAN

Di samping pemilikan pemain, pembangunan fasiliti oleh sesebuah kelab adalah salah satu aset paling relevan pasukan bola sepak. Selain Stadium Sultan Ibrahim, Pusat latihan JDT merupakan antara aset paling berharga yang kini dimiliki. Selain itu JDT juga mempunyai aset-aset kekal berharga seperti stadium mini, pusat medikal, pusat rehabilitasi dan ibu pejabat.

Nilai itu akan semakin bertambah berikutan pengumuman rasmi organisasi JDT bahawa kelab itu akan membina pusat latihan baharu yang mempunyai padang bola sepak ‘indoor’ bersaiz penuh dan kemudahan fasiliti yang serba canggih untuk menempatkan semua pasukan dari skuad senior hingga Akademi JDT bersebelahan dengan Stadium Sultan Ibrahim.

KETUJUH, TUJUH TAHUN MENGEKALKAN KEJUARAAN DAN PENGUASAAN LUAR BIASA DALAM LIGA DOMESTIK

Berbagai pencapaian menakjubkan telah menjadi memorabilia indah. Antaranya adalah JDT menjadi pasukan pertama dari Asia Tenggara memenangi Piala AFC pada tahun 2015. JDT menjadi pasukan pertama muncul juara Liga Super tujuh musim berturut-turut dari tahun 2014 hingga 2020. JDT berjaya mempertahankan rekod tanpa kalah selama 4 tahun di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin iaitu pada tahun 2013 hingga 2017, JDT mencatat rekod tanpa kalah dalam semua 22 perlawanan Liga Super Malaysia pada musim 2016 dan mencatat rekod tanpa kalah dalam semua 11 perlawanan (format saingan secara separuh liga) Liga Super Malaysia pada musim 2020.

JDT merupakan satu-satunya kelab Liga domestik yang telah menerima sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR). Untuk makluman, MBOR adalah badan rasmi yang mengiktiraf pemegang rekod, pemecah rekod dan bertindak sebagai pencatat pencapaian luar biasa dalam Malaysia.

KELAPAN, KEMUNCULAN DIDALAM PERMAINAN PRO EVOLUTION SOCCER (PES) 2020 DAN 2021

Sekitar bulan September 2019, syarikat penerbitan permainan bola sepak elektronik terkenal iaitu KONAMI Corporation telah menyenaraikan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) ke dalam siri permainan Pro Evolution Soccer 2020 (PES 2020) lantas mencatat sejarah sebagai satu-satunya kelab dari Malaysia bersama 32 kelab terbaik dari seluruh Asia berada didalam siri permainan video bola sepak popular dunia tersebut.

Pada musim 2021 pula, JDT sekali lagi menjadi antara kelab terbaik Asia yang menjadi karakter dalam permainan tersebut namun pada kali ini lebih menarik apabila penyokong JDT melalui komuniti Boys of Straits juga jelas kelihatan didalam paparan grafik permainan video Evolution Soccer 2021 (PES 2021).

Akhir penulisan, organisasi JDT sentiasa memberikan fokus dan perhatian kepada aspek kesempurnaan urus tadbir serta perancangan masa hadapan. Elemen-elemen tersebut dilihat pemacu utama dalam stabiliti dan kualitatif yang mencetus keajaiban empayar hebat Harimau Selatan!