Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) kini telah mula merencanakan aspirasi mencongak perjalanan terbaharu dalam penampilan kali ketiga dalam kempen Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim 2021.

    Kira detik, hanya tinggal beberapa hari sahaja sebelum cabaran Kumpulan G bermula secara rasmi. Debaran juga menggoncang kerinduan apabila musim ini merupakan tahun kedua penyokong setia terhalang dari menemani kesateria Harimau Selatan untuk berjuang di Liga Juara-Juara AFC (ACL).

    KASHIMA ANTLERS, AIR MATA KELAB TERKEMUKA YANG PERNAH JATUH DI LARKIN

    Keseluruhan barisan kejurulatihan dan pemain JDT telah menunjukkan komitmen serta konsentrasi yang menakjubkan dalam cabaran Liga Juara-Juara AFC (ACL) sejak debut pertama JDT pada musim 2019.

    Menyelongkar semula nostalgia serta retrospeksi kejohanan elit tersebut pada musim 2019, tarikh 8 Mei 2019 menjadi antara pencapaian terbaik Harimau Selatan setelah berjaya membuat kejutan terhebat ketika menentang gergasi Jepun, Kashima Antlers di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin. Pada aksi Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL) itu, JDT berjaya menundukkan kelab elit tersebut dengan jaringan 1-0.

    Sebuah pencapaian kontingensi berikutan reputasi unggul Kashima Antlers ketika itu sebagai juara Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2018, yang mana pernah melangkah jauh sehingga ke perlawanan akhir bertemu barisan bintang Los Blancos di FIFA Club World Cup 2016.

    Jaringan tunggal Syafiq Ahmad akan sentiasa diingati oleh semua penyokong Harimau Selatan. Dijadikan bekalan terbaik, menjana cetusan sebuah keyakinan bahawa segala yang mustahil boleh diubah menjadi kenyataan.

    MEMORABILIA LIGA JUARA-JUARA AFC (ACL) MUSIM 2020

    Masih segar dalam ingatan, pada 3 Mac 2020 berlangsungnya perlawanan kedua JDT dalam persaingan Liga Juara-Juara Asia (ACL). Selepas kekalahan pertama kepada kelab yang dibarisi beberapa bintang terkemuka dunia Vissel Kobe, JDT tidak menoleh kebelakang lagi.

    Pada perlawanan kedua, JDT turun menentang juara Piala FA Republik Korea, Suwon Samsung Bluewings. Keseluruhan pemain Harimau Selatan mempamerkan aksi luar biasa seterusnya melakar kejutan dengan membenam kelab elit itu 2-1 pada aksi Kumpulan G, Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim. Gol-gol JDT dijaringkan oleh Gonzalo Cabrera pada separuh masa pertama melalui sepakan penalti dan Mauricio Nascimento sekali lagi menjadi wira Harimau Selatan setelah menjaringkan gol kemenangan.

    Paling manis, kejayaan JDT menundukkan Suwon Samsung Bluewings telah disaksikan 25,524 orang penyokong setia Harimau Selatan.

    FAKTOR KESIHATAN, JDT TIDAK DIBENARKAN BERAKSI DI ACL 2020

    12 November 2020, JDT terpaksa mengorbankan penyertaan dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) yang bersambung di Doha, Qatar berdasarkan polisi kesihatan dan keselamatan rentetan gelombang ketiga pandemik Covid-19 sehingga memaksa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan pihak Kerajaan Malaysia.

    Pengarah Teknikal Bolasepak JDT, Alistair Edward mendedahkan bahawa JDT jelas kecewa apabila tidak dapat mengambil bahagian dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) namun pada masa yang sama reseptif serta menghormati keputusan kerajaan Malaysia atas faktor keselamatan setiap orang termasuk keseluruhan skuad JDT menjadi keutamaan.

    KALI KEDUA PENGAJURAN PERLAWANAN SECARA BERPUSAT ATAU KARNIVAL LIGA JUARA-JUARA AFC (ACL)

    Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2021 akan menjadi edisi ke-40 kejohanan bola sepak kelab utama Asia yang dianjurkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

    Pada tahun ini, sekali lagi AFC telah menetapkan perlawanan di peringkat kumpulan berkonseptualkan perlawanan berpusat atau karnival setelah kejayaan penganjuran musim 2020 di Doha, Qatar. Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok, Thailand telah dipilih sebagai tuan rumah bagi perlawanan yang berlangsung bermula 22 Jun sehingga 7 Julai 2021.

    Pada musim ini, JDT akan memberi saingan kepada Nagoya Grampus iaitu kelab tempat ketiga liga utama Jepun (J1 League), FC Pohang Steelers kelab tempat ketiga liga utama Republik Korea (K League 1) dan Ratchaburi FC kelab tempat kelapan liga utama Thailand (Thai League 1) dalam Kumpulan G.

    JDT akan memulakan aksi pada Selasa, 22 Jun 2021 menentang Kelab gergasi Jepun Nagoya Grampus dan tanggal itu menjadi indikator awal perjuangan getir persaingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) bagi musim 2021.

    TIDAK SESEKALI GENTAR DENGAN CABARAN YANG HADIR

    Terdapat korelasi yang kuat antara wawasan, matlamat serta tanda aras yang mahu dicapai oleh sesebuah pasukan. Mengambil contoh teoretikal, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) JDT pada persaingan Liga Juara-Juara AFC (ACL),
    akan diletakkan secara realistik dan bukan sebagai eksperimentasi yang sekadar meraih publisiti atau populariti.

    Kontradiksinya, faktor ini telah menjadikan JDT sentiasa bersedia untuk berkembang dari musim ke musim. Sentiasa dahagakan kejayaan dan sentiasa berkemahuan tinggi untuk menggapai lebih banyak kemajuan.

    Penyertaan JDT di Liga Juara-Juara AFC (ACL) juga telah berjaya membawa JDT keluar dari belenggu kontekstual konvensional persepsi bahawa kelab dari Malaysia hanya sebagai pelengkap kumpulan persaingan elit rantau Asia tersebut. Harimau Selatan sentiasa tampil sebagai sebuah kelab kecil yang berjiwa besar dalam persaingan kelab-kelab elit di Liga Juara-Juara AFC (ACL). Tidak sesekali gentar walau sebesar mana reputasi sesebuah kelab yang akan ditentang. Kashima Antlers, Gyeongnam FC dan Shandong Luneng antara kelab-kelab terkemuka Asia yang berhempas pulas menentang semangat membara Harimau Selatan.

    Akhir kata, walaupun sehebat mana cabaran yang bakal dilalui keseluruhan kem Harimau Selatan, para penyokong Merah Biru serta seluruh rakyat Malaysia sudah pastinya akan mendoakan kegemilangan dan kejayaan JDT dalam perjalanan membawa nama Malaysia ke mata dunia.

    Ayuh kita jadikan misi mustahil kepada tidak mustahil. Selamat berjuang Merah Biruku!