Memasuki pascabaharu dalam era komersialisasi, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya menjadikan dua stadium utama iaitu Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin dan Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri tampil sebagai antara stadium terbaik yang menjadi lokasi ideal untuk aktiviti riadah bersama keluarga serta pusat tarikan pelancongan baharu Negeri Johor.
Berikut adalah idea destinasi aktiviti riadah secara kolektif di dua lokasi tersebut yang bakal menjanjikan pengalaman menarik, menyeronokkan, interaktif dan membangkitkan adrenalin seisi keluarga untuk cuti hujung minggu, sekolah atau umum.
MENGINTAI SEJARAH ‘JOY OF LARKIN’ DAN MEMBELI BELAH BARANGAN ASLI JDT DARI PENGEDAR RASMI DI STADIUM TAN SRI DATO HAJI HASSAN YUNOS
Sekitar 20 Januari 2018, pembukaan secara rasmi Galeri bola sepak Johor Jepun di perkarangan Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin. Hasil kerjasama Persatuan Persahabatan Johor Jepun (JJFA) dan JDT, galeri seluas 1,300 kaki persegi itu berfungsi sebagai simbolik peringatan ulang tahun ke-20 kelayakan pasukan bola sepak kebangsaan Jepun mara ke Piala Dunia 1998 buat pertama kali selepas menewaskan Iran.
Dengan konsep “Dari Larkin Ke Dunia”, galeri ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu alegori kejayaan ‘Joy Of Larkin’ dan naratif kebangkitan JDT dalam arena bola sepak domestik. Galeri bola sepak Johor Jepun dibuka setiap hari kecuali hari khamis dan beroperasi dari pukul 10.00 pagi hingga 5.00 petang.
Pengunjung bukan sahaja disajikan dengan koleksi memorabilia bergambar aksi bola sepak klasik serta historiografi Samurai Biru 1997 di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin tetapi juga fakta-fakta berkaitan kebangkitan menakjubkan Harimau Selatan di kancah bola sepak tempatan dan Asia Tenggara. Untuk makluman, galeri ini turut menjual barangan-barangan cenderamata rasmi JDT.
Selain itu, bertempat bersebelahan Galeri bola sepak Johor Jepun pula, terletak sebuah premis yang menjual barangan-barangan rasmi Harimau Selatan seperti beg, aneka baju dan banyak lagi. Dengan harga berpatutan, JDT Merchandise Store (BB sports) menawarkan barangan berkualiti terbaik kepada pembeli.
MERASAI AURA MEMBARA PENYOKONG SETIA DI MARKAZ B.O.S, LARKIN DAN ISKANDAR PUTERI
Pada tarikh 30 Januari 2015, Komuniti Boys Of Straits telah memulakan langkah awal apabila bertindak membuka cawangan pertama ‘Markaz B.O.S’ di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin. Pusat jualan yang menjual pelbagai cenderahati rasmi komuniti ini dibuka setiap hari dari jam 9.00 pagi sehingga 9.00 malam.
Disamping membeli belah di pusat jualan komuniti ini, pengunjung wajib merakam kenangan di satu sudut epik yang telah disediakan. Selain itu, pengunjung juga dapat menyaksikan secara langsung koleksi pingat kemenangan dan jersi edisi pemain (player issue) yang telah disumbangkan oleh beberapa pemain JDT kepada komuniti tersebut.
Tidak stagnasi di situ, pada 28 Februari 2020 ketika berlangsungnya perlawanan pertama musim 2020 iaitu perebutan Piala Sumbangsih, komuniti ini telah mengorak satu lagi langkah dengan membuka cawangan ‘Markaz B.O.S’ di aras bawah, Zon B Stadium Sultan Ibrahim. Untuk makluman, tidak seperti cawangan di Larkin, premis ini hanya beroperasi pada hari perlawanan bermula jam 5.00 petang sehingga 9.00 malam.
‘JDT HUMMER TOUR’, PENGALAMAN LAWATAN STADIUM DENGAN PENUH BERGAYA
Pada tanggal 24 September 2016 buat pertama kalinya, JDT Hummer H2 Limosin rekaan khas telah digunakan untuk perarakan meraikan kejuaraan hatrik Liga Super Malaysia.
Kini pengalaman menaiki JDT Hummer H2 Limosin rekaan khas itu bukan sahaja dapat dirasai oleh para pemain dan kakitangan JDT tetapi juga terbuka kepada semua pengunjung apabila pada tanggal 1 April 2022, JDT Hummer Tour telah memulakan operasi buat julung kalinya lantas menjadi tarikan baharu di Stadium Sultan Ibrahim.
Dengan kadar bayaran serendah RM30, JDT Hummer Tour akan membawa pengunjung secara eksklusif mengelilingi stadium selama 10 minit. JDT Hummer Tour beroperasi pada hari Jumaat hingga Ahad dari jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang. Untuk musim cuti sekolah pula, masa operasi dibahagi kepada dua sesi iaitu 9.00 pagi sehingga 12.00 tengahari dan 5.00 petang sehingga pukul 10.00 malam.
MENIKMATI KEINDAHAN MALAM,
MENJAMU SELERA DI PREMIS YANG DISEDIAKAN DI DALAM STADIUM SULTAN IBRAHIM
Selain JDT Hummer Tour, Stadium Sultan Ibrahim milik Kelab JDT mempunyai begitu banyak kemudahan dan aktiviti untuk dinikmati para pengunjung ketika melawat stadium yang menjadi mercu tanda empayar Harimau Selatan ini.
Pihak pengurusan stadium juga telah membuat perancangan rapi untuk membuka lebih banyak kedai komersil di 29 lot premis sedia ada serta 4 lot premis yang diperuntukan untuk restoran dan kafeteria pada masa akan datang.
Sebagai permulaan, Restoran Woodfire Burger telah membuka perniagaan secara rasmi pada 1 April 2022. Restoran ini beroperasi setiap hari selasa hingga ahad dari jam 12.00 tengahari hingga 10.00 malam. Ketika perlawanan berlangsung, masa operasi dilanjutkan sehingga jam 12.00 malam.
Rasionalnya, Stadium Sultan Ibrahim menjadi lebih menakjubkan apabila waktu matahari terbenam. Limpahan cahaya merah biru yang menggunakan teknologi LED bergemerlapan dari stadium sofistikated tersebut menjadikan Stadium Sultan Ibrahim sebagai salah satu lokasi terbaik untuk menikmati keindahan malam di Negeri Johor.
Akhir kata, dedikasi kepada keluarga JDT dan seluruh penyokong bola sepak tanah air. Nikmatilah pengalaman aktiviti riadah dan percutian era baharu melalui kemajuan inovasi prasarana dan fasiliti hebat Harimau Selatan.