Kemenangan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) 0-4 ke atas Selangor FC pada perlawanan kelima (LS5) Liga Super Malaysia 2023 di Stadium MBPJ, Petaling Jaya, Selangor menjadi aksi terakhir Harimau Selatan sebelum direktif Malaysian Football League (MFL) supaya persaingan liga domestik berehat seketika.
    Ianya adalah bertujuan memberi laluan kepada dua aksi antarabangsa skuad kebangsaan pada 23 dan 28 Mac 2023 ini.
    LIMA KEMENANGAN BERTURUT-TURUT, HARIMAU SELATAN MENGUNGGULI CARTA LIGA
    Selepas aksi terakhir tersebut, JDT menjadi satu-satunya kelab yang melakar 5 kemenangan berturut-turut lantas mengungguli carta Liga Super Malaysia 2023 buat masa kini. JDT juga masih mengekalkan rekod 14 kemenangan berturut-turut dalam semua perlawanan Liga Domestik sejak 11 Oktober 2022. Selain itu, JDT juga meneruskan catatan maraton 39 rekod tanpa kalah dalam Liga Super Malaysia sejak 30 April 2021 dan 40 perlawanan dalam liga domestik sejak 4 Mac 2022.
    Fernando Forestieri mendominasi kedudukan senarai penjaring terbanyak kejohanan setelah menghasilkan 5 gol setakat ini. Imbas kembali, pemain luar negara JDT yang berasal dari Rosario, Argentina ini membuka akaun musim 2023 dengan jaringan berganda pada perlawanan ketiga Liga Super Malaysia (LS3) menentang Negeri Sembilan FC, 1 gol ketika menewaskan Kelantan FC pada perlawanan keempat Liga Super Malaysia (LS4) serta 2 gol ketika bertemu Selangor FC pada perlawanan kelima Liga Super Malaysia (LS5).
    Diogo Luís Santo, Juan Muniz, Arif Aiman dan Endrick Dos Santos turut berkongsi kedudukan ke-3 penjaring terbanyak setelah menyumbangkan 3 gol. Selain itu, dua lagi pemain JDT juga tersenarai dalam carta penjaring apabila masing-masing menyumbang 2 dan 1 gol iaitu La’Vere Corbin Ong dan Bergson da Silva.
    DARI HARIMAU SELATAN UNTUK HARIMAU MALAYA
    Di sebalik konstruksi prasarana dan fasiliti hebat milik JDT, bola sepak Malaysia turut menerima tempias tuah kemajuan inovasi tersebut apabila organisasi JDT permisif memberi peluang kepada 27 pemain yang dipanggil oleh Ketua Jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon memanfaatkan kemudahan bertaraf dunia yang ada di bumi selatan ini.
    Rentetan kebenaran tersebut, bermula 18 Mac 2023, fasiliti Pusat Latihan JDT akan menjadi kem latihan pusat skuad kebangsaan manakala Stadium Sultan Ibrahim akan menjadi gelanggang bagi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 melibatkan Harimau Malaya iaitu bertemu Turkmenistan dan Hong Kong pada 23 dan 28 Mac 2023.
    Imbas kembali, sekitar 6 Januari 2023, pemilik Kelab JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor telah menawarkan Stadium Sultan Ibrahim dan fasiliti Pusat Latihan JDT untuk digunakan Harimau Malaya sementara menunggu Stadium Nasional, Bukit Jalil sedia untuk digunakan.
    Untuk rekod, ini bukan kali pertama organisasi JDT membantu skuad kebangsaan. Imbas kembali, ketika persiapan menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022 pada bulan Jun 2021, 29 pemain skuad kebangsaan telah diberi peluang merasakan pengalaman berharga menggunakan fasiliti Pusat latihan JDT selama sembilan hari bermula 22 hingga 30 Mac 2021.
    Ketika itu, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin secara peribadi telah melihat perkara ini sebagai satu lagi sumbangan JDT terhadap bola sepak Malaysia selepas membantu meningkatkan martabat bola sepak Malaysia melalui pembangunan dan penjenamaan bola sepak.
    PERLAWANAN DI BULAN RAMADAN, KEMUDAHAN BUAT PENYOKONG
    JDT akan menghadapi 4 perlawanan yang bakal berlangsung pada bulan Ramadan melibatkan 3 perlawanan Liga Super Malaysia 2023 dan 1 perlawanan Piala FA.
    Dimulakan dengan aksi keenam Liga Super Malaysia 2023 (LS6) pada hari Jumaat, 31 Mac 2023, 10.00 malam melayan kunjungan Sabah FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. Seterusnya bertemu Perak FC di Stadium Negeri Perak, Ipoh (4 April), Kedah FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri (9 April) dan perlawanan peringkat kalah mati ‘Round of 16’ Piala FA menetang PDRM FC (19 April) di Stadium MBPJ, Petaling Jaya.
    Bagi memudahkan penyokong Harimau Selatan yang berkunjung ke Stadium Sultan Ibrahim pada hari perlawanan ketika bulan Ramadan, berbagai-bagai kemudahan telah disediakan oleh organisasi. Antaranya adalah menyediakan perkhidmatan bas ‘shuttle’ percuma pada hari perlawanan, 5 bilik solat lengkap, 3 restoran (KFC, Subway, Woodfire) serta premis makanan dan minuman ringan (Snacks and Drink Counters) di dalam kawasan stadium. Tidak stagnasi disitu, pihak pengurusan stadium turut menyediakan ‘food truck’ di luar pekarangan Stadium Sultan Ibrahim sebagai pilihan juadah alternatif untuk penyokong berbuka puasa kelak.
    Akhir kata, musim 2023 masih lagi panjang, terlalu banyak liku-liku cabaran yang perlu ditempuhi. Rasionalnya Harimau Selatan akan terus berjuang dengan mengekalkan konsistensi dan berusaha keras merealisasikan setiap tanda aras yang ditetapkan organisasi.
    Luaskan Kuasamu Johor!