Segalanya bermula sekitar 29 November 2023 apabila pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor mendedahkan bahawa Harimau Selatan bakal menjadikan Sepanyol destinasi terbaharu kempen pramusim luar negara setelah tiga musim berturut-turut di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

    Perancangan itu berjaya direalisasikan. Pada 14 Mac 2024, platform media sosial rasmi JDT, JOHOR Southern Tigers (JST) mengesahkan bahawa skuad Harimau Selatan akan menjalani latihan dan perlawanan persahabatan pramusim 2024-25 dari 14 hingga 30 April 2024 di Alicante, Sepanyol.

    GANDINGAN ISTIMEWA JDT-MALAYSIA AIRLINES, MEMBELAH AWAN BENUA EROPAH

    Impak dari jalinan kolaborasi bersama Syarikat penerbangan Malaysia Airlines, seramai 35 pemain JDT diterbangkan khas ke bumi Sepanyol pada 14 April 2024. Secara konseptualnya, ini adalah kesinambungan keistimewaan perjanjian kerjasama strategik yang telah termeterai antara JDT dan syarikat penerbangan nasional Malaysia tersebut sejak 2 tahun lalu.

    Imbas kembali, bertarikh 20 Februari 2022, pihak pengurusan JDT telah mengumumkan bahawa syarikat penerbangan Malaysia Airlines telah bersetuju memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Harimau Selatan. Menerusi kerjasama ini, Malaysia Airlines akan menjadi rakan penerbangan eksklusif untuk JDT yang akan menerbangkan pasukan ke perlawanan di seluruh Malaysia dan luar negara.

    Ironinya, ketika detik penajaan itu diumumkan secara rasmi, tercatat sebuah alegori hebat Empayar JDT dalam pasca modenisasi bola sepak negara apabila menjadi satu-satunya kelab tempatan yang berjaya mendapat kepercayaan Malaysia Airlines sebagai rakan penerbangan rasmi.

    REINO DE ESPANA, BERMULANYA EPISOD PRAMUSIM 2024-25 JDT

    Sesi latihan intensif pramusim 2024-25 JDT dimulakan secara rasmi sekitar 14 Februari 2024 di Pusat Latihan JDT, Padang Seri Gelam. Sekitar 27 Februari 2024, barisan pemain telah dipanggil untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di Pusat Perubatan dan Kecergasan JDT, Padang Seri Gelam bagi memantau tahap kesihatan termasuk kesesuaian nutrisi pemain agar berada pada tahap paling terbaik sebelum mereka diterbangkan ke Alicante, Sepanyol untuk latihan pramusim luar negara.

    15 April 2024 merupakan hari pertama buat keseluruhan pemain JDT memulakan latihan pramusim di Kota Benidorm, wilayah Alicante. Pusat Bola Sepak MeliΓ‘ Villaitana yang terletak di tengah-tengah Costa Blanca telah dipilih menjadi lokasi pusat latihan JDT sepanjang berada di negara Kesatuan Eropah (EU) tersebut.

    Dengan berlatar belakangkan pemandangan indah Gran BahΓ­a di Costa Blanca serta dikelilingi binaan bereka bentuk estetik dan bersejarah, pusat latihan spektakular berhampiran lingkaran pantai Mediterranean ini menawarkan latihan pramusim yang kondusif dan sarat dengan elemen eksklusif.

    Paling ditunggu, aksi pramusim di Sepanyol ini dilihat bakal memberi bayangan formasi, taktikal dan juga keampuhan strategi ketua jurulatih baharu Harimau Selatan, Hector Bidoglio melalui tujuh perlawanan persahabatan yang telah dirancang.

    Selain itu juga, pramusim ini pastinya memberi masa serta ruang kepada pemain-pemain baharu seperti Jalil ElΓ­as, Francisco Geraldes, Murilo Henrique, Nicolao Cardoso dan Romel Morales untuk menyesuaikan diri dengan dinamik sosial, piawaian organisasi, corak serta gaya permainan skuad Harimau Selatan.

    PENDEDAHAN DAN PELUANG BERHARGA PEMAIN MUDA JDT

    Organisasi JDT juga mempunyai kesedaran yang amat kuat tentang kepentingan memproduksikan bakat-bakat muda yang berkualiti dan bernilai tinggi dalam pasaran global demi transisi yang kondusif buat empayar Harimau Selatan.

    Maka, seperti tahun-tahun sebelum ini, jelajah pramusim telah menjadi platform pendedahan dan lapangan ujian kepada pemain-pemain muda yang diyakini berpotensi bersaing merebut tempat dalam skuad utama bermulanya musim baharu. Pada kali ini, seramai 5 pemain muda berbakat dari skuad simpanan serta pembangunan JDT seperti Zulhilmi Sharani, Pavithran Gunalan, Ridzwan Rosli, Gabriel Nistelrooy dan Hafiz Azizi Zamri telah mendapat peluang berharga tersebut.

    Dari segi kontekstual, sosiobudaya dan tatacara pasukan ketika menjalani pramusim yang penuh prestij ini pastinya mendorong secara drastik perkembangan kognitif, karisma, abiliti, kreativiti, kredibiliti dan kualiti pemain-pemain muda ini.

    Akhir kata, manfaat dari koordinasi bersistematik yang merangkumi strategi dan masa dalam merencanakan aksi pramusim bakal menjadikan JDT kini bersedia menghadapi apa sahaja cabaran mendatang musim baharu kelak.
    Luaskan Kuasamu Johor!