Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berjuang dengan mengekalkan konsistensi pada setiap perlawanan di kejohanan Liga Super Malaysia musim 2023. Prinsip psikologi ini adalah antara faktor utama menjadikan JDT sentiasa komited kepada komitmen dan berusaha keras merealisasikan misi satu dekad yang telah ditetapkan.
    Sembilan kemenangan menyaksikan JDT mengumpul dua puluh tujuh mata lantas mengungguli singgahsana Liga Super Malaysia 2023.
    Selain itu, Fernando Forestieri mendahului kedudukan penjaring terbanyak Liga Super Malaysia 2023 dengan 8 gol diikuti beberapa pemain JDT yang turut sama mendominasi kedudukan senarai 10 penjaring terbanyak iaitu Ariff Aiman 5 gol, Diogo Luis Santo dan Juan Muniz 4 gol. Penjaga gol utama JDT, Ahmad Syihan Hazmi pula cemerlang dengan catatan menakjubkan 8 ‘Cleen Sheet’ dalam 9 perlawanan.
    CATATAN REKOD CEMERLANG JDT PADA SAINGAN LIGA SUPER MALAYSIA 2023 SETAKAT INI
    JDT telah melalui 9 perlawanan dan mengumpulkan 27 mata hasil dari 9 kemenangan berturut-turut. 37 jaringan telah dihasilkan dan hanya bolos sekali sejak Liga Super Malaysia 2023 membuka tirai persaingan pada 24 Februari 2023.
    Untuk rekod, JDT menjaringkan 20 gol dari 5 perlawanan ditempat lawan manakala Stadium Sultan Ibrahim menjadi saksi total 17 gol yang terhasil dari 4 perlawanan yang berlangsung. Selain itu, JDT masih mengekalkan rekod cemerlang maraton 11 kemenangan berturut-turut di gelanggang sendiri sejak 24 Jun 2022 dalam kejohanan Liga Super Malaysia.
    Retrospeksi musim gemilang 2022, Stadium Sultan Ibrahim menjadi penyumbang paling besar dalam kutipan mata perlawanan. Sebanyak 31 mata berjaya dikumpulkan setelah menang 10 kali dan 1 seri berbanding 28 mata pada musim 2021.
    Para penyokong Harimau Selatan juga dihidangkan dengan jaringan-jaringan besar yang telah dihasilkan di Stadium ikonik dalam tempoh tersebut antaranya kemenangan 5-1 keatas Selangor FC pada 24 Jun 2022, 5-0 keatas Kuala Lumpur City pada 1 Ogos 2022, 5-1 keatas Kelantan FC pada 11 Mac 2023, 4-0 keatas Sabah FC pada 31 Mac 2023 dan 6-0 keatas Kedah FC pada 9 April 2023.
    Tidak stagnasi disitu, sehingga April 2023, JDT juga telah muncul sebagai pasukan yang mencatat kemenangan terbesar Liga Super Malaysia 2023 di gelanggang sendiri dan juga di tempat lawan. Imbas kembali, JDT menewaskan Negeri Sembilan FC 0-7 pada perlawanan ketiga Liga Super Malaysia 2023 (LS3) 6 Mac 2023 menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Paroi, Seremban dan menundukkan Kedah FC 6-0 di Stadium Sultan Ibrahim pada perlawanan kelapan Liga Super Malaysia 2023 (LS8) 9 April 2023.
    MENGEKALKAN REKOD GEMILANG, PUSINGAN PERTAMA LIGA SUPER MALAYSIA 2022 BERBAKI 4 PERLAWANAN
    JDT masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam semua perlawanan Liga Super Malaysia sejak 14 September 2021. Verifikasi catatan perlawanan tanpa tewas selama 2 musim, seluruh pasukan formalistik mengekalkan reputasi dan superioriti. Mentaliti, prinsip, disiplin yang tinggi serta terpuji juga telah berjaya ditunjukkan oleh pemain-pemain JDT. Rasionalnya berpandukan konstruksi elemen tersebut akhirnya berjaya menjadikan Harimau Selatan kekal superlatif.
    Pada detik ini, JDT hanya akan meneruskan perlawanan kesepuluh (LS10) Liga Super Malaysia 2023 menentang Kelantan United pada hari Sabtu, 13 Mei 2023 di Stadium Sultan Ibrahim. Konsekuensi beberapa minggu tanpa sebarang perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, penyokong Harimau Selatan pastinya akan merindui atmosfera penuh prestij di stadium sofistikated tersebut.
    Selepas menempuhi perlawanan tersebut, JDT bakal berhadapan dengan 3 lagi perlawanan pusingan pertama Liga Super Malaysia 2023 yang berbaki iaitu LS11 Kuching City FC (19 Mei 2023), LS12 Sri Pahang FC (24 Mei 2023) dan LS13 Penang FC (3 Jun 2023).
    Akhir kata, matlamat dan ambisi mendorong terciptanya pencapaian yang cemerlang. Sasarkan matlamat dan capailah impian!
    Misi satu dekad! Terus berjuang Merah Biruku!
    Luaskan Kuasamu Johor!