Segenap lapisan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berjuang dengan mengekalkan konsistensi pada setiap cabang kompetisi.

    Secara konseptualnya, usaha doktrinasi oleh organisasi menyuntik sikap positif, kesediaan bekerja keras, fokus pada penambahbaikan dan paling utama kerja berpasukan menjadi pilar utama kesuksesan membentuk karakter setiap pemain JDT dari skuad utama, simpanan hingga pembangunan sentiasa komited kepada komitmen merealisasikan tanda aras yang telah ditetapkan.

    Melintasi perlawanan Liga Super Malaysia 2024-25, Piala FA 2024, Piala MFL 2024-25 dan Piala Presiden 2024 berikut beberapa perkara menarik yang menjadi tumpuan;

    PEMAIN JDT MENGISI KEDUDUKAN PENJARING TERBANYAK KEJOHANAN UTAMA DAN PEMBANGUNAN

    Dalam kejohanan Liga Super Malaysia 2024-25, jaringan hatrik Heberty Fernandes telah mencetuskan kemenangan keempat berturut-turut Harimau Selatan ketika menewaskan Sri Pahang FC 3-0 pada 22 Jun 2024. Dengan terkumulatifnya 3 gol tersebut telah melonjakkan beliau ke kedudukan pertama penjaring terbanyak Liga Super Malaysia 2024-25 setakat ini namun berkongsi tempat dengan 3 lagi pemain dari kelab berlainan.

    Dalam kejohanan Piala FA 2024 pula, Romel Morales bersama Francisco Geraldes muncul pemain paling tajam buat Harimau Selatan apabila menghasilkan 4 gol. Dengan jumlah jaringan terhasil, Romel dan Geraldes berkongsi tempat bersama seorang lagi pemain dari kelab lain menunjangi kedudukan penjaring terbanyak kejohanan setakat ini. Imbas kembali, ketika JDT melakar kemenangan 4-0 ke atas Kelantan Darul Naim FC (KDN) pada peringkat kalah mati ‘Round of 16’ Piala FA 2024, kedua-dua pemain ini menjaringkan gol debut masing-masing bersama Harimau Selatan.

    Selain itu, dalam kejohanan yang diwakili skuad pembangunan, beberapa pemain JDT turut mendominasi kedudukan senarai penjaring terbanyak setakat ini antaranya Gabriel Nistelrooy (JDT II) yang telah menjaringkan 5 gol dalam 4 perlawanan Piala MFL 2024-25 dan Abdul Raziq Abd Rahman (JDT lll) menyumbang 11 gol dalam 11 perlawanan Piala Presiden 2024.

    KONTINUITI PERJUANGAN JDT DI LIGA SUPER MALAYSIA DAN SEPARUH AKHIR PIALA FA

    Cabaran getir Julai 2024. JDT akan melalui 3 perlawanan penting Liga Super Malaysia 2024-25. Bermula aksi kelima (LS5) Liga Super Malaysia 2024-25, JDT akan berkunjung ke Stadium Likas, Kota Kinabalu menentang Sabah FC pada Sabtu, 13 Julai 2024, 8.15 malam.

    Kali terakhir JDT bertemu Sabah FC dalam perlawanan Liga Super Malaysia adalah pada perlawanan ke-19 (LS19) pusingan kedua Liga Super Malaysia 2023 di Stadium Likas, Kota Kinabalu. Ketika itu, keputusan akhir perlawanan memihak kepada JDT apabila berjaya menumpaskan tuan rumah 1-5 hasil jaringan Bergson Da Silva (3 gol), Juan Muniz (1gol) dan Heberty Fernandes (1gol).

    Berselang lebih kurang 2 minggu selepas itu, JDT akan meneruskan perlawanan keenam (LS6) Liga Super Malaysia 2024-25 dengan melayani kunjungan Terengganu FC di Stadium ikonik kebanggaan, Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 26 Julai 2024, 8.15 malam.

    9 Jun 2023 merupakan kali terakhir JDT bertemu Terengganu FC dalam kejohanan Liga Super Malaysia. Beraksi dalam perlawanan ke-13 (LS13) pusingan kedua Liga Super Malaysia 2023 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, JDT berjaya meranapkan harapan tuan rumah 1-3 hasil jaringan Fernando Forestieri, Bergson Da Silva dan Endrick Dos Santos.

    Mengakhiri bulan Julai 2024, JDT akan bertandang ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang untuk menentang PDRM FC pada Rabu, 31 Julai 2024, 9.00 malam di perlawanan kelapan (LS7) Liga Super Malaysia 2024-25.

    27 September 2023. Pada perlawanan ke-22 Liga Super Malaysia 2023 (LS22) menentang PDRM FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, merupakan kali terakhir JDT dan PDRM FC bertemu dalam Liga Super Malaysia. Ketika itu, JDT mencatatkan kemenangan 4-0 hasil jaringan Fernando Forestieri, Bergson Da Silva, Juan Muniz dan Arif Aiman lantas mengesahkan kejuaraan Liga Super Malaysia edisi ke-20 buat kali kesepuluh berturut-turut lebih awal.

    Kemenangan 13-0 Harimau Selatan secara agregat keseluruhan keatas Malaysia University Football Team (MUFT) dalam aksi timbal balik peringkat suku akhir Piala FA 2024 telah membawa JDT ke peringkat Separuh Akhir Piala FA 2024.

    Seperti mengulangi skrip edisi ke-27 Piala FA 2016, Kedah FC bakal menjadi lawan JDT di peringkat Separuh Akhir Piala FA 2024 kelak. Imbas kembali, pada Kejohanan Piala FA sekitar 8 tahun lalu, JDT menewaskan Kedah FA dengan agregat 4-3 pada aksi timbal balik peringkat Separuh Akhir Piala FA 2016.

    Akhir kata, percayalah pada diri sendiri, hadapi cabaran, gali potensi dan takluklah ketakutan!

    Teruskan mengaum Harimau Selatan. Luaskan Kuasamu Johor!