Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berjuang dengan mengekalkan konsistensi pada setiap perlawanan di kejohanan Liga Super Malaysia musim 2022. Prinsip psikologi ini adalah antara faktor utama menjadikan JDT sentiasa komited kepada komitmen dan berusaha keras merealisasikan tanda aras yang telah ditetapkan.
Tujuh kemenangan, dua seri menyaksikan JDT mengumpul dua puluh tiga mata lantas mengungguli singgahsana Liga Super Malaysia 2022.
Selain itu, beberapa pemain JDT turut mendominasi kedudukan senarai penjaring terbanyak kejohanan domestik setakat ini antaranya Bergson da Silva 19 gol (Liga Super Malaysia 2022) dan Fernando Forestieri 5 gol (Piala FA 2022).
BERAKHIR CABARAN PUSINGAN PERTAMA LIGA SUPER MALAYSIA 2022
JDT akan menamatkan pusingan pertama Liga Super Malaysia 2022 pada 15 Julai 2022 ini dengan bertemu Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu. Namun, Harimau Selatan masih kekurangan 1 perlawanan rentetan perlawanan bertemu kelab KDA FC telah ditangguhkan. Untuk makluman, JDT akan memulakan pusingan kedua pada 20 Julai hingga 17 Sept 2022.
Imbas kembali, JDT telah memulakan kempen persaingan Liga Super Malaysia 2022 dengan melayan kunjungan Kelab Penang FC pada 4 Mac 2022 di Stadium ikonik kebanggaan, Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Kontinuiti dari kejayaan mempertahankan kejuaraan Piala Sumbangsih 2022, rentak kemenangan Harimau Selatan diteruskan apabila berjaya menundukkan Penang FC dengan keputusan 1-0. Jaringan Bergson da Silva pada minit ke-70’ telah menjadi mukadimah naratif persaingan Liga Super Malaysia musim 2022 ini.
PENYOKONG TETAP DIUTAMAKAN WALAUPUN BERDEPAN JADUAL YANG PADAT
Organisasi JDT sering mengutamakan penyokong JDT. Apa pun terjadi penyokong tidak akan diketepikan. Jika beberapa perkara mengenai kelab yang dirasakan perlu dikongsi untuk mengelakkan penyokong mendapat maklumat yang salah, satu sesi perjumpaan secara terbuka dan santai akan diadakan.
Untuk makluman, kepimpinan JDT adalah satu-satunya badan pengurusan kelab bola sepak yang berani berhadapan dengan penyokong dan soalan tanpa tapisan wartawan. Sesi dialog bersama penyokong dan media adalah program yang amat dinanti kerana mereka dapat berada lebih dekat mengajukan soalan dengan tampuk tertinggi pengurusan kelab.
Terbaharu, sekitar 28 Jun 2022, organisasi JDT mengambil pendekatan inklusif apabila menjemput wakil penyokong ke sesi perjumpaan di bilik media, Stadium Sultan Ibrahim untuk berkongsi beberapa pelan kontigensi dan hala tuju kelab di masa hadapan. Antara berita yang didedahkan adalah senarai pemain-pemain baharu Harimau Selatan dan perancangan kelab yang telah siap sedia diaturkan sehingga musim 2024.
Paling menarik dan buat julung kalinya, sekitar hari Selasa, 21 Jun 2022, organisasi JDT telah menjemput Para Pemegang Pas Bermusim untuk menyaksikan Sesi Latihan Terbuka JDT secara eksklusif di Stadium Sultan Ibrahim.
TERIMA KASIH MAURICIO! SEKALI MERAH BIRU, SELAMANYA MERAH BIRU!
Berita pemain luar negara yang beraksi di posisi pertahanan, Maurício dos Santos Nascimento meninggalkan JDT mungkin mengejutkan kebanyakan penyokong setia Merah Biru.
Secara konseptualnya, pemain mahupun kakitangan mungkin datang dan pergi. Namun koordinasi bersistematik merangkumi strategi, masa, kesempurnaan urus tadbir serta perancangan masa hadapan harus kekal menjadi pemacu utama dalam stabiliti dan kualitatif empayar JDT dalam tempoh jangka masa panjang.
Imbas kembali, Maurício dos Santos Nascimento telah menjulang lapan trofi bersama JDT iaitu Juara Piala Sumbangsih 2019-2022, Juara Liga Super Malaysia 2019-2021, Juara Piala Malaysia 2019.
Masih segar dalam ingatan, pada 3 Mac 2020 berlangsungnya perlawanan kedua JDT dalam persaingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2020. Ketika itu, JDT turun menentang juara Piala FA Republik Korea, Suwon Samsung Bluewings. Maurício dos Santos Nascimento telah berjaya menjaringkan gol kemenangan lantas membantu JDT melakar kejutan dengan membenam kelab gergasi liga utama Republik Korea (KLeague 1) itu 2-1 pada aksi Kumpulan G di Stadium Sultan Ibrahim.
Tidak stagnasi disitu, Mauricio Nascimento juga telah dinobat sebagai pemenang anugerah gol terbaik mingguan Allianz oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menerusi laman sesawang rasmi badan induk tersebut.
Akhir kata, tugas getir bakal menanti Harimau Selatan apabila bakal menghadapi empat perlawanan digelanggang lawan secara berturut-turut termasuk satu perlawanan peringkat suku akhir Piala FA 2022. Secara rasionalnya, ianya merupakan tugas yang amat sukar malah memerlukan fokus maksima pada setiap perlawanan. Namun aplikatif atitud ‘Winning Mentality’ yang telah sebati dalam keluarga JDT, pastinya JDT akan melaluinya dengan cemerlang.
Luaskan Kuasamu Johor!