Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah mentransformasikan wajah baharu bola sepak negeri Johor serta merombak total kuasa, hierarki, sejarah dan tradisi bola sepak tanah air.

    Bukan itu sahaja, konstruksi pascabaharu dalam era komersialisasi empayar Harimau Selatan, JDT juga telah berjaya mengubah sosiobudaya dari sekadar sebuah kelab bola sepak kerdil Asia Tenggara kepada penerokaan pelbagai bidang sukan sehingga berjaya mengkonsolidasikan lagi nilai komersial dan pendedahan jenama ke peringkat global.

    PENGIKTIRAFAN DAN ANUGERAH SUKAN DALAM NEGARA

    Pada 28 Febuari 2024, satu penghormatan buat JDT apabila diumumkan sebagai pemenang Pasukan Lelaki Terbaik pada Anugerah Sukan Johor ke-30 anjuran Majlis Sukan Negeri (MSN) Johor. Anugerah tersebut disampaikan dalam satu majlis gilang gemilang di Persada, Johor Bahru. JDT telah dipilih berdasarkan kejuaraan ‘Perfect 10’ yang seharusnya diiktiraf sebagai satu pencapaian epik dan rekod yang sukar dipecahkan oleh mana-mana pasukan di masa hadapan kelak.

    Namun ini bukan satu-satunya anugerah diterima JDT dari organisasi-organisasi sukan dalam negara. Selama lebih sedekad dalam kewujudan, beberapa lagi anugerah telah dirangkul JDT antaranya mempertahankan anugerah pasukan terbaik lima tahun berturut-turut Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) anjuran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada musim 2018, 2019, 2020, 2021 dan 2022.

    Selain itu, JDT turut menerima pengiktirafan oleh Majlis Sukan Negara (MSN). Pada 13 Mac 2018, JDT menerima Anugerah Khas di Anugerah Sukan Negara (ASN) 2017 atas penghargaan dari sumbangan, kejayaan dan pencapaian yang dicapai pada tahun tersebut. Sejak anugerah ini diperkenalkan oleh Majlis Sukan Negara bermula tahun 1986, JDT merupakan satu-satunya kelab bola sepak dalam negara yang menerima anugerah dalam kategori Anugerah Khas, Anugerah Sukan Negara.

    Kejayaan dan sumbangan JDT juga amat dihargai serta diakui oleh pengamal media arus perdana. Antaranya adalah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM). Sekitar 13 April 2016, dalam majlis Anugerah SAM-100PLUS 2015, JDT menjadi kelab pertama liga super Malaysia yang telah dianugerahkan Anugerah Khas 100PLUS. Anugerah berprestij kewartawanan sukan itu diberikan kerana mengiktiraf kejayaan kontingensi JDT dalam kempen Piala AFC pada tahun 2015.

    Pada 8 Januari 2023, JDT telah dinobatkan sebagai pemenang kategori Ikon Sukan Persatuan/Kelab dalam Anugerah Ikon Sukan Harian Metro yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

    JDT AKAN BERGERAK DALAM KELAJUAN TINGGI DI SAINGAN ARRC 2024

    Sekitar 29 Februari 2024, bertempat di ibu pejabat rasmi JDT, motosikal berkuasa tinggi milik JDT Racing Team secara rasminya telah didedahkan kepada umum.

    240.5 hp, 16.500 rpm, bernombor siri 1634, ekzos berkembar perlumbaan titanium penuh, penutup klac terbuka dalam gentian karbon, kombinasi warna merah, biru, putih di keseluruhan komponen, dilengkapkan teknik imej ‘air brush’ bendera Johor dan Logo JDT, inilah kesempurnaan Panigale V4 R yang digunakan JDT Racing Team di Litar Antarabangsa Chang di Buriram, Thailand kelak.

    Mengimbas kembali trajektori perjalanan JDT Racing Team, sekitar 8 Oktober 2023, jenama JDT di peringkat antarabangsa berpotensi berkembang dengan lebih pesat apabila mengorak langkah menubuhkan kelab lumba motorsikal berkuasa tinggi JDT Racing Team. Paling memberi keterujaan, pelumba terkenal Malaysia Hafizh Syahrin Abdullah akan mewakili JDT Racing Team yang bakal membuat kemunculan pertama di pertandingan Asia Road Racing Championship (ARRC) pada tahun 2024 seterusnya menyasarkan bersaing dalam peringkat lebih tinggi iaitu Superbike World Championship.

    Namun ini bukan kali pertama jenama JDT berada di litar perlumbaan. Imbas kembali, hasil kerjasama strategik bersama syarikat permotoran terkemuka dunia, Aston Martin Racing Asia, logo JDT telah dipaparkan pada rangka aluminium ringan tiga buah kereta lumba Aston Martin Vantage, pasukan UNO Racing Team dalam GT Super Sprint Challenge bagi kategori GT3 dan GT4 yang diadakan di Shanghai, China sekitar 12 september 2021.

    Akhir kata, semua impian akan terwujud jika kita mempunyai keberanian untuk mengejarnya. Sesungguhnya kejayaan yang besar dimulai dengan impian yang besar.

    Luaskan Kuasamu Johor!