
Media JST
MUSIM BAHARU 2023, PROJEKSI ASPIRASI DAN HALA TUJU HARIMAU SELATAN
Sejak 2013 lagi, aspirasi dan idea organisasi amat jelas iaitu menjadikan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai pasukan terbaik dalam setiap aspek.
Berpegang pada dogma tersebut, tahun demi tahun, keseluruhan komponen dalam organisasi sentiasa berusaha membuat penambahbaikan memantapkan pasukan sedia ada, memperkukuhkan lagi jenama, menambah aset bertaraf dunia dan melonjakkan superioriti setiap pemain dari peringkat akar umbi, skuad senior sehingga bekas-bekas pemain JDT yang pernah berjasa.
KONSISTENSI DALAM PERSAINGAN MEREBUT KEJUARAAN
Perlawanan Piala Sumbangsih musim 2023 telah berlangsung pada hari Jumaat, 24 Februari 2023. Misi pertama Harimau Selatan musim ini iaitu mengekalkan kejuaraan Piala Sumbangsih dilaksanakan dengan penuh bergaya.
Kejayaan menamatkan cabaran Terengganu FC 2-0 di Stadium ikonik kebanggaan, Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri menyaksikan JDT bukan sahaja mengumpul 3 mata sulung malah mempertahankan kejuaraan Piala Sumbangsih buat kali keenam berturut-turut dan 8 kali secara keseluruhan.
Beberapa hari selepas itu, iaitu pada hari Sabtu, 1 Mac 2023. JDT telah meneruskan aksi perlawanan kedua Liga Super Malaysia (LS2) menentang Kuala Lumpur City di Stadium KLFA, Cheras. Keputusan akhir, JDT sekali lagi mengutip 3 mata penuh setelah berjaya menewaskan tuan rumah dengan jaringan 0-3.
Sepanjang dua perlawanan, Juan Muniz Gallego, Bergson da Silva, Endrick Dos Santos dan Arif Aiman Mohd Hanapi telah membuka akaun jaringan manakala rekrut terbaharu JDT Ahmad Syihan Hazmi masih mengekalkan rekod tanpa bolos setakat ini. Harimau Selatan juga masih mempertahankan rekod tanpa sebarang kekalahan dalam semua perlawanan Liga Super Malaysia sejak 14 September 2021.
ORGANISASI JDT SENTIASA MENGENANG INDIVIDU YANG BERJASA
Sebelum sepak mula perlawanan pembuka tirai Liga Super Malaysia 2023, satu majlis penghargaan telah dianjurkan untuk bekas pemain JDT Safee Sali rentetan keputusan beliau untuk bersara daripada arena bola sepak Malaysia. Pemain yang terkenal dengan aksi jaringan akrobatik ini telah memenangi tiga Kejuaraan Liga Super Malaysia, dua Piala Sumbangsih, satu Piala FA dan satu Piala AFC sepanjang menyarung jersi Harimau Selatan dari musim 2013 hingga 2016.
Ironinya, apresiasi dan tidak pernah melupakan jasa mana-mana individu yang pernah menabur bakti pada kemajuan bola sepak negeri Johor dan JDT secara khususnya adalah menjadi prinsip unggul organisasi JDT.
Retrospeksi 3 tahun sebelum itu, sekitar 22 September 2020 melalui kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Pemilik Kelab JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor menegaskan bahawa individu yang pernah menabur bakti dalam organisasi ini akan sentiasa berdampingan dengan setiap kejayaan-kejayaan JDT.
CATATAN HEBAT MUSIM 2023 BERMULA, PROJEK MEGA TERBAHARU ORGANISASI
Misi RM1 Billion, hala tuju jelas serta perancangan jangka masa panjang bersistematik, menampilkan JDT representatif sebagai sebuah kelab yang mempunyai stabiliti kewangan, memiliki proteksi, fleksibiliti, berdikari malah sentiasa mempunyai strategi untuk menambah nilai kelab setiap musim berganti.
Terbaharu, satu sejarah lagi bakal tercipta. Pada tanggal 27 Februari 2023, pemilik Kelab JDT, DYAM Tunku Mahkota Johor telah mendedahkan bahawa organisasi sedang merencana sebuah projek mega bersama syarikat antarabangsa dan tokoh terkenal dalam industri bola sepak global untuk memartabatkan lagi jenama Harimau Selatan. Pelan kontingensi tersebut pastinya akan mengembangkan lagi nilai kelab merentasi jangkauan komersil.
Segalanya dilihat bermula sekitar 23 Februari 2023 apabila organisasi JDT memuatnaik rakaman daripada bekas pemain bola sepak profesional Argentina yang dianggap sebagai seorang pemain terbaik generasinya iaitu Javier Zanetti yang menyatakan akan berkunjung ke JDT tidak lama lagi.
Tidak stagnasi disitu, konseptualisasi ini diperkuatkan lagi dengan kemunculan bekas bintang Brazil iaitu Julio Cesar yang hadir menyaksikan perlawanan Piala Sumbangsih 2023 di Stadium Sultan Ibrahim. Tanpa berselindung, organisasi JDT menyatakan kehadiran Julio Cesar juga adalah berkait rapat dengan potensi menjadi duta kelab bagi Harimau Selatan.
Imbas kembali, himpunan nama-nama besar seperti Luis Figo, Ronaldo, Robert Pires, Marco Materazzi, Lukas Podolski, Gary Neville, Ryan Giggs, David Beckam, Juan Sebastian Veron dan ramai lagi pernah singgah di Negeri Johor rentetan tertarik dengan perkembangan progresif kelab JDT.
Akhir kata, untuk perlawanan seterusnya, JDT akan meneruskan perlawanan ketiga (LS3) Liga Super Malaysia 2023 menentang Negeri Sembilan FC pada hari Isnin, 6 Mac 2023 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan.
Ayuh Merah Biruku! Teruskan perjuangan ini!