Umpama mempunyai butang mara laju, musim dua puluh dua puluh satu terasa sungguh pantas untuk berakhir. Secara rasminya Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sempurna dimahkotakan sebagai juara buat kali kelapan berturut-turut.

    Menyelongkar retrospeksi kejuaraan sepanjang tahun 2014 sehingga 2021, berikut adalah beberapa memori yang sentiasa diingati ketika sambutan kejuaraan JDT;

    STADIUM LARKIN MENJADI SAKSI ENAM EPISOD KEJUARAAN HARIMAU SELATAN

    JDT rasmi ditabalkan sebagai juara Liga Super Malaysia 2014 apabila berjaya menewaskan pasukan Sarawak FA dengan jaringan 1-0 di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak pada 25 jun 2014 iaitu pada perlawanan terakhir liga super Malaysia pada musim tersebut.

    Sambutan untuk meraikan kejayaan tersebut telah dilakukan pada 26 Jun 2014 sejurus barisan jurulatih dan para pemain JDT tiba di Johor Bahru. Berlokasi di Stadium Tan Sri Dato Hassan Yunos, Larkin, seramai 30,000 orang penyokong merah biru telah menyaksikan buat pertama kalinya JDT menjulang kejuaraan Liga Super Malaysia setelah sekian lama bola sepak Negeri Johor ketandusan kejuaraan dalam kejohanan domestik.

    Rentetan dari kejayaan tersebut, stadium keramat tersebut telah menjadi saksi, kejuaraan demi kejuaraan yang telah dijulang saban musim.

    Pada tanggal 19 Julai 2019, kejayaan JDT melakar sejarah apabila tampil sebagai kelab pertama yang berjaya menjulang hatrik berganda kejuaraan Liga Super Malaysia menjadi sebuah memorabilia terindah buat Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin sebelum skuad Harimau Selatan bermigrasi ke Stadium Sultan Ibrahim bagi saingan Liga Super Malaysia musim 2020.

    ERA BAHARU PIALA LIGA SUPER MALAYSIA

    20 September 2017. JDT telah dinobatkan selaku juara Liga Super buat kali keempat berturut-turut pada aksi ke-19 dan hanya turun bagi melengkapkan jadual terakhir menentang pasukan Kelantan pada perlawanan ke-22. Walaupun telah sah menguasai singgahsana liga, JDT tetap turun beraksi dengan misi melebarkan rekod tanpa sebarang kekalahan di Stadium Larkin kepada 55 perlawanan.

    Paling memberi keterujaan, pada malam itu, buat pertama kalinya piala baharu Liga Super Malaysia telah dipertonton kepada umum. Piala yang mempunyai berat 20 kilogram itu diperbuat daripada campuran tembaga, perak dan emas tulen 24k memberi indikator tambah nilai prestij persaingan Liga Super Malaysia. Nama JDT telah diukir di bahagian bawah belakang piala manakala Logo pasukan JDT juga dipateri di bahagian pusat piala menonjolkan lagi kualitatif eksklusif dan elegen piala tersebut.

    Majlis penyampaian piala disempurnakan sejurus tamat perlawanan. Ini merupakan antara majlis sambutan besar-besaran diadakan sebagai satu simbolik kepada pencapaian luar biasa Harimau Selatan pada musim 2017.

    Pertunjukkan ‘Projector Mapping’ pada menara jam di Dataran Bandaraya Johor Bahru dan pertunjukan bunga api antara acara mega telah dibuat pada musim tersebut.

    PENGLIBATAN ASKAR TIMBALAN SETIA NEGERI (JMF) SUATU PENGHORMATAN

    JDT mengesahkan kejuaraan Liga Super 2018 buat kali kelima selepas menewaskan Perak 2-1 di tempat lawan pada 10 Julai 2018, ketika saingan liga masih berbaki empat perlawanan.

    Namun, sambutan kejuaraan telah diadakan 10 hari selepas itu iaitu sejurus tamat aksi Liga Super Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin dengan menyaksikan JDT menang 4-0 ke atas Kelantan FA pada 20 julai 2018.

    Sambutan kejuaraan Liga Super Malaysia kali kelima berturut-turut JDT itu disambut amat berbeza dari sambutan-sambutan sebelumnya. Pada musim tersebut, upacara pengiringan piala telah dilakukan oleh Askar Timbalan Setia Negeri (JMF). Perarakan membawa piala bermula dari Bangunan Sultan Ibrahim dan dibawa masuk ke padang sebelum acara penyerahan piala bermula. Dengan iringan unit pancaragam JMF, piala itu telah diletakkan di atas pentas kejuaraan dan kemudiannya dijulang oleh barisan kejurulatihan, para pemain dan juga pihak pengurusan organisasi.

    Selesai sambutan di stadium, barisan kejurulatihan, para pemain dan pengurusan organisasi dibawa berarak mengelilingi bandar raya Johor Bahru bersama piala menaiki bas tanpa bumbung sebelum ke Dataran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bagi acara sambutan bersama penyokong. Selain Pentas berkonsepkan ‘360 degree view’ beserta dengan kesan pencahayaan yang menarik, penyokong disajikan pertunjukan bunga api berirama terbesar yang mengagumkan.

    INTEL KETENGAHKAN ‘DRONE LIGHT SHOW’ SAMBUTAN KEJUARAAN HATRIK BERGANDA JDT

    Fenomena! Kejuaraan enam kali berturut-turut JDT pada musim 2019 diraikan dengan elemen futuristik yang bersifat sofistikated. Selepas perlawanan terakhir menentang Terengganu FA pada 19 Julai 2019, sambutan kejuaraan Liga Super Malaysia 2019 terus berlangsung di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin dan diakhiri dengan penuh gemilang di Dataran Bandaraya Johor Bahru.

    Pada musim tersebut, organisasi JDT telah berkolaborasi bersama Syarikat teknologi global terkemuka, Intel bagi sambutan kejuaraan Liga Super Malaysia kali keenam berturut-turut Harimau Selatan.

    Sambutan kejuaraan tersebut mempersembahkan pertunjukan dron yang dikoreografikan menggunakan sebanyak 300 dron ‘Intel Shooting Star’ dengan mengaplikasikan teknologi ‘Drone Light Show’.

    Upacara tersebut juga mendapat liputan ekstensif apabila rakaman persembahan dron sewaktu sambutan kejuaraan yang dimuatnaik Intel telah dikongsi 38 juta pengikut Facebook Intel di seluruh dunia seperti Jepun, Korea, Australia, New Zealand, Indonesia, Thailand, Vietnam, Singapura dan Filipina.

    SEBUAH APRESIASI, SAMBUTAN KEJUARAAN KETUJUH DAN KELAPAN DALAM NORMA BAHARU

    DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor mendedikasi 8 kejuaraan Liga Super Malaysia yang dimenangi JDT sepanjang penglibatan dalam konkurensi kepada setiap lapisan dalam struktur keluarga JDT.

    Kerana itu, majlis penghargaan untuk para penyokong tetap diadakan walau dibelenggu pandemik Covid-19. Namun tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 telah menghalang kemasukan penyokong ke stadium. Konsekuensi prosedur tersebut, secara konseptualnya, buat julung kali program ‘in car viewing party’ telah diperkenalkan pada 12 Oktober 2020, iaitu pada perlawanan terakhir persaingan Liga Super Malaysia 2020 yang dilangsungkan di Stadium Sultan Ibrahim.

    Pada hari itu, 1,500 kenderaan dinaiki penyokong skuad Harimau Selatan telah menyaksikan secara langsung perlawanan JDT menentang Sabah FC termasuk gimik ‘extended reality’ dan pertunjukan bunga api melalui lima skrin layar gergasi yang disediakan di luar pekarangan stadium.

    Pada 12 September 2021, selepas perlawanan terakhir liga bagi musim 2021, JDT sekali lagi menjulang piala dalam norma baharu. Sambutan Kejuaraan Liga Super Malaysia Lapan Kali Berturut-Turut di Stadium Sultan Ibrahim sekali lagi dibuat secara ‘in car viewing party’ serta mendapat liputan secara langsung di rangkaian televisyen yang berjaya menarik jutaan tontonan. Seperti musim 2020, sebanyak 1,500 kenderaan dinaiki penyokong skuad Harimau Selatan disajikan dengan sambutan begitu bergaya seperti persembahan ekstravaganza ‘Augmented Reality’, persembahan Cahaya Laser, letusan cahaya bintang piroteknik yang menerangi Iskandar Puteri serta perarakan Bas ke Tempak Letak Kenderaan penyokong Harimau Selatan.

    Akhir penulisan, Kejuaraan. Bagi organisasi JDT, ianya bukan hanya mengenai menjulang piala. Ia mengenai bagaimana meraikan kejuaraan dengan bergaya.

    “JDT doing JDT things!”