Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) memberikan tumpuan paling maksimum dalam mengharungi baki perlawanan-perlawanan penting Liga Super Malaysia, Piala Malaysia dan Liga Juara-Juara AFC (ACL) pada bulan November 2023.

    Inspeksi sepanjang bulan November 2023, berikut beberapa perkara menarik yang telah berlangsung dan bakal berlangsung.

    PANCAWARNA BULAN NOVEMBER 2023, MEMORI INDAH HARIMAU SELATAN

    November 2023 baru sahaja berada di pertengahan bulan namun beraneka memori indah telah dihidangkan kepada pengurusan, pemain dan penyokong Harimau Selatan.

    Bermula 2 November 2023, JDT telah merekodkan kemenangan besar 8-1 keatas Perak FC pada peringkat Separuh Akhir Piala Malaysia 2023 (2nd leg) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

    Jaringan penuh bermakna buat penyerang JDT, Syafiq Ahmad di peringkat Separuh Akhir Piala Malaysia 2023 (2nd leg) pada 2 November 2023 apabila berjaya meledak dua gol pada minit ke-61 dan 77. Kali terakhir beliau menjaringkan gol untuk JDT adalah pada 28 Mei 2023 ketika melakar kemenangan besar 5-0 keatas Penang FC di peringkat Suku Akhir Piala FA 2023.

    Sekitar 7 November 2023, disaksikan 19,684 penyokong, JDT berjaya menewaskan kelab yang baharu sahaja dinobatkan Juara KLeague 1 Ulsan Hyundai FC 2-1 pada perlawanan ke-4 pusingan kedua peringkat kumpulan I Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2023/2024. Ini merupakan kekalahan ke-3 berturut-turut kelab bolasepak sensasi Republik Korea tersebut di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

    7 November 2023, perlawanan ke-4 pusingan kedua peringkat kumpulan I Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2023/2024, Akhyar Rashid berjaya merekodkan jaringan peribadi di kejohanan Liga Juara-Juara AFC (ACL) apabila menjaringkan gol pada minit 87 lantas berjaya memberi kemenangan epik JDT mengatasi Ulsan Hyundai FC 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. Perlawanan tersebut merupakan penampilan ke-10 beliau dalam kejohanan tertinggi Asia ini sejak membuat debut pada musim 2018/2019.

    23 NOVEMBER 2023, SAINGAN LIGA SUPER MALAYSIA 2023 KEMBALI BERSAMBUNG

    JDT berjuang dengan mengekalkan konsistensi pada setiap perlawanan di kejohanan Liga Super Malaysia musim 2023. Prinsip psikologi ini adalah antara faktor utama menjadikan JDT sentiasa komited kepada komitmen dan berusaha keras merealisasikan misi satu dekad yang telah ditetapkan.

    Pada situasi terkini, JDT telah melalui 23 perlawanan dan mengumpulkan 67 mata hasil dari 22 kemenangan dan 1 seri. 88 jaringan telah dihasilkan dan hanya bolos 7 kali sejak Liga Super Malaysia 2023 membuka tirai persaingan pada 24 Februari 2023.

    Untuk rekod, JDT menjaringkan 44 gol dari 12 perlawanan ditempat lawan manakala Stadium Sultan Ibrahim menjadi saksi total 44 gol yang terhasil dari 11 perlawanan yang berlangsung. Selain itu, JDT masih mengekalkan rekod cemerlang maraton 18 kemenangan berturut-turut di gelanggang sendiri sejak 24 Jun 2022 dalam kejohanan Liga Super Malaysia.

    Retrospeksi catatan gemilang JDT bermula 2013 di gelanggang sendiri, Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin menjadi kubu kebal Harimau Selatan sejak tahun 2013 hingga 2017. Mengikut rekod, JDT tidak pernah tewas sepanjang 75 perlawanan Liga Super dan mencatat rekod 28 kemenangan berturut-turut sejak 27 Februari 2017 hingga 19 Jun 2019.

    JDT akan meneruskan aksi LS24 Liga Super Malaysia 2023 dengan menentang Kuching City FC pada Khamis, 23 November 2023, 9.00 malam di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

    28 NOVEMBER 2023, FOKUS KEMBALI TERARAH KEPADA KONTINUITI MISI LIGA JUARA-JUARA AFC (ACL) 2023/2024

    Menutup tirai bulan November 2023, cabaran JDT di kompetisi liga bola sepak paling elit di Asia, Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2023/2024 edisi ke-42 akan bersambung. Naib juara liga utama Jepun (J1 League) musim 2023 Kawasaki Frontale akan menjadi lawan JDT dalam aksi ke-5 peringkat Kumpulan I pada Selasa, 28 September 2023 di Stadium Kawasaki Todoroki, Jepun.

    Imbas kembali rekod pertemuan musim 2023, JDT tewas 0-1 kepada Kawasaki Frontale dalam perlawanan pembuka tirai pusingan pertama peringkat Kumpulan I Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2023/2024 yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada 19 September 2023.

    Kedudukan terkini, peluang Harimau Selatan dalam saingan elit ini masih terbuka. 2 kemenangan dan 2 kekalahan menyaksikan 6 mata telah berjaya dikumpulkan setakat ini. Sejumlah 7 gol berjaya dihasilkan dalam 4 perlawanan yang diperolehi dari jaringan Bergson da Silva dan Arif Aiman ​​Hanapi dimana masing-masing telah menyumbang 2 gol manakala 1 gol daripada Heberty Fernandes, Juan Muniz dan Akhyar Rasid.

    Akhir kata, berita buruk mengenai masa ialah ianya akan terus berlalu. Berita baiknya pula ialah hanya kita menentukan arahnya. Maka, percaya pada diri sendiri, hadapi cabaran, cungkil potensi dan takluklah ketakutan.

    Luaskan Kuasamu Johor!