Retrospeksi memorabilia indah, 24 Januari 2016, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor telah membawa khabar gembira kepada penyokong-penyokong setia Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila baginda bertitah akan membina stadium baharu berkelas dunia buat JDT.
Tidak lama selepas dari hebahan tersebut, pada hari Sabtu, 30 Januari 2016, satu upacara majlis pecah tanah pembinaan stadium baharu di Iskandar Puteri telah diadakan.
Empat tahun kemudian, pada 22 Februari 2020 telah menjadi sebahagian anotasi dari lipatan sejarah bola sepak Negeri Johor apabila Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri dirasmikan dalam acara yang penuh menakjubkan. Dengan kos pembinaan bernilai RM250 juta ianya menjadi aset kekal paling berharga milik organisasi JDT.
Tanpa sedar, masa telah berlalu dengan pantas. Pada 22 Februari 2022, Stadium Sultan Ibrahim telah meniti usia dua tahun dan memasuki pascabaharu dalam era komersialisasi.
IMPIAN MENJADIKAN STADIUM SULTAN IBRAHIM MENJADI PUSAT TARIKAN PELANCONG MENJADI KENYATAAN
Definisi objektif adalah sesuatu matlamat dan tujuan yang telah ditetapkan. Di JDT, objektif ini adalah perkara paling dititikberatkan dan diberi tumpuan sepenuhnya dalam perjalanan organisasi memburu kejayaan demi kejayaan.
Bukan sekadar retorik, sejak dari awal lagi, objektif DYAM Tunku Mahkota Johor adalah menjadikan Stadium Sultan Ibrahim tampil sebagai antara stadium terbaik di dunia dan juga menjadi pusat tarikan pelancongan baharu Negeri Johor.
Imbas kembali, sekitar bulan November 2017, baginda bertitah bahawa Stadium Sultan Ibrahim akan dibina dengan rekabentuk moden serta memiliki fasiliti berkelas dunia malah mempunyai padang berkualiti tinggi setanding dengan stadium-stadium terbaik eropah. Tidak stagnasi disitu, stadium ini bukan sahaja untuk kegunaan perlawanan bola sepak tetapi juga bakal menjadi pusat riadah yang akan menjadi tumpuan pengunjung.
Segalanya menjadi kenyataan, sekitar 29 Mac 2022, melalui platform media sosial rasmi JDT iaitu JOHOR Southern Tigers (JST) telah mengumumkan bahawa stadium ikonik Harimau Selatan, Stadium Sultan Ibrahim telah bersedia untuk dibuka kepada pengunjung pada setiap hari mulai 1 April 2022.
Antara aktiviti menarik yang menanti pengunjung ialah menikmati makanan dan minuman di restoren yang berlokasi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri dan eksplorasi perkarangan Stadium Sultan Ibrahim dengan pengalaman eksklusif menaiki JDT Hummer H2 Limosin rekaan khas.
‘JDT HUMMER TOUR’, PENGALAMAN LAWATAN STADIUM DENGAN PENUH BERGAYA
Pada tanggal 23 September 2016, DYAM Tunku Mahkota Johor telah menghadiahkan Hummer H2 Limosin baharu yang ditempah khas kepada organisasi JDT untuk kegunaan pihak pengurusan. Buat pertama kalinya, pada 24 September 2016, JDT Hummer H2 Limosin rekaan khas telah digunakan untuk perarakan meraikan kejuaraan hatrik Liga Super Malaysia.
Untuk makluman, Hummer adalah jenama kenderaan trak dan SUV terkemuka daripada Amerika Syarikat. Model kenderaan ini pertama kali dipasarkan pada tahun 1992 apabila AM General mula menjual versi awam model kenderaan militer M998 Humvee. Pada tahun 1998, General Motors (GM) membeli jenama itu daripada AM General dan memasarkan tiga kenderaan iaitu Hummer H1, H2 dan H3 yang dibuka kepada pasaran awam di seluruh dunia.
Kini pengalaman menaiki JDT Hummer H2 Limosin rekaan khas itu bukan sahaja dapat dirasai oleh para pemain dan kakitangan JDT tetapi juga terbuka kepada semua pengunjung apabila pada tanggal 1 April 2022, JDT Hummer Tour telah memulakan operasi buat julung kalinya lantas menjadi tarikan baharu di Stadium Sultan Ibrahim.
Dengan kadar bayaran serendah RM30, JDT Hummer Tour akan membawa pengunjung secara eksklusif mengelilingi stadium selama 10 minit. JDT Hummer Tour beroperasi pada hari Jumaat hingga Ahad dari jam 9 pagi hingga 6 petang.
MARKAZ BOS DAN RESTORAN WOOD FIRE, PASCABAHARU ERA KOMERSIALISASI STADIUM SULTAN IBRAHIM
Selain JDT Hummer Tour, Stadium Sultan Ibrahim milik Kelab JDT mempunyai begitu banyak kemudahan dan aktiviti untuk dinikmati para penyokong ketika melawat stadium yang menjadi mercu tanda empayar Harimau Selatan ini.
Antaranya ialah ruangan untuk Kelab Penyokong Rasmi, 5 ruangan untuk solat dan 4 ‘Photobooth’ Interaktif telah disediakan. Pihak pengurusan stadium juga telah membuat perancangan rapi untuk membuka lebih banyak kedai komersil di 29 lot premis sedia ada serta 4 lot premis yang diperuntukan untuk restoran dan kafeteria pada masa akan datang.
Sebagai permulaan, Restoran Woodfire Burger telah membuka perniagaan secara rasmi pada 1 April 2022. Restoran ini beroperasi setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam. Sebelum ini, Komuniti Boys Of Straits telah memulakan langkah awal apabila bertindak membuka cawangan kedua ‘Markaz B.O.S’ di salah satu lot perniagaan yang telah disediakan di Stadium Sultan Ibrahim. Namun kedai yang menjual pelbagai cenderahati rasmi komuniti tersebut hanya beroperasi pada hari perlawanan bermula jam 5.00 petang sehingga 9.00 malam.
Akhir kata, organisasi JDT representatif sebuah organisasi yang tidak akan berhenti menjadi perintis malah sentiasa memberikan fokus kepada kontinuiti aspek kesempurnaan urus tadbir, penambahbaikan dan pembangunan prasarana Stadium Sultan Ibrahim lantas menjadi pemacu utama lonjakan nilai komersial stadium multifungsi kebanggaan Harimau Selatan ini.