Liga Super Malaysia musim 2021 akan menjelang tidak lama lagi. Rekaan jersi terbaharu Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi sesuatu perkara yang ditunggu-tunggu oleh penyokong, peminat, pemerhati dan pengkritik bola sepak tanah air.

    Pada musim 2021 juga, gagasan kerjasama dan penajaan NIKE-JDT telah memasuki era baharu dalam usaha memanfaatkan kekuatan platform penjenamaan masing-masing melalui perkongsian publisiti dan populariti.

    KONSTRUKTIF PENAJAAN YANG IDEAL

    NIKE adalah ikonik bagi jenama kasut, pakaian dan peralatan sukan. Sebuah jenama sukan terkemuka berasal dari Amerika Syarikat yang menggunakan logo “Swoosh”. NIKE.inc juga merupakan syarikat sportswear terbesar di dunia yang telah banyak menaja pasukan dan kelab bola sepak terkenal di serata dunia.

    JDT pula adalah representasi sebuah kelab bola sepak yang sedang membina nama dan mempunyai reputasi unggul di rantau Asia Tenggara. JDT amat menitikberatkan kualiti, reputasi, nilai eksklusif, nilai komersial, publisiti dan penjenamaan dari semua perspektif setelah mengaplikasikan cetak biru kelab-kelab terkemuka dunia hasil dari kolaborasi sebelum ini.

    Maka dengan gabung jalin elemen-elemen yang terdapat pada NIKE dan JDT, termeterai satu perjanjian penajaan penuh pengiktirafan membabitkan jenama sukan terbaik dunia bersama kelab bola sepak terbaik Malaysia setelah nilai penajaan NIKE kepada JDT direkod sebagai penajaan termahal dalam sejarah penajaan bola sepak tanah air.

    EKSPLORASI PENAJAAN YANG BERKUALITI

    DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor telah menegaskan bahawa baginda amat mengutamakan penampilan bagi setiap komponen dalam organisasi JDT supaya sentiasa kelihatan hebat kerana sedar bahawa mereka adalah barisan hadapan yang menjadi refleksi wajah Harimau Selatan.

    Maka atas timbang tara faktor tersebut, JDT menandatangani perjanjian tajaan bersama NIKE berikutan tajaan NIKE amat berkait rapat dan selari dengan ciri-ciri yang baginda mahukan.

    Ini adalah salah satu kejayaan hebat DYAM Tunku Mahkota Johor kerana menarik minat penaja segah NIKE bukannya perkara mudah. Mereka meneliti segenap sudut yang ada di dalam kelab yang mahu ditaja. Kesilapan menaja bakal membuatkan reputasi jenama mereka terjejas.

    Faktor utama NIKE berminat menaja JDT pula adalah kerana melihat DYAM Tunku Mahkota Johor memiliki falsafah jelas dalam memacu kejayaan yang lebih besar lantas membawa nilai positif keatas promosi penjenamaan mereka kelak.

    “Kami bangga untuk terus menaja JDT. Falsafah JDT yang progresif bergerak ke hadapan menjadikan kami juga akan sentiasa seiring dengan JDT”- Ketua Pemasaran Sukan Nike Malaysia dan Thailand, Ernest Rodrigues

    Melihat pada keserasian aspirasi dan hala tuju penajaan NIKE-JDT, akhirnya telah menstimulasi NIKE terus menaja JDT bermula tahun 2014, 2015, 2017, 2018, 2019, 2020 dan 2021.

    Dalam satu kenyataan pada 29 Januari 2020, DYAM Tunku Mahkota Johor mendedahkan bahawa JDT akan lebih lama bekerjasama dengan NIKE dan melibatkan perancangan jangka masa panjang pada masa hadapan. Perkara ini dikuatkan lagi apabila pada 1 Febuari 2020 Ketua Pemasaran Sukan Nike Malaysia dan Thailand, Ernest Rodrigues mengumumkan untuk meneruskan tajaan jersi JDT sehingga tahun 2023.

    REVOLUSI DAN FENOMENA PENAJAAN LUAR BIASA

    Sejak tahun 2014, penajaan NIKE dan JDT mengalami revolusi yang sangat sistematik. Bermula dengan menaja jersi menggunakan reka bentuk sedia ada sehinggalah JDT mencatat sejarah baharu dalam bola sepak negara apabila menjadi kelab kedua di Asia Tenggara menerima pengiktirafan dari NIKE selepas Kelab Chonburi dari Thailand menerima kit jersi tajaan NIKE yang direka khas oleh Ibu Pejabat NIKE di Amerika Syarikat.

    Sekitar 9 Ogos 2017, laman facebook rasmi JDT, JOHOR Southern Tigers (JST) telah mengumumkan bahawa JDT menjadi satu-satunya kelab dalam Malaysia yang bukan sahaja menerima tajaan kit jersi tetapi juga melibatkan penajaan dari segi dekorasi stadium dan juga pusat latihan JDT setelah pihak NIKE telah bersetuju untuk mendekorasi Pusat Latihan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di Padang Seri Gelam, Stadium Tan Sri Dato Hj Hassan Yunos Larkin dan Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri dengan panel-panel iklan jenama NIKE dan JDT.

    Paling menarik perhatian, berlokasi di salah satu sudut tempat duduk penyokong Stadium Sultan Ibrahim, telah terlihat dengan jelas logo mega “Swoosh” menghiasi bahagian tempat duduk dan kini menjadi salah satu mercu tanda ikonik stadium.

    SIMBOLIK REKAAN DAN KOMBINASI WARNA JERSI NIKE UNTUK JDT

    Imbas kembali, bermula tahun 2019, rekaan jersi yang diterima JDT mempunyai simbolik disebalik penampilan. Tajaan jersi NIKE pada tahun itu dilihat begitu istimewa berikutan reka bentuk jersi berteknologi terkini, lebih dinamik dan berkualiti. Untuk rekod, NIKE telah menggunakan teknologi tekstil Dri-FIT dan jersi yang dikeluarkan diperbuat 100% daripada polyester.

    Pada tahun itu, JDT menerima dua variasi jersi melibatkan rekaan jersi tuan rumah dan tempat lawan sekaligus menjadikan penampilan pertama JDT di saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2019 dan saingan Liga Super Malaysia musim 2019 berketerampilan lebih eksklusif.

    Paling menarik, selain mengekalkan warna wajib merah biru pada jersi tuan rumah, NIKE mengeluarkan rekaan bewarna ungu bagi versi jersi tempat lawan yang diilhamkan daripada model Ferrari iaitu ‘LaFerrari’ milik DYAM Tunku Mahkota Johor. Kereta berkuasa tinggi 949HP dan diperbuat sepenuhnya dari serat karbon (carbon fiber) ini merupakan koleksi yang dikeluarkan secara terhad oleh pengeluar kereta mewah yang berpengkalan di Itali tersebut. Untuk makluman, kereta ini hanya ada 499 unit di dunia.

    Pada musim 2020 pula, jersi JDT didatangkan dengan dua variasi iaitu jersi bertona kombinasi warna merah dan biru untuk tuan rumah dan jersi berwarna putih di tempat lawan. Konseptual jersi tuan rumah bagi musim 2020 diinspirasikan daripada bendera Johor iaitu sama seperti musim sebelum ini. Jersi kedua untuk tempat lawan berwarna putih yang melambangkan stadium baharu JDT iaitu Stadium Sultan Ibrahim. Lilitan berwarna emas di bahagian lengan dan leher pula membawa simbolik kejayaan yang dilakar JDT.

    Pada musim 2020, NIKE turut mengeluarkan dua edisi yang berbeza iaitu edisi pemain (player issue) dan edisi penyokong (fans issue).

    SALING MENGHARGAI ANTARA SATU SAMA LAIN

    Saling menghargai adalah signifikan kepada jalinan NIKE-JDT. Ini dibuktikan apabila jenama NIKE sering menjadi pilihan utama untuk digayakan dengan kerap oleh DYAM Tunku Mahkota Johor dan pemain-pemain JDT dalam kehidupan seharian.

    Begitu juga dengan NIKE yang dilihat sering memberi penghargaan dalam bentuk material kepada organisasi JDT. Imbas kembali, pada 22 Oktober 2018, Ketua Pemasaran Sukan Nike Malaysia dan Thailand, Ernest Rodrigues telah menghadiahkan dua pasang kasut bola direka khas untuk baginda. Sepasang kasut yang dihasilkan berwarna emas berlogo JDT, manakala sepasang lagi dihasilkan dengan inspirasi tiga warna bendera Johor iaitu merah, biru, dan putih. Pada 9 Disember 2020, berikutan kejayaan JDT mengekalkan kejuaraan Liga Super Malaysia kali ketujuh berturut-turut, sekali lagi beliau telah menghadiahkan kasut bola rekaan khas ‘7x Super League Champion’ kepada DYAM Tunku Mahkota Johor dan para pemain JDT.

    Akhir kata, kira detik! segala yang ditunggu akan tiba tidak lama lagi, adakah anda bersedia untuk melihat rekaan jersi terbaharu Harimau Selatan bagi musim 2021?

    Nantikanlah! Just Do It!

    Sumber artikel: Media JST

    Hidup Johor Demi Johor