Organisasi, pasukan dan penyokong. Kuatnya afiliasi antara satu sama lain, menjadikan organisasi ini sentiasa berinteraksi dan saling memerlukan. Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah berjaya mengkonsolidasikan ikatan kekeluargaan dengan menjadikan penyokong sebahagian daripada ramuan utama dalam ambisi organisasi melakar sejarah baharu serta penawar paling efektif dalam menambahbaik semangat keseluruhan pasukan ketika melalui waktu-waktu krusial untuk terus memandang kehadapan lantas bangkit meneruskan perjuangan.

    PARTISIPASI PENYOKONG SEIRING KEMAJUAN KELAB

    Organisasi JDT sering mengutamakan penyokong JDT. Apa pun terjadi penyokong tidak akan diketepikan. Jika beberapa perkara mengenai kelab yang dirasakan perlu dikongsi untuk mengelakkan penyokong mendapat maklumat yang salah, satu sesi perjumpaan secara terbuka dan santai akan diadakan.

    Untuk makluman, kepimpinan JDT adalah satu-satunya badan pengurusan kelab bola sepak yang berani berhadapan dengan penyokong dan soalan tanpa tapisan wartawan. Sesi dialog bersama penyokong dan media adalah pendekatan yang amat dinanti kerana mereka dapat berada lebih dekat mengajukan soalan dengan tampuk tertinggi pengurusan kelab.

    Terbaharu, organisasi JDT mengambil pendekatan menjemput wakil penyokong untuk menyertai setiap mesyuarat lembaga pengurusan agar perkara-perkara berkenaan operasi kelab dikongsikan kepada para penyokong secara telus.

    INTERPRETASI TRANSFORMASI MENTALITI DAN ETIKA DALAM MENYOKONG

    Interpretasi transformasi bukan sahaja berkaitan dengan infrastruktur, fasiliti atau teknologi tetapi juga berkaitan dengan menaiktaraf mentaliti dan etika menyokong. Transformasi ini akan membuatkan penyokong sentiasa meletakkan kepercayaan kepada pasukan dalam mengejar tanda aras yang telah ditetapkan malah menghargai serta bangga menjadi penyokong setia Harimau Selatan.

    Transformasi ini juga mempengaruhi penyokong supaya matang dalam memberi sokongan dan bersatu dibelakang pasukan. Secara konseptualnya, penyokong yang memberi sokongan tanpa prejudis adalah fundamental paling terbaik dalam konstruksi sebuah empayar unggul.
    Mekanisme memperhebatkan keupayaan komposisi corak pemikiran ini telah membantu penyokong JDT memiliki kekuatan moral dalam sirkulasi penuh cabaran pascakebangkitan empayar Harimau Selatan serta memiliki perspektif berbeza berbanding penyokong pasukan yang lain di Malaysia.

    Rasionalnya, JDT kini representatif sebuah kelab bola sepak profesional Asia Tenggara yang serba sempurna dilengkapi pemain yang bernilai tinggi, pengurusan yang efisien, fasiliti dan prasarana bertaraf dunia serta mempunyai penyokong paling terbaik di Malaysia.

    GENERASI PENYOKONG TERBAIK BOLA SEPAK YANG AUTORITATIF

    Penyokong terbaik, ianya bukan rahsia lagi. Penyokong JDT merupakan antara penyokong terbaik yang mewarnai naratif liga domestik. Dengan kesetiaan tahap tertinggi menjadikan mereka tidak berkira untuk membelanjakan sebahagian wang untuk menyokong percambahan pasukan kebanggaan ini.

    Penyokong sentiasa ada walaupun dimana sahaja Harimau Selatan berjuang. Tidak terhad dalam Malaysia sahaja tetapi melepasi sempadan doktrin, ras, agama, rantau dan benua. Dushanbe (Republik Tajikistan), Jinan (Republik Rakyat China) dan Busan (Korea Selatan) antara lokasi yang pernah digempakan dengan laungan keramat “Luaskan Kuasamu Johor” dan kibaran panji kebanggaan Negeri Johor Darul Ta’zim.

    Kejayaan merangkul anugerah penyokong terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan pada tahun 2014, 2016, 2018 dan 2019 melonjakkan superioriti penyokong JDT serta memperkukuhkan faktual bahawa mereka merupakan penyokong paling terbaik dalam sejarah bola sepak Malaysia. Untuk rekod, penyokong JDT telah mencatat sejarah baharu anugerah tersebut apabila menerima anugerah paling banyak dalam kategori ini sejak dipertandingkan pertama kali pada musim 2006-2007.

    Dalam penilaian antarabangsa, sekitar tahun 2018, COPA90 iaitu sebuah saluran YouTube berpengaruh berkaitan atmosfera sukan bola sepak terkenal yang mempunyai 1.77 juta pengikut telah melabelkan Penyokong JDT melalui komuniti Boys of Straits sebagai antara lima penyokong terbaik dalam Asia bersama penyokong dari Jepun, Korea Selatan, India dan Indonesia.

    Bukan itu sahaja, Penyokong JDT juga berjaya membuka mata pemerhati-pemerhati bola sepak luar tentang kesetiaan, kepercayaan dan keikhlasan dalam menyokong sebuah kelab muda yang berjiwa besar. Kerana elemen itu ianya telah menarik perhatian produksi penerbitan docu-series FEARLESS: Rise of the Johor Southern Tigers untuk menampilkan komuniti Boys of Straits dan penyokong JDT sebagai keresponden travelog kejayaan Harimau Selatan dari perspektif penyokong.

    Akhir penulisan, faktor prinsip kepimpinan interpersonal, keseimbangan emosi, komunikasi secara empati dan saling menghargai antara satu sama lain berjaya menghasilkan penyokong terbaik untuk kelab terbaik!