Musim dua puluh dua puluh adalah musim yang akan sentiasa diingati sebagai musim yang penuh dengan sejarah dan kontingensi. Bercampur baur ekspresi, gabung jalin suka dan duka partisipasi dari awal musim hingga penghujung.
Selepas upacara berprestij memperkenalkan jersi terbaharu Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 2 Februari 2020, beberapa lagi perkara menarik pada musim ini yang harus sentiasa dikenang.
MAJLIS PERASMIAN EKSTRAVAGANZA STADIUM SULTAN IBRAHIM
22 Februari 2020 menjadi sebahagian dari lipatan sejarah bola sepak negeri Johor apabila stadium tercanggih di rantau Asia Tenggara, Stadium Sultan Ibrahim yang berlokasi di Iskandar Puteri dirasmikan penuh menakjubkan.
Konseptual reka bentuk stadium diinspirasi daripada bentuk daun pisang. Mempunyai kapasiti maksimum 35,000 penonton selain menggunakan rumput Zeon Zyosia yang mencapai standard Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA), sistem pencahayaan, sistem bunyi dan kemudahan penyiaran yang moden.
Stadium Sultan Ibrahim representasi kepada indikator kejayaan DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor. Paling menarik, baginda terlibat secara langsung dalam projek ini antaranya seperti kedudukan stadium, penambahan kepingan cermin di sekeliling kawasan dalam stadium, kedudukan kerusi penyokong, meninggikan sedikit kedudukan kerusi di bahagian astaka utama dan juga meletakkan lampu LED berwarna merah, biru juga putih disekeliling luar stadium untuk pencahayaan pada waktu malam serta lain-lain lagi dari semasa ke semasa.
KEJUARAAN HATTRIK PIALA SUMBANGSIH, PIALA PERTAMA DI JULANG DI STADIUM BAHARU
28 Februari 2020 buat pertama kalinya penyokong Harimau Selatan bersatu menyokong kelab kebanggaan ini di stadium baharu Stadium Sultan Ibrahim. Piala Sumbangsih menjadi perlawanan pertama musim 2020 JDT setelah dijadualkan bertemu pasukan Kedah FA.
Mauricio Nascimento mencatat nama sebagai penjaring setelah berjaya menanduk masuk pada minit ke-44. Kedudukan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan. JDT menjulang Piala Sumbangsih buat kali ketiga berturut-turut. Sebelum ini JDT telah berjaya merangkul lima edisi kejuaraan Piala Sumbangsih selepas memenanginya pada edisi 2015, 2016, 2018 dan 2019.
Dua rekod telah tercipta pada malam itu. Pertama, Mauricio Nascimento menjadi pemain pertama menjaringkan gol di Stadium Sultan Ibrahim dalam persaingan CIMB Liga Super Malaysia. Kedua, Piala Sumbangsih 2020 menjadi piala pertama dijulang bersaksikan stadium ikonik tersebut.
JDT MEMBERI PERSAINGAN SENGIT DALAM KUMPULAN G DALAM SAINGAN ACL
3 Mac 2020 berlangsungnya perlawanan kedua JDT dalam persaingan Liga Juara-Juara Asia (ACL). Selepas kekalahan pertama kepada kelab yang dibarisi beberapa bintang terkemuka dunia Vissel Kobe, JDT tidak menoleh kebelakang lagi.
Pada perlawanan kedua, JDT turun menentang juara Piala FA Republik Korea, Suwon Samsung Bluewings. Keseluruhan pemain Harimau Selatan mempamerkan aksi luar biasa seterusnya melakar kejutan dengan membenam kelab elit itu 2-1 pada aksi Kumpulan G, Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim. Gol-gol JDT dijaringkan oleh Gonzalo Cabrera pada separuh masa pertama melalui sepakan penalti dan Mauricio Nascimento sekali lagi menjadi wira Harimau Selatan setelah menjaringkan gol kemenangan.
Paling manis, kejayaan JDT menundukkan Suwon Samsung Bluewings telah disaksikan 25,524 orang penyokong setia Harimau Selatan. Pada malam itu, JDT bukan sahaja berjaya mendapat tiga mata penuh malah berjaya mendapat habuan bonus kemenangan (bonus prestasi) sebanyak USD 50,000 yang telah diperuntukan dalam persaingan liga bola sepak paling elit di Asia tersebut.
BERMAIN SATU PUSINGAN LIGA SUPER MALAYSIA 2020
14 Mac 2020, perlawanan menentang Felda United FC menjadi perlawanan terakhir sebelum direktif badan pengurusan liga tempatan, Malaysia Football League (MFL) menghentikan kesemua perlawanan secara drastik. Tiga kemenangan dan satu seri menjadikan Harimau Selatan berada di kedudukan nombor satu sebelum semua perlawanan liga telah digantung akibat penularan pandemik Covid-19.
Dalam usaha untuk memastikan persaingan musim 2020 tidak terkubur begitu sahaja, MFL telah merancang untuk meneruskan CIMB Liga Super Malaysia dengan saingan secara separuh liga. Maka, sekitar 28 Ogos 2020 CIMB Liga Super Malaysia bersambung dari perlawanan kelima hingga perlawanan ke sebelas dengan semua perlawanan mengikut jadual asal. Perlawanan telah diadakan tanpa penonton berdasarkan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) serta garis panduan daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) juga Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
JDT tidak menunggu masa yang lama untuk mencari rentak dan mempamerkan aksi agresif sehingga berjaya mencatatkan keputusan-keputusan yang begitu menakjubkan. Perkara itu dibuktikan apabila JDT berjaya menundukan pasukan pesaing seperti Perak dan Selangor dengan nisbah jaringan yang besar. Untuk rekod, pasukan-pasukan ini telah dibelasah dengan mudah oleh JDT pada perlawanan pusingan keenam dan kelapan dengan keputusan 7-0 dan 6-1.
SAMBUTAN KEJUARAAN KETUJUH DALAM STADIUM YANG KOSONG
2 Oktober 2020, perlawanan menentang Sabah FA pada pusingan kesepuluh merupakan perlawanan terakhir yang dilangsungkan di Stadium Sultan Ibrahim. Pada perlawanan itu, JDT berjaya menundukkan pasukan Sabah FA dengan jaringan 4-1. Dengan kemenangan tersebut, dua puluh enam mata yang terkumulatif cukup untuk mengesahkan kejuaraan kali ketujuh berturut-turut JDT.
Acara menjulang piala terus dilangsungkan pada malam tersebut. Namun tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 telah menghalang kemasukan penyokong ke stadium. Konsekuensi prosedur tersebut, buat julung kalinya program ‘in car viewing party’ telah dianjurkan. Maka, 1,500 kenderaan dinaiki penyokong skuad Harimau Selatan telah menyaksikan siaran langsung perlawanan JDT menentang Sabah termasuk gimik ‘extended reality’ dan pertunjukan bunga api melalui lima skrin layar gergasi yang disediakan di luar pekarangan stadium.
Pada malam itu juga tercatat satu sejarah apabila Gonzalo Cabrera dianugerahkan sebagai penjaring terbanyak JDT sepanjang zaman setelah menjaringkan lima puluh tujuh gol. Namun disebalik kemeriahan dan kegembiraan meraikan kejuaraan kali ketujuh, penyokong JDT dikejutkan dengan perkhabaran bahawa malam itu merupakan malam terakhir pemain bintang JDT Safawi Rasid menyarung jersi Harimau Selatan sebelum dilepaskan untuk beraksi bersama Portimonense Sporting Clube di Portugal.
PIALA MALAYSIA DIBATALKAN, JDT TIDAK DIBENARKAN BERAKSI DI ACL
12 November 2020, MFL mengumumkan saingan Piala Malaysia 2020 dibatalkan setelah rayuan untuk meneruskan kejohanan itu ditolak oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) rentetan gelombang ketiga pandemik Covid-19 sehingga memaksa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan kembali.
Bukan itu sahaja, JDT juga terpaksa mengorbankan penyertaan dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) yang bersambung di Doha, Qatar berdasarkan polisi kesihatan dan keselamatan.
Pengarah Teknikal Bolasepak JDT, Alistair Edward mendedahkan bahawa JDT jelas kecewa apabila tidak dapat mengambil bahagian dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) dan juga pembatalan Piala Malaysia 2020 namun pada masa yang sama reseptif serta menghormati keputusan kerajaan Malaysia. Keselamatan setiap orang termasuk keseluruhan skuad JDT menjadi keutamaan.
Akhir kata, tetapkan pandangan ke arah horizon yang jauh dihadapan maka kita akan nampak jalan sebenar. Biarpun jalan itu panjang, kita akan bersama merintisnya perlahan-lahan. Demi Johor! Bersukat darah, bertimbang daging.
2021! Kami bersedia menyahut cabaran baharu!
“Jangan biarkan sesiapa mengatakan anda terlalu muda untuk mencapai sesuatu. Ingat, anak harimau tetap seekor harimau”-DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
Sumber artikel: Media JST
Hidup Johor Demi Johor