Lebih kurang dua minggu berlalu, sehingga kini masih lagi terbayang gol kemenangan minit ke-94 pada 30 April 2022 yang mengesahkan eksplorasi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) diteruskan ke pusingan kalah mati enam belas terbaik Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022 edisi ke-41.
Lebih tujuh belas ribu penyokong yang hadir menjadi saksi kepada peristiwa menakjubkan dalam lipatan sejarah bola sepak negeri Johor. Bukan sekadar retorik, pada detik tersebut, setiap penyokong yang hadir pastinya akan merasa satu kegembiraan yang melepasi paras logikal. Meraikan kejayaan JDT menumpaskan gergasi Asia Ulsan Hyundai pada petang itu pula merupakan satu kepuasan paling maksima dirasakan sepanjang kempen kejohanan tertinggi di Asia itu berlangsung.
FOKUS HARIMAU SELATAN KEMBALI TERARAH KEPADA KONTINUITI CABARAN LIGA SUPER MALAYSIA 2022
Kita tutup sementara magikal kejayaan 30 April 2022. Kejayaan itu tidak seharusnya menjejaskan fokus terhadap persaingan liga domestik membabitkan JDT yang akan bersambung semula pada 11 Mei 2022 kelak.
Imbas kembali, JDT telah melalui perlawanan Piala Sumbangsih 2022, empat perlawanan Liga Super Malaysia 2022 dan melepasi pusingan pertama Piala FA 2022 sebelum Malaysian Football League (MFL) memberi laluan seketika kepada skuad Harimau Selatan yang turun beraksi dalam persaingan peringkat Kumpulan I Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022 edisi ke-41 pada 15 April 2022 sehingga 1 Mei 2022.
Kejayaan menundukkan Terengganu FC 2-1 di Stadium ikonik kebanggaan, Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada perlawanan LS4 10 April 2022 mengalegorikan penutup kisah gembira buat keluarga JDT sebelum keseluruhan pasukan menumpukan fokus sepenuhnya kepada penampilan kali keempat di kejohanan tahunan persaingan liga bola sepak paling elit di Asia iaitu Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022.
REKOD KEMENANGAN TERBESAR YANG DICATAT JDT DI GELANGGANG SENDIRI DAN GELANGGANG LAWAN PADA SAINGAN LIGA SUPER MALAYSIA 2022 SETAKAT INI
JDT yang baharu sahaja melalui 4 perlawanan setakat ini telah mengumpulkan 12 mata hasil dari 4 kemenangan berturut-turut. Untuk makluman, 12 jaringan telah dihasilkan dan hanya bolos sekali sejak Liga Super Malaysia 2022 membuka tirai persaingan pada 4 Mac 2022.
Untuk rekod, sehingga Mei 2022, JDT kekal sebagai pasukan yang mencatat kemenangan terbesar Liga Super Malaysia 2022 digelanggang sendiri dengan menewaskan Sarawak United 6-0 pada perlawanan LS2 9 Mac 2022. Gol-gol JDT disumbangkan oleh jaringan berganda gandingan import sensasi Bergson da Silva dan Fernando Forestieri selain jaringan Carli De Murga serta Safawi Rasid memastikan skuad Harimau Selatan melakar kemenangan bergaya Harimau Selatan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Bukan itu sahaja, JDT juga telah muncul sebagai pasukan yang melakar kemenangan paling besar di gelanggang pihak lawan apabila menundukkan tuan rumah Kuala Lumpur City di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras 0-3 pada perlawanan LS3 6 April 2022. Gol-gol JDT sekali lagi telah dijaringkan oleh duo import berbisa Bergson da Silva dan Fernando Forestieri apabila masing-masing mencetak 2 gol serta 1 gol.
HASIL SEMANGAT KERJA BERPASUKAN MENYERLAHKAN PESONA BERGSON DA SILVA
Sepanjang 4 perlawanan yang telah berlangsung pada kempen Liga Super Malaysia 2022, Bergson da Silva tampil sebagai pemain paling menyerlah buat Harimau Selatan. Ketajaman penyudah pemain luar negara JDT yang berasal dari Alegrete, Brazil ini diterjemahkan apabila berjaya menghasilkan 7 gol dalam 4 perlawanan.
Pemain berjersi nombor sembilan ini juga tanpa gagal dalam mencetak jaringan sepanjang 4 perlawanan Liga Super Malaysia 2022 yang telah berlangsung.
Namun kejayaan itu bukanlah sekadar catatan rekod peribadi. Bukan juga hanya berkenaan kejayaan personal. Namun ianya berkait rapat dengan mekanisme semangat kerja berpasukan dalam JDT. Dengan kukuhnya jalinan ikatan antara satu sama lain, memanifestasikan individu dalam organisasi ini sentiasa berinteraksi secara harmoni, saling menghargai dan membantu satu sama lain.
Secara rasionalnya, kompetensi yang saling bergantung iaitu dari perspektif keupayaan, kepakaran, kemahiran dan komitmen terhadap ambisi pasukan serta bersedia melaksanakan tugasan secara berganding bahu menjadikan Harimau Selatan sentiasa berbeza dan berada dalam kelas yang tersendiri.
HARIMAU SELATAN BERSEDIA MENGHADAPI PERSAINGAN PUSINGAN KEDUA KEJOHANAN PIALA FA 2022
Cabaran JDT didalam pusingan kedua Piala FA edisi ke-33 akan bermula pada Sabtu, 14 Mei 2022, 8.15 Malam di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. Harimau Selatan telah dijadualkan bertemu Sarawak United pada pusingan kalah mati tersebut.
Imbas kembali, JDT telah mencatat kemenangan 10-0 JDT ke atas wakil Liga M3, BRM FC dalam aksi pusingan pertama Piala FA 2022 pada 13 Mac 2022.
Beberapa perkara menarik yang telah tercatat pada perlawanan tersebut, antaranya adalah Fernando Forestieri telah mencatat hatrik pertamanya sejak debut bersama Harimau Selatan pada 27 Februari 2022.
Satu jaringan penuh bermakna buat pemain legenda JDT, Safiq Rahim apabila berjaya menjaringkan satu gol pada minit ke-7 setelah kali terakhir melakukannya pada 20 Julai 2018, iaitu kira-kira 5 tahun yang lalu ketika perlawanan Liga Super Malaysia 2018 menentang pasukan Kelantan FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.
Penampilan sulung pemain muda berpotensi JDT K. Daryl Sham membuahkan hasil apabila pemain muda berusia 19 tahun tersebut berjaya menjaringkan gol pertama beliau bersama skuad senior pada minit ke-83. Aksi mempesonakan pemain ini bersama skuad utama membuktikan bahawa impak penggiliran pemain membantu perkembangan di JDT II apabila pemain-pemain muda ini dapat menimba pengalaman berharga beraksi bersama pemain yang berpengalaman, sekali gus memastikan transisi inklusif ke pasukan senior seperti naratif kejayaan Arif Aiman Hanapi dan Ramadhan Saifullah.
Akhir kata, untuk perlawanan seterusnya, JDT akan meneruskan perlawanan LS5 Liga Super Malaysia 2022 menentang Negeri Sembilan FC pada hari Rabu, 11 Mei 2022 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan. Ini adalah pertemuan pertama bagi kedua-dua pasukan, setelah kali terakhir bertembung lebih kurang 5 tahun lalu ketika JDT menewaskan Negeri Sembilan FC 2-0 pada perlawanan pusingan kedua Liga Super Malaysia 2018 Rabu, 23 Mei 2018 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.
Luaskan Kuasamu Johor! Berjuanglah!