Konkurensi Liga Super Malaysia 2021 kini sedang rancak berlangsung sejak kembali bersambung pada 24 Julai 2021. Dalam keadaan perlawanan dijalankan dengan proteksi garis panduan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dilihat giat berusaha memberikan tumpuan paling maksimum dalam mengharungi jadual liga yang padat dan tempoh rehat yang singkat.

    Malah sesi latihan secara ‘Camp Based Training’ atau latihan secara berpusat sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan juga menjadi kelebihan kepada keseluruhan skuad Harimau Selatan dan amat efektif untuk memupuk lebih keserasian dan toleransi dikalangan pemain.

    ENAM KEMENANGAN BERTURUT-TURUT, HARIMAU SELATAN GAH DI PUNCAK

    Jaringan tunggal minit awal Bergson Gustavo Silveira da Silva ketika menentang Melaka United FC cukup untuk mengesahkan tiga mata penuh milik mutlak JDT. Kejayaan menundukkan tuan rumah dalam perlawanan ketujuh belas JDT pada 3 Ogos 2021 di Stadium Hang Jebat, Melaka telah memberi projeksi bahawa JDT semakin mengukuhkan cengkaman di puncak liga.

    Kemenangan itu juga merupakan kemenangan keenam berturut-turut Harimau Selatan sejak menewaskan Kedah FC pada aksi di Stadium Darul Aman ketika jendela pusingan kedua Liga Super Malaysia 2021 bermula pada 4 Mei 2021. Selepas itu, kemenangan demi kemenangan telah menjadi naratif perjalanan Harimau Selatan.

    Konsisten dan sentiasa optimis mengimplementasi misi walaupun berdepan cabaran yang sukar dalam setiap perlawanan adalah bukti yang konklusif bagi skuad JDT. Pengaruh psikososial atas mentaliti, prinsip dan disiplin yang tinggi serta menakjubkan telah berjaya ditunjukkan oleh pemain-pemain JDT lantas menampilkan skuad Harimau Selatan berada pada prestasi optimum dan sentiasa bersedia. Rasionalnya berpandukan eksistensi elemen tersebut memperlihatkan suatu ekstrapolasi bahawa JDT akan kekal superlatif mendominasi arena bola sepak Malaysia.

    Untuk perlawanan seterusnya, JDT akan meneruskan aksi kelapan belas Liga Super Malaysia 2021 pada hari Ahad, 8 Ogos 2021 dengan melayan kunjungan pasukan skuad ‘The Rhinos Tambadau’ Sabah FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. Imbas kembali, JDT telah mencatatkan kemenangan 1-4 keatas Sabah FC hasil jaringan Arif Aiman Mohd Hanapi, Leandro Velazquez dan 2 gol Bergson Gustavo Silveira da Silva ketika bertandang di Stadium Likas pada 6 April 2021.

    HASIL SEMANGAT KERJA BERPASUKAN, BERGSON KINI MESIN GOL JDT

    Bergson Gustavo Silveira da Silva tampil sebagai mesin gol buat Harimau Selatan. Ketajaman penyudah pemain luar negara JDT yang berasal dari Alegrete, Brazil ini telah diterjemahkan apabila tidak pernah gagal menjaringkan gol pada setiap perlawanan sejak 4 Mei 2021. Pemain berjersi nombor sembilan ini juga telah menghasilkan jaringan hatrik ketika perlawanan menentang Perak FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 31 Julai 2021 dalam perlawanan keenam belas Liga Super Malaysia 2021.

    Namun kejayaan itu bukanlah sekadar catatan rekod peribadi. Bukan juga hanya berkenaan kejayaan personal. Namun ianya berkait rapat dengan mekanisme semangat kerja berpasukan dalam JDT. Dengan kukuhnya jalinan ikatan antara satu sama lain, memanifestasikan individu dalam organisasi ini sentiasa berinteraksi secara harmoni, saling menghargai dan membantu satu sama lain.

    Secara rasionalnya, kompetensi yang saling bergantung iaitu dari perspektif keupayaan, kepakaran, kemahiran dan komitmen terhadap ambisi pasukan serta bersedia melaksanakan tugasan secara berganding bahu menjadikan Harimau Selatan sentiasa berbeza, berada dalam kelas yang tersendiri serta berada jauh meninggalkan pesaing-pesaing dalam Liga Domestik tanah air.

    ASTON MARTIN DAN JDT, GANDINGAN BERPRESTIJ

    Mencetak sejarah, melakar kejayaan, mencipta rekod dan memecah tradisi. Segalanya adalah mengenai JDT. Representasi sebuah kelab bola sepak yang sedang membina nama dan mempunyai reputasi unggul di rantau Asia Tenggara.

    JDT amat menitikberatkan kualiti, reputasi, nilai eksklusif, nilai komersial, publisiti dan penjenamaan rentetan mengaplikasikan cetak biru kelab-kelab terkemuka dunia hasil dari kolaborasi sebelum ini.

    Dari segi kontekstual, koordinasi bersistematik yang merangkumi strategi, masa dan realistik dalam merencanakan hala tuju perjalanan kelab ini telah menjadi medan magnet untuk menarik minat penajaan syarikat-syarikat elit antarabangsa dalam usaha memanfaatkan kekuatan platform penjenamaan masing-masing melalui perkongsian publisiti dan populariti. Kejayaan pelan kontingensi yang dirangka organisasi dalam mendapat kepercayaan jenama antarabangsa ini, lantas memperluaskan lagi nilai komersial dan pendedahan jenama JDT ke peringkat global.

    Terbaharu, sejurus mengumumkan penajaan Fraser & Neave (F&N), organisasi JDT telah memberi kejutan apabila mengumumkan secara rasmi pada 27 Julai 2021 bahawa syarikat permotoran terkemuka dunia, Aston Martin Racing Asia telah mencapai kata sepakat untuk memeterai satu penajaan spektakular kepada JDT sehingga membawa kepada memproduksi edisi ‘Supercar’ bertema ‘JDT Edition’ yang akan dibuka kepada pasaran kelak. Lebih mengejutkan lagi, hasil keuntungan dari jualan itu juga akan dikongsi bersama antara JDT dan Aston Martin.

    Paling menarik perhatian, ketika gimik majlis pengumuman rasmi penajaan tersebut, beberapa model kereta Aston Martin berkuasa tinggi seperti Aston Martin DBS Superleggera, Aston Martin DBS V12 dan Aston Martin V8 Vantage GT yang dipandu oleh beberapa pemain bintang JDT tiba bergaya di Stadium ikonik Harimau Selatan.

    Akhir penulisan, interpretasi JDT 2021 adalah korelasi kualitatif serta nilai yang eksklusif, simbolik karakter hebat yang berprestij, kekuatan aspirasi yang tidak dapat dihakis dan ketahanan mentaliti kemenangan yang sukar dicalar.

    Teruskan rentak kemenangan Harimau Selatan! Luaskan Kuasamu Johor!