REKAPITULASI PERJALANAN HARIMAU SELATAN DALAM MELUASKAN KUASA

    “Anda boleh benci saya ataupun JDT, anda boleh sayangi saya dan JDT, tetapi apabila anda cuba mempertikaikan kejayaan JDT, itu menunjukkan yang anda kurang bijak”- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

    Dalam era pascakebangkitan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), kelab ini dilihat semakin agresif mencapai impian. Transformasi, reformasi, revolusi dan ambisi adalah komponen yang menjadi proposisi penting dalam membawa kelab ini semakin maju kehadapan.

    TRANSFORMASI KE ARAH BAIK KEPADA LEBIH BAIK

    Transformasi merupakan komponen paling penting apabila ingin mencapai sesuatu kemajuan. Transformasi atau perubahan juga merupakan satu faktor dan titik tolak dalam bangkitnya Harimau Selatan dari lena yang panjang. DYAM Tunku Mahkota Johor berorientasi menjadikan transformasi bola sepak Johor sebagai satu impian yang tiada berpenghujung.

    JDT tetap terus mengalami transformasi dari tahun ke tahun walaupun berbagai-bagai kejayaan berjaya dikecapi. Dengan adanya momentum dalam transformasi, DYAM Tunku Mahkota Johor dilihat sentiasa ingin terus memajukan JDT dan tidak akan membiarkan kelab ini terlalu selesa dibuai kejayaan.

    Ini kerana signifikasi falsafah transformasi adalah terus melakukan perubahan daripada satu keadaan baik kepada satu keadaan yang lebih baik.

    REFORMASI STRUKTUR SECARA TOTAL

    Reformasi secara etimologis berasal dari kata “reformation”. Reformasi dalam penstrukturan semula organisasi adalah berkait rapat dengan falsafah “make or become better by removing or putting right what is bad or wrong”.

    Semua sedar bagaimana keadaan awal organisasi ini semasa DYAM Tunku Mahkota Johor mengambil alih. Proses reformasi dalam organisasi JDT dahulu adalah proses reformasi yang radikal dan berlangsung dalam jangka waktu yang singkat.

    Namun begitu reformasi dalam organisasi JDT melalui proses pembaharuan yang terencana dan sangat teliti. Atas kesedaran tersebut, DYAM Tunku Mahkota Johor sentiasa peka dalam membuat pembaharuan dalam organisasi. Segala perkara negatif dan unsur-unsur yang mencurigakan di dalam organisasi akan segera dinyahaktif.

    “Tidak ada individu yang lebih besar daripada kelab” dan “tiada campur tangan politikus” adalah salah satu indikator dalam menjadikan organisasi yang dibina ini mantap dan kukuh. Dengan adanya reformasi ini, sistem sosial organisasi sentiasa di dalam radius yang positif dan terkawal.

    REVOLUSI YANG DIKOORDINASI DENGAN SISTEMATIK

    Revolusi bola sepak Johor dapat disaksikan oleh semua penyokong Harimau Selatan. Kita dapat melihat bagaimana revolusi Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin, sebuah stadium yang telah berubah rupa menjadi stadium yang paling sempurna di Malaysia.

    Kita juga berpeluang melihat bagaimana revolusi padang latihan biasa yang terdapat di Padang Seri Gelam. Kini bukan sahaja memiliki padang latihan yang terbaik tetapi juga terdapat di dalamnya pusat latihan tertutup yang dinamakan Pusat Latihan Tertutup Dato’ Suleiman Mohd Noor. Padang latihan tertutup tersebut diiktiraf oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kerana mengikut spesifikasi dari segi saiz, pencahayaan dan kualiti rumput sintetik yang terbaik.

    Terbaru pemasangan mesin ‘AirPlus Runner Smart Connect’, ‘Runner Smart Connect’ dan ‘Vertimax Raptors’ yang baharu tiba di Pusat Latihan Padang Seri Gelam telah menambah senarai panjang fasiliti terkini berteknologi tinggi milik mutlak Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

    AMBISI YANG TELAH BERJAYA DIREALISASI

    Pada 24 Januari 2016, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor telah membawa khabar gembira kepada penyokong-penyokong setia JDT apabila baginda bertitah akan membina stadium baharu berkelas dunia buat Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT). Tidak lama selepas dari hebahan tersebut, pada hari Sabtu, 30 Januari 2016, satu upacara majlis pecah tanah pembinaan stadium baharu di Iskandar Puteri telah diadakan.

    Empat tahun telah berlalu, bagai impian yang menjadi kenyataan, tanggal 22 Februari 2020 menjadi tanggal penting yang tercatat dalam sejarah. Stadium mega serba canggih Stadium Sultan Ibrahim kini tersedia untuk menjadi kastil yang tegap berdiri megah.

    Segala ambisi dapat direalisasi adalah kerana fokus serius DYAM Tunku Mahkota Johor dalam meningkatkan fasiliti dan infrastruktur lalu menjadikan JDT semakin laju meninggalkan pesaing-pesaing mereka dan berdiri sama tinggi dengan kelab-kelab hebat di Asia mahupun dunia.

    Akhir penulisan, kewujudan JDT telah memberi impak besar kepada Liga Malaysia sehingga menyebabkan landskap bola sepak tanah air dilanda tsunami identiti. JDT dilihat sebagai pencetus kesedaran tentang betapa pentingnya anjakan paradigma dalam meningkatkan kualiti pasukan.

    Rasionalnya, tidak boleh disangkal DYAM Tunku Mahkota Johor sebenarnya telah berjaya menjadikan JDT sebagai modul “visioner dan inspirasional” di tanah air ini.

    Demi Merah Biru.

    Luaskan Kuasamu Johor.

    Sumber artikel: Media JSTHidup Johor Demi Johor