Pra-musim adalah waktu paling ideal bagi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk eksperimentasi keberkesanan operasional, strategikal, taktikal dan memupuk keserasian antara pemain selain memulihkan kembali kecergasan setelah berehat panjang.

    Imbas kembali, berikut jelajah pra-musim yang pernah direncanakan oleh organisasi JDT;

    PELAN KONTINGENSI MUSIM 2015, JDT MEMBINA KEYAKINAN DI AUSTRALIA

    Pada musim 2014, JDT menjuarai Liga Super Malaysia buat kali pertama lalu melayakkan untuk beraksi di kejohanan Piala AFC (AFC Cup) buat julung kalinya.

    Maka menjelang musim baharu 2015, organisasi JDT telah merangka siri perlawanan persahabatan pra-musim berintensiti tinggi sebagai persediaan mantap untuk mempertahankan kejuaraan Liga Super Malaysia 2015 dan cabaran baharu Piala AFC 2015. Rentetan itu, Australia telah dipilih sebagai lokasi aksi pemanas badan.

    Beberapa perlawanan persahabatan bersama kelab-kelab utama A-League seperti Bentleigh Green FC dan Melbourne City telah diaturkan. Paling menarik perhatian, JDT juga telah mendapat peluang menentang pasukan kebangsaan Palestin dan Uzbekistan yang turut berada disana. Perlawanan-perlawanan tersebut telah berlangsung di Stadium Marconi, Sydney dan Stadium Rectangular, Melbourne.

    PRA-MUSIM 2016 HINGGA 2019, THAILAND MENJADI DESTINASI PILIHAN

    Susulan Harimau Selatan meraih kejayaan epik tampil sebagai kelab bola sepak pertama dari Asia Tenggara menjulang Piala AFC (AFC Cup) 2015, organisasi JDT sudah mula memvisualisasikan sasaran lebih jauh. Maka jelajah pra-musim dijadikan rutin wajib saban musim serta dikoordinasi secara teratur dan penuh sistematik.

    4 musim berturut-turut. Bermula dari persiapan musim baharu 2016 sehingga musim 2019, Thailand telah dijadikan sebagai lapangan latihan pra-musim bagi mempertingkatkan motivasi, menjana keyakinan dan melonjakkan prestasi.

    Ketika itu, Thailand yang memegang reputasi kuasa besar bola sepak Asia Tenggara dilihat destinasi tepat berikutan mempunyai kualiti, kesempurnaan fasiliti, prasarana, teknologi terkini serta penglibatan kelab utama liga itu yang bertanding di Liga Juara-Juara AFC (ACL).

    Sejak itu, JDT telah bertembung lebih kurang 10 kelab bola sepak dari negara tersebut seperti Ratchaburi Mitrphol FC, Bangkok United FC, PTT Rayong FC, Big Bang Chulalongkorn University FC, Army United, Chonburi FC, Port FC, Air Force Central FC dan Buriram United FC.

    PRA-MUSIM 2020 DAN 2022, HARIMAU SELATAN MEMILIH KE UAE

    Emiriah Arab Bersatu (UAE) sering menjadi destinasi pilihan kelab-kelab bola sepak terkemuka dunia menjalani latihan pra-musim kerana kemudahan-kemudahan sofistikated dan spektakular bertaraf dunia yang ada di negara tersebut.

    Kerana faktor itu, menjelang musim baharu 2020, JDT telah berkampung di Kota Metropolitan Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) selama 15 hari bermula 15 Januari 2020 untuk persiapan pra-musim. Kelab Riga FC (Latvia), Kelab Dibba Al Fujairah (UAE), Kelab MSK Zilina (Slovakia) dan Pasukan kebangsaan Turkemenistan menjadi eksperimental dalam gerakan organisasi JDT merekonsiliasi serta memantapkan skuad Harimau Selatan menghadapi musim baharu yang penuh mencabar.

    Memasuki musim baharu 2022, buat kali kedua, bermula 17 Januari 2022, JDT kembali ke Dubai dan Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk persiapan pra-musim. Beberapa perlawanan persahabatan bersama kelab-kelab elit berpengkalan di Eropah telah diaturkan untuk menguji kecergasan dan keberkesanan koordinasi pemain Harimau Selatan antaranya Kelab FC Rodina Moscow (Rusia), Kelab MSK Zilina (Slovakia) dan Kelab Riga FC (Latvia).

    Paling menarik, JDT berhadapan FC Spartak Moscow, sebuah kelab bola sepak profesional Rusia dari Moscow dan merupakan sebuah kelab paling berjaya di negara tersebut. Bekas pemain Chelsea FC, Victor Moses antara pemain terkemuka yang beraksi untuk kelab yang digelar ‘Krasno-Belye’ (Merah dan Putih) ini.

    ERA BAHARU 2023, DUBAI MENJADI LOKASI PEMANAS BADAN JDT BUAT KALI KETIGA

    Membuka naskah baharu musim 2023, organisasi JDT telah mengumumkan bahawa Harimau Selatan akan diterbangkan buat kali ketiga ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk siri perlawanan persahabatan pra-musim menjelang musim baharu 2023.

    Antara perlawanan persahabatan berintensiti tinggi yang telah berada dalam perancangan adalah bertemu FC Rostov (Rusia) pada 25 Januari 2023, FC Levski Sofia (Bulgaria) pada 31 Januari 2023 dan FC Lokomotiv Moscow (Rusia) pada 2 Februari 2023.

    Kemuncak paling ditunggu, Harimau Selatan akan bertemu dengan Juara 4 tahun berturut-turut Russian Premier League iaitu FC Zenit St. Petersburg pada 6 Februari 2023. Kelab elit eropah yang berpengkalan di Saint Petersburg ini dibarisi pemain-pemain berprofil tinggi antaranya pemain pasukan kebangsaan Colombia Wilmar Barrios, pemain pasukan kebangsaan Russia Daler Kuzyayev dan bekas Pemain Barcelona 2018-2019 Malcom Filipe Silva de Oliveira.

    Dengan beberapa siri perlawanan persahabatan yang diatur, secara konseptualnya, pemain-pemain bakal mendapat bayangan awal mengenai falsafah, taktikal dan strategi ketua jurulatih baharu Esteban Solari yang akan mengendalikan pasukan pada musim 2023.

    Akhir kata, kejayaan tidak dapat terwujud dengan sendirinya, namun kejayaan akan datang ketika ada usaha untuk meraihnya. Tetapkan kedudukan, tekadkan impian, ayuh lakar semula sejarah Harimau Selatan!

    Luaskan Kuasamu Johor!