Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berperanan lebih besar daripada sebuah kelab yang hanya berjuang dalam permainan bola sepak. Konseptual organisasi ini telah membawa bersama nilai-nilai murni serta mempunyai empati yang kompleks pada distres emosional masyarakat sejak dari awal eksistensi.

    Terbaharu dengan menggunakan kekuatan jenama JDT sebagai transportasi, organisasi JDT komited memberi kesedaran kepada umum bahawa petugas barisan hadapan yang berjuang habis-habisan menentang pandemik Covid-19 adalah wira yang seharusnya dijulang dan diberikan penghormatan tertinggi.

    MENDEDIKASI KEJUARAAN LIGA SUPER KELAPAN KEPADA PETUGAS BARISAN HADAPAN

    27 Ogos 2021, JDT berjaya menundukkan Sri Pahang FC 3-0 pada perlawanan ke 20 Liga Super Malaysia 2021 yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. Kemenangan yang diiringi gol hattrik Bergson Gustavo Silveira da Silva telah memuktamadkan bahawa kejuaraan Liga Super Malaysia 2021 sah menjadi koleksi trofi ke-18 Harimau Selatan.

    Sejurus perlawanan itu tamat. Susulan titah DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor, organisasi JDT telah mengumumkan bahawa JDT mendedikasikan kejuaraan Liga Super Malaysia kali kelapan yang diraih kepada semua petugas barisan hadapan sebagai apresiasi melalui penghayatan nilai pengorbanan mereka yang menjadi benteng mengekang serta melandaikan kes jangkitan pandemik Covid-19 di negeri Johor secara khususnya.

    SUMBANGAN ORGANISASI JDT, WANG KEMENANGAN LIGA SUPER MALAYSIA 2021 DISALURKAN KEPADA DANA PETUGAS BARISAN HADAPAN

    Pada 12 September 2021, selepas kemenangan 2-1 menentang Kuala Lumpur City pada perlawanan terakhir Liga Super Malaysia 2021 di Stadium ikonik kebanggaan, Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, JDT sekali lagi menjulang piala dalam norma baharu.

    Sebaik sahaja perlawanan itu tamat, sambutan Kejuaraan Liga Super Malaysia Lapan Kali Berturut-turut telah diadakan di Stadium Sultan Ibrahim. Seperti musim 2020, sambutan dibuat secara ‘in car viewing party’ serta mendapat liputan secara langsung di rangkaian televisyen yang berjaya menarik jutaan tontonan.

    Sebanyak 1,500 kenderaan dinaiki penyokong skuad Harimau Selatan disajikan dengan sambutan begitu bergaya seperti persembahan ekstravaganza ‘Augmented Reality’, persembahan Cahaya Laser, letusan cahaya bintang piroteknik yang menerangi Iskandar Puteri serta perarakan Bas ke Tempat Letak Kenderaan penyokong Harimau Selatan.

    Paling menarik, pada majlis itu juga, satu acara penyerahan wang hadiah kemenangan Liga Super Malaysia 2021 bernilai RM1 juta kepada wakil petugas barisan hadapan telah diatur rentetan titah DYAM Tunku Mahkota Johor untuk mendermakan kesemua wang kemenangan musim ini kepada tabung dana petugas barisan hadapan.

    PUBLIKASI EFEKTIF, MEDIA RASMI MEDIUM MENYAMPAIKAN PENGHARGAAN KEPADA PETUGAS BARISAN HADAPAN

    Media sosial adalah medium komunikasi berkesan dalam era kebangkitan revolusi bola sepak Negeri Johor. Organisasi JDT amat menitikberatkan keperkasaan media sosial supaya menjadi platform utama interaksi maya tanpa sempadan bersama penyokong mahupun pengkritik tegar Harimau Selatan.

    Melalui platform media sosial rasmi JDT iaitu JOHOR Southern Tigers (JST) yang mempunyai jutaan pengikut, satu gerakan kesedaran bersifat komunikatif menyeru penyokong Harimau Selatan menghargai jasa, usaha giat dan mengucap terima kasih kepada petugas barisan hadapan sering dimuatnaik.

    Operasional hebahan komprehensif dibuat atas kepekaan tanggungjawab sosial dan keprihatinan apabila melihat fungsional petugas barisan hadapan yang komited serta sanggup meredah risiko dalam berhadapan dengan wabak Covid-19. Organisasi JDT berpendapat, satu-satunya cara untuk menyampaikan bahawa sumbangan mereka sentiasa disanjung dan dipandang mulia adalah dengan publikasi tanda ingatan serta ucapan terima kasih tidak terhingga di media sosial rasmi kelab.

    KONSTRUKSI NILAI POSITIF, KELUARGA JDT MENGIKUT JEJAK LANGKAH ORGANISASI

    Nilai positif itu tidak stagnasi disitu, ianya berjaya mendidik Keluarga JDT supaya sentiasa peka juga prihatin kewajiban tanggungjawab sosial dalam kehidupan.

    Pada 26 Mac 2020 pula, dalam kepekaan memperkukuhkan hubungan interpersonal, para pemain Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah menyumbangkan sebahagian daripada gaji kepada Tabung Bencana Negeri Johor dengan harapan ianya dapat meringankan beban golongan yang terjejas termasuk petugas barisan hadapan disebabkan oleh penularan wabak Covid-19.

    Pada 20 April 2021, JDT Cafe berbesar hati memberi sumbangan juadah berbuka puasa kepada petugas barisan hadapan. Antaranya yang berkongsi rezeki tersebut adalah kakitangan perubatan di Hospital Sultanah Aminah, kakitangan perubatan Hospital Sultan Ismail, anggota polis serta tentera yang bertugas di sekatan lalu lintas di sekitar Bandaraya Johor Bahru.

    Tidak ketinggalan juga, sekitar Mei 2020, penyokong JDT melalui komuniti Boys of Straits juga telah bertindak memberi sumbangan makanan yang diagihkan kepada anggota polis dan tentera yang bertugas di sekatan lalu lintas di beberapa lokasi Bandaraya Johor Bahru. Pada tahun ini pula, sekitar 26 September 2021, satu program infaq petrol telah dilancarkan bertempat di sebuah stesyen minyak pilihan dalam daerah Johor Bahru. Sumbangan ikhlas ini diberikan kepada penghantar makanan dan barangan yang turut sama memainkan peranan besar sebagai petugas barisan hadapan dalam mengharungi arus badai pandemik Covid-19.

    Akhir penulisan, apresiasi tertinggi hanya untukmu! Terima kasih petugas barisan hadapan!

    Terima kasih petugas barisan hadapan!