Menyelongkar nostalgia serta retrospeksi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam kejohanan Piala FA sejak musim 2013, JDT telah membuat penampilan sebanyak 4 kali termasuk musim 2023 di pentas akhir kompetisi berprestij Piala FA.

    Tanggal 14 Mei 2016 merupakan detik bersejarah Harimau Selatan rentetan kejayaan menjulang Piala FA buat kali pertama disaksikan lebih 50,000 penyokong JDT setelah menumpaskan PKNS FC 2-1 pada perlawanan akhir Super Best Power Piala FA 2016 edisi ke-27 yang berlangsung di Stadium Shah Alam, Selangor.

    Berselang enam tahun selepas itu, JDT mengulangi kejayaan 2016 apabila meraih trofi Piala FA buat kali kedua. Harimau Selatan dinobatkan sebagai juara edisi ke-32 Piala FA musim 2022 menerusi kemenangan 3-1 ke atas Terengganu FC di hadapan 84,321 penonton dalam aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada hari Sabtu, 10 September 2022.

    LANGKAH BERTENAGA HARIMAU SELATAN DALAM PIALA FA 2023

    Piala FA 2023 edisi ke-33 mewarnai kancah Liga Malaysia (Liga-M) 2023 dengan penampilan format baharu. 20 pasukan terdiri daripada sembilan pasukan dari Liga Super Malaysia 2022, lima dari Liga Premier 2022 dan enam dari Liga M3 2022 telah bertanding dalam konkurensi yang menawarkan slot automatik Asia ini.

    Naratif perjalanan Harimau Selatan di kejohanan Piala FA 2023 ini bermula dengan mencatat kemenangan 3-0 ke atas PDRM FC dalam aksi peringkat kalah mati ‘Round of 16’ pada 14 April 2023 di Stadium Sultan Ibrahim.

    28 Mei 2023, di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, JDT telah melakar kemenangan besar 5-0 keatas Penang FC di peringkat Suku Akhir Piala FA 2023 lantas melangkah dengan penuh bergaya menuju peringkat Separuh Akhir Piala FA 2023.

    Isnin, 26 Jun 2023. JDT berjuang di peringkat kalah mati, Separuh Akhir Piala FA 2023 bertemu Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. Seramai 32,257 orang penyokong telah menjadi saksi supremasi Harimau Selatan mara ke peringkat Akhir Piala FA 2023 setelah berjaya menamatkan cabaran pasukan pelawat dengan keputusan 4-0.

    ARIF AIMAN MENDAHULUI CARTA PENJARING TERBANYAK PIALA FA 2023

    Arif Aiman Mohd Hanapi mendominasi kedudukan senarai penjaring terbanyak kejohanan setelah menghasilkan 4 gol setakat ini. Imbas kembali, pemain bintang JDT ini berjaya menjaringkan 1 gol ketika menewaskan Penang FC di peringkat Suku Akhir Piala FA 2023 serta cemerlang menghasilkan hatrik pada peringkat Separuh Akhir Piala FA 2023 ketika menundukkan Selangor FC. Mengekori rapat beliau, Bergson da Silva berada di kedudukan ke-4 penjaring terbanyak dengan 2 jaringan terkumulatif.

    Selain itu, 5 orang pemain JDT turut tersenarai dalam carta penjaring apabila masing-masing menyumbang 1 gol pada kejohanan ini iaitu Leandro Velazquez, Jordi Amat, La’Vere Corbin, Safiq Ahmad dan Fernando Forestieri.

    Inspeksi kembali persaingan Piala FA musim lalu, penyerang prolifik Harimau Selatan, Fernando Forestieri telah dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan setelah menghasilkan 6 gol manakala Arif Aiman Mohd Hanapi telah diangkat sebagi pemain terbaik perlawanan akhir Piala FA 2022.

    NILAI ESTETIK DAN KETERUJAAN PENYOKONG HARIMAU SELATAN!

    Sejak 2013, 23 trofi kejuaraan telah dihadiahkan kepada penyokong Harimau Selatan, namun segalanya tidak melunturkan keterujaan penyokong terhadap kejuaraaan-kejuaraan mendatang yang mahu direbut oleh JDT.

    Pentas akhir kejohanan tetap menjadi perlawanan yang begitu dinantikan dan akan diraikan. Fenomena, atmosfera, magikal, nikmat, gelombang serta keghairahan perlawanan akhir semestinya menjadi ketagihan bagi setiap penyokong Harimau Selatan. Sesungguhnya, pengalaman menyaksikan pasukan bola sepak kegemaran ini bertempur di pentas akhir adalah satu emosi yang unik, estetik dan sukar diprojeksi.

    Ironinya saat ini, penyokong Harimau Selatan pastinya tidak sabar menanti detik Perlawanan Akhir Piala FA 2023 antara JDT dan Kuala Lumpur City pada hari Sabtu, 22 Julai 2023. Bukan sekadar retorik, perlawanan akhir Piala FA 2023 bakal diangkat sebagai perlawanan akhir paling istimewa buat penyokong Harimau Selatan rentetan buat julung kalinya berlangsung di ‘the-state-of-the-art’ Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

    Imbas kembali pemilihan Stadium Sultan Ibrahim sebagai venue perlawanan akhir Piala FA 2023. Segalanya bermula apabila direktif badan pengurusan liga tempatan, Malaysia Football League (MFL) menetapkan bahawa pemilihan venue Perlawanan Akhir Piala FA 2023 harus dibuat menerusi bidaan terbuka kepada semua kelab Liga Malaysia 2023 bermula 19 Mei 2023.

    Maka sekitar 1 Jun 2023, MFL telah mendedahkan bahawa JDT menjadi satu-satunya organisasi yang membida venue Perlawanan Akhir Piala FA 2023 selepas proses bidaan ditutup pada (24 Mei 2023) jam 5.00 petang. Konsekuensi berdasarkan perkara tersebut, maka secara automatiknya Stadium Sultan Ibrahim telah terpilih sebagai venue Perlawanan Akhir Piala FA 2023.

    Akhir kata, sebuah hasil tidak akan pernah mengkhianati prosesnya. Berikanlah sesuatu yang terbaik, maka kita akan mendapatkan yang terbaik.

    Pentas Akhir Piala FA 2023! Kami sudah bersedia!

    Sumber artikel: Media JST

    Hidup Johor Demi Johor