Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah merangka siri latihan dan perlawanan persahabatan pramusim di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) buat kali ketiga sebagai persediaan menghadapi musim baharu 2023.
    Antara perlawanan persahabatan berintensiti tinggi yang telah dirancang adalah bertemu FC Rostov (Rusia), FC Levski Sofia (Bulgaria), Fursan Hispania FC (UAE), FC Lokomotiv Moscow (Rusia) dan juara 4 tahun berturut-turut Russian Premier League iaitu FC Zenit St. Petersburg.
    JDT DI DUBAI, MENJANA KEYAKINAN MENJELANG MUSIM BAHARU
    Secara konseptualnya, latihan pramusim merupakan mekanisme terbaik untuk barisan kejurulatihan mencari solusi efektif mengatasi kelemahan serta mengoptimakan tahap kecergasan fizikal dan mental setiap pemain menjelang musim baharu yang akan tiba.
    Imbas kembali, sesi latihan intensif telah dimulakan secara rasmi pada 9 Januari 2023 di Pusat Latihan JDT, Padang Seri Gelam. Berselang beberapa hari selepas itu, sekitar 11 Januari 2023, barisan pemain telah dipanggil untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di Pusat Perubatan dan Kecergasan JDT, Padang Seri Gelam sebelum mereka diterbangkan ke Kota Metropolitan Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk latihan dan perlawanan persahabatan pramusim.
    23 JANUARI 2023, BERMULANYA EPISOD PRAMUSIM JDT
    23 Januari 2023 merupakan hari pertama buat keseluruhan pemain JDT memulakan latihan pramusim di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE). Stadium multifungsi The Sevens Stadium telah dipilih menjadi lokasi pusat latihan JDT sepanjang berada di selatan Semenanjung Tanah Arab tersebut.
    Paling ditunggu, aksi pramusim di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dilihat bakal memberi bayangan formasi, taktikal dan juga keampuhan strategi ketua jurulatih Harimau Selatan yang baharu iaitu Esteban Solari.
    Selain itu juga, pramusim ini pastinya memberi masa serta ruang kepada pemain-pemain baharu seperti Diogo Luís Santo, Juan Muñiz Gallego, Oscar Arribas, Endrick dos Santos dan Ahmad Syihan Hazmi untuk menyesuaikan diri dengan dinamik sosial, piawaian organisasi, corak serta gaya permainan skuad Harimau Selatan.
    PENDEDAHAN DAN PELUANG BERHARGA BUAT PEMAIN MUDA JDT
    Organisasi JDT juga mempunyai kesedaran yang amat kuat tentang kepentingan memproduksikan bakat-bakat muda yang berkualiti dan bernilai tinggi dalam pasaran global demi transisi yang kondusif buat empayar Harimau Selatan.
    Maka, seperti tahun-tahun sebelum ini, jelajah pramusim telah menjadi platform pendedahan dan lapangan ujian kepada pemain-pemain muda yang diyakini berpotensi bersaing merebut tempat dalam skuad utama bermulanya musim baharu. Pada kali ini, beberapa pemain muda berbakat dari JDT ll yang mempamerkan aksi cemerlang sepanjang musim lepas seperti Aysar Hadi, Zulhilmi Sharani, Adam Farhan dan Daryl Sham telah mendapat peluang berharga tersebut.
    Dari segi kontekstual, sosiobudaya dan tatacara pasukan ketika menjalani pramusim yang penuh prestij ini pastinya mendorong secara drastik perkembangan kognitif, karisma, abiliti, kreativiti, kredibiliti dan kualiti pemain-pemain muda ini.
    PRAMUSIM YANG ISTIMEWA, ISOLASI DARI GELOMBANG DEPRESI
    Di sebalik rejim latihan intensif dan perlawanan-perlawanan berintensiti tinggi yang telah diaturkan ketika jelajah pramusim, organisasi JDT sentiasa memastikan setiap komponen dalam pasukan ini terisolasi dari gelombang depresi dalam mencapai objektif.
    Kerana itu, walaupun dalam kekangan kesibukan skuad JDT mengharungi latihan dan perlawanan pramusim di Dubai, pemilik Kelab JDT iaitu DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor memberi kelonggaran dengan menyediakan itinerari aktiviti riadah. Antaranya adalah para pemain dan kakitangan JDT telah dibawa menikmati hidangan mewah stik bersalut emas 24 karat di Nusr-Et Steakhouse, diberi peluang merentas Gurun Dubai dengan pengalaman pemanduan penuh mencabar di gurun pasir dan membelanja pemain di NIKE Town, Dubai Mall.
    Akhir kata, manfaat dari koordinasi bersistematik yang merangkumi strategi dan masa dalam merencanakan aksi pramusim bakal menjadikan JDT kini bersedia menghadapi apa sahaja cabaran mendatang musim baharu kelak.
    Luaskan Kuasamu Johor!