Meniti pertengahan musim 2022, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dilihat kekal berada pada prestasi optimum serta reseptif mengimplementasi misi walaupun berdepan cabaran yang sukar dalam setiap kompetisi.
    Secara konseptualnya, kekuatan moral dalam ketagihan mencatat sejarah baharu menjadi formulasi pelonjak semangat untuk setiap unit dalam keluarga JDT untuk lebih berambisi, berbudaya kerja cemerlang, berdaya saing, berintegriti serta memiliki cara pandang berbeza dari yang lain.
    FENOMENA MAGIS FORESTIERI, ALEGORI KEMENANGAN EPIK DAN DRAMATIK
    Situasi terkini, JDT telah melalui perlawanan kesepuluh serta mengungguli singgahsana Liga Super Malaysia 2022. Kejayaan menundukkan cabaran Sabah FC 1-2 di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 15 Julai 2022 menampilkan Harimau Selatan kini berkelebihan empat mata berbanding pasukan pesaing yang menduduki tangga kedua liga.
    Dua gol sumbangan Fernando Forestieri pada minit 26 dan 95 telah mendeduksikan kemenangan mutlak JDT dihadapan lebih 30,000 penyokong pasukan pihak lawan. Lebih menarik, sentuhan magis Fernando Forestieri sekali lagi berjaya menghasilkan jaringan pemusnah saat akhir selepas melakukannya ketika menewaskan Negeri Sembilan FC dalam aksi dramatik 11 Mei 2022 di Stadium Paroi, Seremban.
    Untuk rekod, sepanjang 18 penampilan bersama JDT, pemain luar negara yang berasal dari Rosario, Argentina ini telah menjaringkan 16 gol serta 5 bantuan jaringan dalam kejohanan domestik dan antarabangsa.
    Lebih istimewa, debut memukau pemain berjersi empat puluh lima ini sekitar 26 Februari 2022 hadir bersama satu jaringan spektakular minit ke-31 ketika mengatasi Kuala Lumpur City 3-0. Pada perlawanan tersebut, misi pertama Harimau Selatan musim ini iaitu mengekalkan kejuaraan Piala Sumbangsih berjaya dilaksanakan dengan penuh bergaya. Kejayaan menamatkan cabaran Kuala Lumpur City di Stadium ikonik kebanggaan, Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri membawa kepada jaringan terbesar pernah dihasilkan oleh JDT sepanjang 7 kali menjulang Piala Sumbangsih.
    STADIUM SULTAN IBRAHIM, KERINDUAN PENYOKONG HARIMAU SELATAN
    Sepanjang bulan Julai 2022 ini, Harimau Selatan menghadapi lima perlawanan digelanggang lawan secara berturut-turut termasuk satu perlawanan peringkat suku akhir Piala FA 2022.
    Bermula bertemu Melaka United pada 2 Julai 2022 yang lalu, diikuti perlawanan bertemu Sabah FC pada 15 Julai 2022 tempoh hari, JDT akan terus bertandang ke gelanggang pasukan lawan untuk menghadapi perlawanan LS12 Liga Super Malaysia 2022 menentang Penang FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Rabu, 20 Julai 2022.
    Berselang 2 hari selepas itu, JDT akan bertempur di perlawanan kalah mati peringkat Suku Akhir Piala FA 2022 pada Sabtu, 23 Julai 2022 di Stadium Hang Jebat, Melaka seterusnya terbang ke Stadium Negeri Sarawak, Kuching pada 27 Julai 2022 untuk perlawanan LS13 Liga Super Malaysia 2022.
    Konsekuensi hampir sebulan tanpa sebarang perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, penyokong Harimau Selatan pastinya akan merindui atmosfera penuh prestij di stadium sofistikated tersebut.
    Retrospeksi kembali memorabilia indah, kali terakhir penyokong Harimau Selatan menyaksikan perlawanan di gelanggang sendiri adalah pada tanggal 28 Jun 2022 ketika perlawanan LS7 Liga Super Malaysia bertemu PJ City FC. JDT berjaya membenam pasukan pelawat 4-0 hasil jaringan berganda gandingan sensasi Bergson da Silva dan Fernando Forestieri.
    PIALA FA 2022, CABARAN KALAH MATI DI PERINGKAT SUKU AKHIR
    JDT akan berjuang di peringkat kalah mati, suku akhir Piala FA 2022 dengan bertemu Melaka United di Stadium Hang Jebat, Melaka pada sabtu, 23 Julai 2022.
    Imbas kembali, setelah ditangguhkan selama dua musim iaitu pada musim 2020 dan 2021, musim 2022 menyaksikan JDT kembali bersaing didalam perebutan Piala FA edisi ke-33 setelah badan penganjur MFL mengumumkan saingan Piala FA akan kembali mewarnai kancah Liga Malaysia (Liga-M) 2022 dengan penampilan format baharu.
    Untuk rekod, perjalanan Harimau Selatan di kejohanan Piala FA 2022 ini bermula dengan mencatat kemenangan 10-0 ke atas wakil Liga M3, BRM FC dalam aksi pusingan pertama Piala FA 2022 pada 13 Mac 2022. Pada hari Sabtu, 14 Mei 2022, 8.15 Malam di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, JDT telah meranapkan impian Sarawak United 3-0 di pusingan kedua Piala FA lantas melangkah dengan penuh bergaya menuju peringkat suku akhir Piala FA 2022.
    Selain itu, Fernando Forestieri turut mendominasi kedudukan senarai penjaring terbanyak kejohanan tersebut setelah menghasilkan 5 gol setakat ini.
    Akhir kata, jika tidak ada kesulitan tidak akan ada kejayaan. Jika tiada apa yang perlu diperjuangkan, maka tiada apa yang akan dicapai. Konklusinya, perjuangan Harimau Selatan dalam mencapai kejayaan adalah proses yang tidak pernah berakhir. Sejarah baharu perlu sentiasa dilakar dan dikecapi dalam setiap lapisan generasi.
    Selamanya Johor Darul Ta’zim! Luaskan Kuasamu Johor!