Pandemik COVID-19 yang menyerang tanah air telah mengintimidasi serta menjejaskan kerancakan persaingan Liga Malaysia 2020 hingga memaksa badan penganjur Malaysian Football League (MFL) mengeluarkan ultimatum supaya kempen Piala FA dibatalkan.
Pada Musim 2021, MFL sekali lagi telah membuat keputusan untuk mengeluarkan saingan Piala FA daripada kalendar musim 2021 rentetan status pandemik COVID-19 ketika itu masih berada di paras cukup membimbangkan selain kebergantungan garis panduan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN), yang memainkan faktor.
Namun setelah ditangguhkan dalam dua musim, menjelang musim baharu 2022, JDT telah kembali bersaing didalam perebutan Piala FA edisi ke-33 setelah badan penganjur MFL mengumumkan saingan Piala FA akan kembali mewarnai kancah Liga Malaysia (Liga-M) 2022 dengan penampilan format baharu.
KRONOLOGI LALUAN HARIMAU SELATAN KE PERLAWANAN AKHIR PIALA FA 2022
Naratif perjalanan Harimau Selatan di kejohanan Piala FA 2022 ini bermula dengan mencatat kemenangan besar 10-0 ke atas wakil Liga M3, BRM FC dalam aksi pusingan pertama Piala FA 2022 pada 13 Mac 2022.
14 Mei 2022 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, JDT telah meranapkan impian Sarawak United dengan kemenangan mutlak 3-0 di pusingan kedua Piala FA lantas melangkah dengan penuh bergaya menuju peringkat suku akhir Piala FA 2022.
Sekitar 23 Julai 2022, Harimau Selatan telah bertandang ke Stadium Hang Jebat, Melaka bertemu Melaka United di peringkat suku akhir Piala FA 2022. Jaringan epik Bergson da Silva pada minit ke 93 telah memuktamadkan kemaraan JDT ke peringkat seterusnya. JDT berjaya menamatkan cabaran tuan rumah dengan keputusan 1-2.
Di peringkat separuh akhir Piala FA 2022 yang telah berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada 5 Ogos 2022, JDT telah membelasah Penang FC dengan jaringan 6-1. Pesta gol dihadapan 34,213 penyokong mengiringi Harimau Selatan menuju ke pentas akhir Piala FA 2022.
Untuk rekod, kali terakhir JDT mara ke perlawanan akhir serta menjulang Piala FA adalah pada 14 Mei 2016 iaitu edisi ke-27 Super Best Power Piala FA musim 2016 dengan menewaskan PKNS FC 2-1 di Stadium Shah Alam, Selangor.
FORESTIERI MASIH MENDAHULUI CARTA PENJARING TERBANYAK PIALA FA 2022
Fernando Forestieri mendominasi kedudukan senarai penjaring terbanyak kejohanan setelah menghasilkan 6 gol setakat ini. Imbas kembali, Forestieri berjaya menghasilkan hatrik pada perlawanan menentang BRM FC di pusingan pertama Piala FA 2022, 2 gol ketika menewaskan Sarawak United di pusingan kedua Piala FA 2022 serta 1 gol ketika bertemu Penang FC di peringkat separuh akhir Piala FA 2022.
Arif Aiman turut berada di kedudukan ke-4 penjaring terbanyak setelah menyumbangkan jaringan hatrik di peringkat separuh akhir tempoh hari manakala Bergson da Silva dan Muhammad Syahmi Safari berada pada kedudukan kelompok ke-7 penjaring terbanyak dengan 2 jaringan terkumulatif.
Selain itu 7 orang pemain JDT tersenarai dalam carta penjaring apabila masing-masing menyumbang 1 gol pada kejohanan ini iaitu Mohamadou Sumareh, K.Daryl Sham, Daniel Amier, Moussa Sidibé, Hazwan Bakri, Nazmi Faiz dan Afiq Fazail.
MENANTI DETIK PERLAWANAN AKHIR PIALA FA, KETERUJAAN MAKSIMA PENYOKONG HARIMAU SELATAN!
Penyokong terbaik, ianya bukan rahsia lagi. Penyokong JDT merupakan antara penyokong terbaik yang mewarnai naratif liga domestik. Dengan kesetiaan tahap tertinggi menjadikan mereka tidak berkira untuk membelanjakan sebahagian wang untuk menyokong percambahan pasukan kebanggaan ini.
Penyokong sentiasa ada walaupun di mana sahaja Harimau Selatan berjuang. Tidak terhad dalam Malaysia sahaja tetapi melepasi sempadan doktrin, ras, agama, rantau dan benua.
Sejak 2013, 19 trofi kejuaraan telah dihadiahkan kepada penyokong Harimau Selatan, namun segalanya tidak melunturkan keterujaan penyokong terhadap kejuaraaan-kejuaraan mendatang yang mahu direbut oleh JDT.
Pentas akhir kejohanan tetap menjadi perlawanan yang begitu dinantikan dan akan diraikan. Nikmat, atmosfera, aura serta keghairahan perlawanan akhir semestinya menjadi ketagihan bagi setiap penyokong Harimau Selatan. Sesungguhnya, pengalaman menyaksikan pasukan bola sepak kegemaran ini bertempur di pentas akhir adalah satu emosi yang unik dan sukar diprojeksi.
Ironinya penyokong Harimau Selatan pastinya tidak sabar menanti detik Perlawanan Akhir Piala FA 2022 antara JDT dan Terengganu FC. Bukan sekadar retorik, satu fenomena luar biasa akan dicipta oleh generasi penyokong terbaik Harimau Selatan ini kelak.
Akhir kata, Keluarga JDT! Ianya bukan sahaja mengenai sejauh mana kita mampu bermimpi. Tapi juga sejauh mana kita berusaha mewujudkannya. Sebuah hasil tidak akan pernah mengkhianati prosesnya. Berikanlah sesuatu yang terbaik, maka kita akan mendapatkan yang terbaik.
Pentas Akhir Piala FA 2022! Kami sudah bersedia!