Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) representatif sebuah organisasi yang tidak akan berhenti melakukan perubahan demi perubahan malah sentiasa memberikan fokus serta perhatian kepada aspek kesempurnaan urus tadbir dan perancangan kewangan untuk fasiliti teras. Wang dialirkan pada saluran yang betul selaras dengan konsepsi organisasi agar kontinuiti pembangunan prasarana serta fasiliti perlu dilakukan secara besar-besaran.
    PUSAT LATIHAN JDT, KEARAH PUSAT LATIHAN PALING SEMPURNA
    Antara yang menerima sirkulasi transisi radikal dan drastik adalah Pusat Latihan JDT di Padang Seri Gelam, Johor. Sekitar tahun 2016, padang latihan tertutup JDT adalah antara fasiliti paling awal telah didirikan dan merupakan saraf tunjang kepada Pusat Latihan JDT.
    Fasiliti spektakular JDT yang dikenali sebagai Padang Latihan Tertutup Dato’ Suleiman Mohd Noor adalah apresiasi kepada sumbangan Allahyarham Dato’ Suleiman Mohd Noor. Padang latihan tertutup tersebut diiktiraf oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kerana mengikut spesifikasi dari segi saiz, pencahayaan dan kualiti rumput sintetik yang terbaik.
    Deretan peralatan terkini dibawa masuk bagi melengkapi fasiliti padang latihan tertutup ini dalam memberi latihan terbaik kepada pemain-pemain Harimau Selatan. Pada 4 Mac 2021, JDT Cycling Studio sudah sempurna dibangunkan. Satu inovatif latihan berkonseptual berbasikal dalaman direkayasa untuk mempertingkatkan keupayaan kardiovaskular pemain.
    Sekitar 5 April 2021, JDT telah mendedahkan kepada umum Auditorium terbaharu JDT yang telah bersedia untuk dimanfaatkan. Auditorium yang boleh memuatkan hampir 50 orang itu akan menjadi ‘war room’ membincangkan secara terperinci mengenai lawan mereka yang seterusnya, meninjau kekuatan, kelemahan, langkah taktikal, ancaman posisi, formulasi kemenangan dan eksprimentasi strategi.
    Terbaharu pada 15 April 2021 pula, kelab telah memperolehi ‘Ball Launcher’ (Pelancar Bola). Pelancar bola ini menampilkan kapasiti lebih dari 200 bola per jam dan mempunyai kemampuan untuk meniru jarak putaran, ketinggian dan kelajuan yang berubah-ubah bagi setiap biji bola.
    Peralatan ini boleh digunakan untuk sesi latihan penjaga gol dan juga pemain posisi lain. Kelebihan peralatan ini ialah ianya terbukti amat membantu kepada pengukuhan responsif pemain terhadap hantaran atau kecekapan mempertahankan gawang gol.
    GERBANG MODENISASI HAB SAINS SUKAN DAN PERALATAN BERTEKNOLOGI TERKINI
    Sains sukan merupakan satu cabang yang mengaplikasi sains ke dalam sukan dengan menggabungjalin disiplin-disiplin seperti perubatan, pemakanan, sosiologi, fisiologi, psikologi dan biomekanik. Koalisi sains sukan dan sukan bola sepak kini amat signifikan dengan kelab-kelab terkemuka dunia. Konsekuensi kesedaran tersebut, sains sukan mandatori diberi penekanan serius dalam organisasi JDT.
    Sekitar bulan Januari 2019 sahaja, JDT telah membelanjakan jutaan ringgit untuk peralatan baharu seperti ‘Saliva Testing Kits’, ‘Super Inductive System’, ‘Hypervolt Vibration Massage Device’, ‘Hydrotherapy Machine’ dan ‘Smartspeed System Gates’.
    Pada 25 Mei 2019 pula, JDT menjadi pasukan pertama di Asia Tenggara memiliki mesin ‘Infrared Sauna Therapy’ dan ‘Airpod Oxygen & Hydrogen Therapy’. Sekitar 28 Julai 2020, pemasangan mesin ‘AirPlus Runner Smart Connect’, ‘Runner Smart Connect’ dan ‘Vertimax Raptors’ telah menambah senarai panjang aset bertaraf dunia milik mutlak JDT.
    PUSAT MEDIKAL DAN KECERGASAN JDT ADALAH SATU KELEBIHAN BESAR ORGANISASI
    Pada 15 Januari 2021, JDT telah melancarkan Pusat Medikal dan Kecergasan kelab terbaharu di Pusat Latihan JDT, Padang Seri Gelam. Pusat rawatan yang menempatkan barisan doktor dan fisioterapi khas sepenuh masa itu dilengkapi dengan fasiliti berteknologi paling terkini. Dengan adanya Pusat Medikal dan Kecergasan ini, rawatan ‘in-house’ dapat dilakukan tanpa memerlukan ke hospital malah proses pemulihan boleh dipercepatkan.
    Selain itu, Pusat Medikal dan Kecergasan ini juga dilengkapi dengan ‘juice bar’ bagi membekalkan nutrisi sihat kepada pemain.
    PUSAT LATIHAN BAHARU BERKONSEP JATA JDT, SATU LAGI MERCU TANDA
    Dengan segala fasiliti yang telah disediakan oleh organisasi JDT, menjadikan Pusat Latihan JDT di Padang Seri Gelam kini berdiri sebagai antara fasiliti pusat latihan kelab bola sepak terbaik di rantau Asia.
    Tidak stagnasi disitu, walaupun JDT sudah mempunyai prasarana dan fasiliti yang cukup lengkap, ia tidak bermakna segala projek naik taraf menemui jalan penamat. Kini organisasi JDT telah mengorak langkah terbaharu apabila perancangan pusat latihan baharu ‘JDT Compound’ meliputi bangunan berbentuk Jata JDT beserta pejabat, asrama akademi remaja, padang latihan ‘indoor’, pelbagai jenis padang, stadium mini, pusat medikal, gimnasium, auditorium, kolam renang, dewan makan dan kafeteria. Pusat latihan baharu yang berlokasi di Iskandar Puteri ini juga kelak disasarkan akan tampil sebagai antara sepuluh terbaik di dunia.
    Akhir penulisan, menakjubkan namun segalanya baharu bermula!
    Luaskan Kuasamu Johor!