“JDT… Pencipta Sejarah, Revolusioner, Peneraju dan Yang Terbaik”-DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor merupakan pemilik kelab bola sepak yang muda. Dalam usia baharu mencecah 36 tahun, baginda semakin matang dan berilmu lantas menjadikan JDT berketerampilan sebagai kuasa besar mendominasi arena bola sepak Malaysia. Impian baginda untuk menjadikan JDT sebagai kuasa baharu Asia juga dilihat berada pada landasan yang betul.
Satu pencapaian dalam masa yang singkat. Amat menakjubkan. Rasionalnya tidak mampu dicapai oleh mana-mana pemilik atau presiden persatuan bola sepak di Malaysia yang lebih gemar bersikap fatalistik.
PEMILIK YANG BENAR-BENAR INTELEKTUAL BOLA SEPAK
Berpengetahuan tinggi, minat, berbakat dan mahir bermain bola sepak adalah antara komparatif ketara baginda dengan pemilik atau presiden persatuan bola sepak di Malaysia.
Imbas kembali ketika meniti zaman kanak-kanak. Cinta, minat dan kecenderungan DYAM Tunku Mahkota Johor dalam menghabiskan masa waktu lapang dengan bermain bola sepak memang menjadi rutin wajib. Rakan-rakan sepermainan baginda majoritinya terdiri daripada anak pekerja yang menjaga kuda polo dan rakyat biasa.
Melangkah ke usia remaja, minat kepada bola sepak tidak pernah pudar walaupun sekitar tahun 2003 DYAM Tunku Mahkota Johor terpaksa meninggalkan kemewahan demi menyambung kursus di India Military Acedemy (IMA) selama 3 tahun. Selepas tamat kursus di IMA, baginda meneruskan pula kerjayanya di 61 Calvary di Jaipur, India dimana baginda didedahkan dengan latihan serta operasi sebenar di sempadan Pakistan-India. Selain kecemerlangan dalam bidang ketenteraan, baginda telah menjulang kejayaan dalam bidang sukan antaranya memenangi perlawanan Polo Antarabangsa di India.
DYAM Tunku Mahkota Johor pulang ke negeri Johor sekitar akhir tahun 2007. Setelah kembali ke bumi bertuah ini, DYAM Tunku Mahkota Johor semakin aktif bermain bola sepak malah baginda telah mewakili kelab bola sepak JMF FC yang bersaing di liga bola sepak amatur negeri Johor. Ketika itu baginda beraksi sebagai penyerang dan menyarung jersi bernombor 84.
“Saya pernah bermain untuk JMF FC, ramai yang telah mengasari dan menendang kaki saya ketika perlawanan. Namun, saya tiada masalah. Saya tidak kisah. Itu adat bermain bola sepak. Tetapi jangan lupa, saya juga boleh mengasari mereka (ketawa)”-DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
PEMILIK YANG SENTIASA MENGENANG INDIVIDU YANG BERJASA
Apresiasi dan tidak pernah melupakan jasa mana-mana individu yang pernah menabur bakti pada kemajuan bola sepak negeri Johor dan JDT secara khususnya adalah sifat terunggul DYAM Tunku Mahkota Johor. Tanpa berselindung baginda telah menyatakan bahawa individu yang pernah menabur bakti dalam organisasi ini akan sentiasa berdampingan dengan setiap kejayaan-kejayaan JDT.
“Kelab ini akan sentiasa memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada orang yang berjasa dan mencipta sejarah kepada kelab”-DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
Luciano Figueroa antara individu yang menerima pengiktirafan apabila DYAM Tunku Mahkota Johor berbesar hati mengabadikan nama beliau di satu kawasan tempat duduk penyokong Stadium Sultan Ibrahim. Baginda bertitah kawasan yang dinamakan ‘Luciano Figueroa Stand’ itu adalah sebagai tanda apresiasi terhadap jasa Figueroa sepanjang berkhidmat bersama skuad Harimau Selatan dari 2014 hingga 2018.
Sebelum itu, sekitar tahun 2016, baginda berkenan untuk menamakan fasiliti spektakular JDT yang berlokasi di Padang Seri Gelam sebagai Pusat latihan tertutup Dato’ Suleiman Mohd Noor sempena mengenang jasa Allahyarham Dato’ Suleiman Mohd Noor.
DYAM Tunku Mahkota Johor menyanjungi Allahyarham sehinggakan baginda menolak untuk digelar sebagai ‘Bapa Bolasepak Johor’ kerana berpendapat bahawa gelaran tersebut adalah milik mutlak Allahyarham Datuk Suleiman Mohd Noor.
“Saya hanyalah penyambung legasi beliau”-DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
PEMILIK YANG MEMPUNYAI HUBUNGAN AKRAB DAN SENTIASA MENGHARGAI KOMPONEN DALAM KELUARGA JDT
Pemilik, pengurusan, barisan jurulatih, pemain termasuk penyokong setia Harimau Selatan adalah anggota penting dalam organisasi ini. Dengan kukuhnya koalisi dan jalinan ikatan antara satu sama lain, menjadikan semangat bekerja berpasukan dalam organisasi ini sentiasa berinteraksi secara aktif dan prospektif dengan persekitaran.
Prihatin dengan perkara tersebut, DYAM Tunku Mahkota Johor menjadi satu-satunya pemilik kelab yang sering menghabiskan hampir keseluruhan masa yang terluang bersama kelab. Impak dari pengorbanan itu, baginda berjaya membina suasana positif dan harmoni dalam kem pasukan.
Dalam pada masa yang sama, DYAM Tunku Mahkota Johor tidak pernah melupakan penyokong-penyokong setia Harimau Selatan. Sessi soal jawab santai bersama penyokong menjadi aktiviti wajib tahunan. Paling menarik, baginda juga telah mengadakan perlawanan persahabatan bola sepak bersama beberapa penyokong Harimau Selatan serta kelab bola sepak amatur yang terpilih. Satu kurniaan paling istimewa apabila dapat merasai atmosfera bermain di antara stadium paling unggul dalam Asia.
“Adalah sangat penting untuk memastikan pemain dan seluruh keluarga JDT gembira”-DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
PEMILIK YANG SENTIASA MAHU MENAMBAHBAIK FASILITI BAIK MENJADI PALING TERBAIK
“Perbezaan JDT dengan pasukan-pasukan lain adalah jika awak bagi saya RM50 juta, saya akan menaiktaraf fasiliti di sini. Jika awak beri mereka RM50 juta, mereka akan beli dua pemain tempatan dan menjanjikan piala kepada penyokong. Itulah beza mereka dengan kita”-DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
DYAM Tunku Mahkota Johor menjadikan JDT representatif sebuah organisasi yang tidak akan berhenti melakukan perubahan demi perubahan atau statik berada pada tahap yang sama dalam tempoh yang lama. Lebihan wang digunakan pada saluran yang betul selaras dengan kemahuan baginda agar hanya yang terbaik sahaja di JDT dan bukan hanya memberi tumpuan sepenuhnya pada pembelian pemain handalan.
Ini dibuktikan dengan proses pembaharuan besar-besaran seperti menaiktaraf kualitatif lapangan rumput Stadium Sultan Ibrahim dilihat antara penambahbaikan mega menjelang musim 2021.
Akhir penulisan, keunggulan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam mendominasi kancah bola sepak tanah air adalah kerana wujudnya signifikasi cita-cita yang realistik pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dan ianya tiada pada mana-mana pemilik atau presiden persatuan bola sepak di Malaysia. Hasilnya, kini JDT berada pada kelas yang tersendiri di saat pesaing masih disorientasi mencari identiti mereka sendiri.
Sumber artikel: Media JST