Memadam rekod lampau, melakar sejarah baharu. Segalanya adalah mengenai Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) yang kini berada pada kelas yang sangat berbeza.
Bukan sekadar retorik, 4 kejuaraan Liga Domestik yang dirangkul menjadikan musim 2022 sebagai musim paling luar biasa dan berjaya sejak 2013.
PIALA SUMBANGSIH, LANGKAH KANAN MUSIM 2022
Piala Sumbangsih 2022 telah berlangsung pada hari Sabtu, 26 Februari 2022. Misi pertama Harimau Selatan iaitu mengekalkan kejuaraan Piala Sumbangsih berjaya dilaksanakan dengan penuh bergaya. Kejayaan menamatkan cabaran Kuala Lumpur City 3-0 hasil jaringan Nazmi Faiz, Fernando Forestieri dan Afiq Fazail di Stadium ikonik kebanggaan, Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri membawa kepada jaringan terbesar pernah dihasilkan oleh JDT sepanjang 7 kali menjulang Piala Sumbangsih.
Pada tarikh tersebut juga, satu sejarah baharu telah tercipta dihadapan lebih 15,000 penyokong Harimau Selatan apabila JDT tampil sebagai kelab paling lama mempertahankan Piala Sumbangsih setelah berjaya memonopoli kejuaraan selama lima tahun berturut-turut. Untuk rekod, JDT telah merangkul kejuaraan ini sejak tahun 2018 sehingga kini.
PIALA FA 2022, KEMBALI KE BUMI JOHOR
Skuad utama Harimau Selatan telah meraih trofi kedua musim 2022 dan ke-20 secara keseluruhan selepas dinobatkan sebagai juara edisi ke-32 Piala FA 2022 menerusi kemenangan 3-1 ke atas Terengganu FC dalam aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada hari Sabtu, 10 September 2022.
Beraksi cemerlang di hadapan 84,321 penonton, JDT berjaya menjulang trofi kejohanan hasil gol yang disumbangkan oleh Arif Aiman Mohd Hanapi pada minit ke-34 serta jaringan berganda Bergson Da Silva pada minit ke-62 dan 78. Untuk rekod, kali terakhir JDT menjulang Piala FA adalah pada 14 Mei 2016, edisi ke-27 Super Best Power Piala FA musim 2016 dengan menewaskan PKNS FC 2-1 di Stadium Shah Alam, Selangor.
UNBEATEN’ KALI KETIGA MENGIRINGI ‘TRIPLE HATTRICK’ LIGA SUPER MALAYSIA
JDT telah memulakan kempen Kejohanan Liga Super Malaysia 2022 dengan melayan kunjungan kelab ‘Penang Panthers’ Penang FC pada 4 Mac 2022 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. Rentak kemenangan Harimau Selatan diteruskan apabila berjaya menundukkan Penang FC 1-0. Jaringan Bergson da Silva pada minit ke-70’ menjadi mukadimah interpolasi persaingan Liga Super Malaysia musim 2022 ini.
Kemuncaknya pada aksi LS18 ketika mencatatkan kemenangan besar keatas Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Ibrahim, JDT telah sah ditabalkan selaku juara Liga Super Malaysia edisi ke-19.
Pada 15 Oktober 2022 dalam aksi terakhir LS22 Liga Super Malaysia, JDT telah mencatat kemenangan 3-0 menentang Sabah FC di Stadium Sultan Ibrahim. Paling menarik, jaringan akrobatik Bergson da Silva pada minit ke-55’ telah menoktahkan kempen Liga Super 2022.
Secara rasminya, selain dimahkotakan sebagai juara bertahan 9 musim berturut-turut sejak musim 2014, JDT unggul mencatat rekod tanpa sebarang kekalahan buat kali ketiga selepas melakukannya pada musim 2016 dan 2020.
KEJUARAAN PIALA MALAYSIA 2022, MELENGKAPKAN TOTAL DOMINASI JDT
Musim 2022 menyaksikan perubahan radikal format TM Piala Malaysia apabila badan penganjur Malaysian Football League (MFL) memutuskan untuk memansuhkan aksi peringkat kumpulan.
Sebaik sahaja sepak mula kompetisi TM Piala Malaysia 2022, JDT mencatatkan kemenangan keatas PJ City di peringkat kalah mati ‘Round of 16’ secara timbal balik dengan agregat 6-0.
Rentak cemerlang itu diteruskan pada peringkat Suku Akhir TM Piala Malaysia 2022 setelah Harimau Selatan menamatkan cabaran Kelantan FC dengan agregat besar 8-0.
Pada peringkat Separuh Akhir TM Piala Malaysia 2022, JDT menewaskan Sabah FC dengan agregat 4 -1 lantas menepati ramalan menjadi salah satu pasukan yang akan mengisi slot perlawanan akhir kejohanan tersebut.
Pada tanggal 26 November 2022, satu sejarah baharu telah tercipta bila mana JDT dinobatkan sebagai juara kejohanan tersebut. Hampir 40,000 penyokong setia Harimau Selatan menjadi saksi kejayaan JDT menjulang Piala Malaysia 2022 dengan menundukkan Selangor FC 2-1 hasil jaringan Bergson da Silva pada minit ke 47’ dan Fernando Forestieri pada minit ke 59’ dalam aksi perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil. Trofi itu juga merupakan gelaran kali ketiga selepas menjulang kejuaraan pada 2017 dan 2019.
Akhir kata, impian tidak dapat terwujud dengan sendirinya, namun impian akan datang ketika kita berusaha dan berkerja keras untuk meraihnya.
Selamanya Johor Darul Ta’zim!