Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) kini berada pada kelas yang sangat berbeza. Faktor ini termanifestasi adalah kerana organisasi ini sentiasa peka mengonsolidasikan objektif, optimistik dan wawasan yang konsisten mengikut kitaran masa. Regulasi tiga elemen ini telah mengiringi naratif unggul dalam eksplorasi mengukuhkan empayar JDT.

    OBJEKTIF MELUASKAN KUASA MELALUI JENAMA JDT

    Sekitar 3 Disember 2015, Persatuan Tinju Johor telah dijenamakan semula sebagai Johor Darul Ta’zim (JDT) Boxing Team. Menggunakan logo yang sama seperti JDT. Merupakan kesinambungan visi organisasi JDT yang diadaptasi dari idealistik modul kelab-kelab Eropah di mana menghimpunkan sukan lain di bawah nama satu kelab seperti yang dipraktikkan oleh organisasi FC Barcelona dan Real Madrid CF.

    Muhamad Farkhan Bin HJ Mohd Haron antara nama besar yang semakin menyinar rentetan rekonstruksi struktur baharu Persatuan Tinju Johor tersebut. Antara pengalaman dan peluang berharga yang dikecapi oleh pemegang rekod kemenangan KO 11-0 ini dibawah kelolaan Johor Darul Ta’zim (JDT) Boxing Team adalah menjalani latihan intensif selama dua tahun bermula 2016 di kelab tinju terkemuka Amerika Syarikat yang dimiliki legenda tinju dunia, Freddie Roach iaitu Wild Card Boxing Club di Los Angeles.

    Terbaharu, Muhamad Farkhan kini menerima manfaat atas kemudahan fasiliti spektakular JDT apabila menjalani rawatan pemulihan ‘in-house’ di Pusat Medikal & Kecergasan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berikutan kecederaan serius yang dialami sebelum ini sebagai satu usaha untuk pulih sepenuhnya sebelum kembali beraksi pada penghujung tahun 2021.

    Selepas menubuhkan Johor Darul Ta’zim (JDT) Boxing Team, organisasi JDT semakin giat menerokai pelbagai sukan lain. Sekitar 19 Mac 2021, jenama JDT di peringkat antarabangsa semakin kukuh dan berpotensi berkembang dengan lebih pesat apabila melancarkan pasukan Hoki Ais di Ibu Pejabat JDT.

    Standard dan persepsi umum terhadap sukan ini juga meningkat secara drastik apabila organisasi JDT telah mendedahkan perancangan untuk membina gelanggang hoki ais yang berlokasi di Iskandar Puteri, Johor. Pada bulan Jun 2021, bakal menjadi debut pertama Johor Darul Ta’zim (JDT) Ice Hockey Club pada persaingan liga domestik Weekend Warriors League.

    OPTIMISTIK MENJADIKAN STADIUM SULTAN ISMAIL STADIUM IKONIK YANG MELANGKAUI SEMPADAN

    22 Februari 2020 telah menjadi sebahagian anotasi dari lipatan sejarah bola sepak Negeri Johor apabila Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri dirasmikan dalam acara yang penuh menakjubkan. Dengan kos pembinaan bernilai RM250 juta ianya menjadi aset kekal paling berharga milik organisasi JDT.

    Tanpa sedar, masa telah berlalu dengan pantas. Kini Stadium Sultan Ibrahim telah meniti usia satu tahun dan memasuki pascabaharu dalam era komersialisasi apabila tampil antara stadium terbaik di Asia Tenggara serta autoritatif setaraf dengan stadium-stadium terkemuka di dunia.

    Bermula detik itu, nama Stadium Sultan Ibrahim begitu dikenali dan mendapat publisiti yang ekstensif. Bukan itu sahaja, stadium ikonik ini juga telah mendapat pengiktirafan eksklusif diperingkat global.

    Stadium Sultan Ibrahim telah tercalon bagi anugerah ‘2020 Stadium of the Year’ dari laman Web Poland iaitu StadiumDB.com.
    Untuk rekod, Stadium Sultan Ibrahim adalah stadium pertama di Malaysia yang dicalonkan dan merupakan antara 20 stadium terbaik di seluruh dunia yang telah tersenarai.

    Keputusan konklusif yang diumumkan pada 11 Mac 2020, Stadium Sultan Ibrahim telah diangkat sebagai pemenang undian awam mengatasi Allegiant Stadium, Las Vegas serta Ahmad Bin Ali Stadium, Doha. Paling menakjubkan, bagi kategori utama Stadium Of The Year yang dinilai oleh empat arkitek terbaik antarabangsa, Stadium Sultan Ibrahim telah diletakkan pada kedudukan kelima dari sepuluh calon akhir kategori tersebut.

    Tidak stagnasi disitu, Stadium Sultan Ibrahim terus melakar sejarah apabila pada 3 dan 4 September 2021 kelak, stadium kebanggaan ini terpilih sebagai salah satu stadium yang menjadi gelanggang acara Spartan Stadion.

    WAWASAN MEWUJUDKAN GERBANG MODENISASI HAB SAINS SUKAN DAN PERALATAN BERTEKNOLOGI TERKINI

    Sains sukan merupakan satu cabang yang mengaplikasi sains ke dalam sukan dengan menggabungjalin disiplin-disiplin seperti perubatan, pemakanan, sosiologi, fisiologi, psikologi dan biomekanik. Koalisi sains sukan dan sukan bola sepak kini amat signifikan dengan kelab-kelab terkemuka dunia. Konsekuensi kesedaran tersebut, sains sukan mandatori diberi penekanan serius dalam organisasi JDT.

    Sekitar bulan Januari 2019 sahaja, JDT telah membelanjakan jutaan ringgit untuk peralatan baharu seperti ‘Saliva Testing Kits’, ‘Super Inductive System’, ‘Hypervolt Vibration Massage Device’, ‘Hydrotherapy Machine’ dan ‘Smartspeed System Gates’.

    Pada 25 Mei 2019 pula, JDT menjadi pasukan pertama di Asia Tenggara memiliki mesin ‘Infrared Sauna Therapy’ dan ‘Airpod Oxygen & Hydrogen Therapy’. Sekitar 28 Julai 2020, pemasangan mesin ‘AirPlus Runner Smart Connect’, ‘Runner Smart Connect’ dan ‘Vertimax Raptors’ telah menambah senarai panjang aset bertaraf dunia milik mutlak JDT.

    Akhir kata, JDT sentiasa menjadi perintis dan pencetus konseptual modenisasi lanskap bola sepak Malaysia. Dimasa kelab lain bergelut dengan individu yang lebih berminat mengejar populariti, masalah tunggakan gaji, disorientasi identiti dan kepura-puraan dalam penswastaan, JDT sudah jauh melangkah dalam menggapai aspirasi membina sebuah empayar yang begitu gemilang!