Sejak 2013 lagi, aspirasi dan idea organisasi amat jelas iaitu menjadikan Kelab Bolasepak Johor Darul Taโzim (JDT) sebagai pasukan terbaik dalam setiap aspek.
Berpegang pada dogma tersebut, tahun demi tahun, keseluruhan komponen dalam organisasi sentiasa berusaha membuat penambahbaikan memantapkan pasukan sedia ada, memperkukuhkan lagi jenama, menambah aset bertaraf dunia dan melonjakkan superioriti setiap pemain dari peringkat akar umbi sehingga ke skuad senior.
Sentimen itu terbukti apabila walaupun telah mengumpulkan 19 trofi, JDT sentiasa berkemahuan muncul sebagai pemenang dengan mempamerkan aksi konsisten, dinamik dan bertenaga tanpa merasa selesa dengan sejarah kejayaan yang dirangkul.
PRESTASI MENAKJUBKAN JDT MEMPENGARUHI DAN MEMBERI MOTIVASI KEPADA SKUAD PELAPIS
Meniti pertengahan musim 2022, skuad utama JDT dilihat kekal berada pada prestasi optimum serta reseptif mengimplementasi misi walaupun berdepan cabaran yang sukar dalam setiap kompetisi. Dengan melalui perlawanan ke-14 setakat ini, skuad utama masih mengungguli singgahsana Liga Super Malaysia 2022 serta mengira detik bertempur di peringkat akhir Piala FA 2022.
Secara rasionalnya, pencapaian hebat skuad utama JDT ini dalam kejohanan domestik dan antarabangsa berjaya mempengaruhi, mendorong serta memberi motivasi kepada skuad-skuad pelapis muda JDT agar kekal fokus dalam persaingan liga masing-masing.
JDT II MENCABAR KEDUDUKAN PENDAHULU LIGA PREMIER 2022
Antara yang menerima impak positif adalah skuad JDT ll yang bersaing di Liga Premier 2022. Skuad ini dilihat berada dalam kedudukan terbaik mencabar kedudukan pendahulu liga ketika ini. Dengan keputusan 10 menang, 3 seri dan 2 kekalahan, 33 mata telah terkumpul sepanjang 15 perlawanan yang telah berlangsung. Bukan itu sahaja, JDT II juga muncul sebagai pasukan paling banyak menghasilkan jaringan dengan mengumpul 32 gol setakat ini.
Untuk makluman JDT ll hanya ketinggalan 3 mata di belakang Kelantan FC walaupun kekurangan satu perlawanan berbanding pasukan tersebut.
Produk Akademi JDT yang beraksi bersama JDT ll iaitu K.Daryl Sham antara pemain muda yang menonjol apabila menjaringkan 7 gol setakat ini serta berjaya menempatkan diri dikedudukan ketujuh penjaring terbanyak Liga Premier 2022. Paling menarik, pemain berusia 19 tahun ini tampil sebagai pemain paling muda dikalangan 10 penjaring terbanyak kejohanan.
Imbas kembali, sekitar 13 Mac 2022, K.Daryl Sham telah membuat penampilan sulung dalam skuad senior dan turut menjaringkan satu gol ketika menentang wakil Liga M3, BRM FC dalam aksi pusingan pertama Piala FA 2022 pada 13 Mac 2022 di Stadium ikonik kebanggaan, Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
JDT III BERJUANG DI PERINGKAT AKHIR PIALA PRESIDEN, PENCAPAIAN CEMERLANG AKADEMI JDT U14
Piala Presiden merupakan pertandingan bola sepak pembangunan di Malaysia untuk pemain Bawah-21 tahun yang dianjurkan oleh Persatuan bola Sepak Malaysia (FAM). Piala itu disertai oleh skuad pembangunan daripada kelab yang bersaing di bahagian teratas dan kedua sistem liga bola sepak Malaysia iaitu Liga Super Malaysia dan Liga Premier.
JDT yang diwakili JDT lll mengungguli Kumpulan B dengan kutipan 27 mata seterusnya menyingkirkan Kuala Lumpur City FC serta Selangor FC di peringkat Suku Akhir dan Separuh Akhir persaingan Piala Presiden 2022. Dalam situasi terkini, skuad kendalian Javier Jorda Ribera ini sedang bertarung di peringkat akhir dalam aksi timbal balik pada 21 dan 28 Ogos 2022.
Sekitar 24 Julai 2022, Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT) Bawah-14 telah menjuarai Kejohanan Remaja LaLiga setelah menewaskan wakil dari Thailand Sungmenchanupatham 1-0.
Untuk makluman, Kejohanan Remaja LaLiga ini telah diadakan pada 23 dan 24 Julai di Arena Kopa, Pulau Pinang. Menjengah ke edisi kedua, kejohanan ini telah menghimpunkan pasukan terbaik dalam kategori U8, U10, U12, U14 dan U16, dari Asia Tenggara. Antara negara yang mengambil bahagian ialah Thailand, Filipina, Laos dan Indonesia.
Akhir kata, segala usaha giat JDT yang diterjemahkan dengan deretan sejarah baharu yang terlakar berjaya memusnahkan ideologi tipikal serta stigma sosial yang lapuk golongan-golongan stereotaip terhadap masa depan bola sepak tanah air.
Luaskan Kuasamu Johor!