Melangkah ke musim baharu, maka bermulalah kontinuiti ambisi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT). Secara teoretikal, setiap musim berganti, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) JDT akan diperbaharui, keupayaan serta nilai prestij akan dipertingkatkan manakala stabiliti dan proteksi kewangan menjadi agenda paling utama organisasi.
    Berikut merupakan beberapa pelan progresif terbaharu Harimau Selatan menuju gerbang musim baharu 2024;
    HECTOR BIDOGLIO KEMBALI, PERANAN BAHARU LEGENDA AIDIL ZAFUAN
    28 Julai 2022, buat pertama kalinya Hector Bidoglio diperkenalkan kepada umum sebagai Ketua Jurulatih baharu JDT menjelang pusingan kedua Liga Super Malaysia musim 2022. Berkuatkuasa 1 Disember 2022 pula, Hector Bidoglio ditugaskan sebagai Pengarah Teknikal kelab yang memainkan peranan yang lebih besar dalam menkonstruksi pembangunan akademi JDT.
    Namun sekitar 29 Disember 2023, JDT yang sentiasa membuat kejutan telah membuat pengumuman rasmi melalui Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim, Alistair Edwards bahawa Hector Bidoglio akan kembali sebagai Ketua Jurulatih Harimau Selatan bagi musim 2024/2025.
    Bukan sekadar retorik, catatan total dominasi melalui kejuaraan Triple Hatrik Liga Super Malaysia, ‘Unbeaten’ kali ketiga dan Quadruple yang dilakar oleh JDT pada musim 2022 seharusnya satu pencapaian yang begitu epik Hector Bidoglio sepanjang mengemudi skuad Harimau Selatan.
    Pada tarikh yang sama pengumuman Ketua Jurulatih baharu JDT iaitu 29 Disember 2023, organisasi JDT mengesahkan bahawa Aidil Zafuan Abd Radzak turut menyertai barisan kejurulatihan Hector Bidoglio.
    Imbas kembali, Aidil Zafuan membuat debut pertama bersama gol kemenangan pada 11 Januari 2013, perlawanan kedua Liga Super Malaysia 2013 (LS2) dengan menewaskan Perak FA 0-1 di Stadium Perak, Ipoh. Selepas itu, musim demi musim berganti, dari 2013 sehingga 2023 bersama JDT, Aidil Zafuan telah memenangi 26 trofi bersama Harimau Selatan sebelum menamatkan karier secara rasmi pada penghujung tahun 2023.
    HIMPUNAN PEMAIN BERKUALITI TINGGI HARIMAU SELATAN
    Sekitar 19 Disember 2023, pemain bintang berpotensi tinggi JDT, Arif Aiman ​​Hanapi telah menandatangani kontrak jangka masa panjang bersama JDT. Dalam usia baharu mencecah 21 tahun, beliau sudahpun dinamakan Pemain Paling Bernilai (MVP) untuk dua musim berturut-turut.
    3 Januari 2024 yang lalu, JDT telah mengumumkan bahawa pemain luar negara yang berasal dari Rosario, Argentina iaitu Jalil Juan José Elías tampil sebagai tenaga import baharu JDT. Kelab terakhir diwakili pemain berusia 27 tahun ini ialah San Lorenzo iaitu kelab terkemuka dari Liga Profesional De Futbol (Argentina) malah menjadi kapten pasukan tersebut.
    Pada tarikh 13 Januari 2024, organisasi JDT mengesahkan telah menandatangani pemain kelahiran Lisbon, Portugal Francisco Geraldes. Menyertai FC Baniyas dari UAE Pro League sebelum ini, beliau diberi penghormatan dibawa ke Ibu Pejabat JDT dengan menaiki limousin mewah Chrysler 300C milik DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
    TERIMA KASIH ATAS SEGALANYA! SEKALI MERAH BIRU, SELAMANYA MERAH BIRU!
    Pemain datang dan pergi. Jurulatih datang dan pergi. Piala kejuaraan datang dan pergi. Kejayaan datang dan pergi, tetapi kelab akan sentiasa kekal.
    Secara konseptualnya, pemain mahupun kakitangan mungkin berubah. Namun koordinasi bersistematik merangkumi strategi, masa, kesempurnaan urus tadbir serta perancangan masa hadapan harus kekal menjadi pemacu utama dalam stabiliti dan kualitatif empayar JDT dalam tempoh jangka masa panjang.
    Imbas kembali, menjelang musim baharu 2024/2025 Liga Malaysia, organisasi telah memgumumkan bahawa beberapa nama besar akan meninggalkan kelab kebanggaan kita ini antaranya ketua jurulatih Esteban Solari, Rodrigo Barrios, Antonio Mateos, Antonio Gavilan dan Dr. Leandro Pinero dari barisan kejurulatihan. Pemain seperti Aidil Zafuan Abd Radzak, S. Kunanlan, Ahmad Hazwan Bakri, Adam Nor Azlin, Leandro Velazquez, Diogo Luis Santo dan Fernando Forestieri juga meninggalkan kelab selepas memberi khidmat cemerlang sepanjang menyarung jersi keramat merah biru ini.
    Akhir kata, segala gerak kerja progresif organisasi menjadikan JDT kekal unggul berkarakteristik hebat setiap kali menjelang musim baharu.
    Luaskan Kuasamu Johor!