Kejayaan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mempertahankan kejuaraan ‘quadruple’ berganda, mengumpul 162 gol sepanjang musim dan mencipta rekod ‘unbeaten’ atau ‘invincible’ dalam saingan Liga Super Malaysia buat kali keempat merupakan sejarah baharu yang begitu sempurna, luar biasa dan spektakular.

    Dari segi kontekstual, memasuki pascabaharu dalam era ‘Decade of Dominance’ Harimau Selatan, secara rasminya JDT telah berjaya meleburkan serta memadam segala rekod lampau arena bola sepak tanah air secara total.

    PIALA SUMBANGSIH, KEJUARAAN KALI KELAPAN DAN KEENAM BERTURUT-TURUT

    Perlawanan Piala Sumbangsih musim 2023 telah berlangsung pada hari Jumaat, 24 Februari 2023. Misi pertama Harimau Selatan musim 2023 iaitu mengekalkan kejuaraan Piala Sumbangsih dilaksanakan dengan penuh bergaya.

    Kejayaan menamatkan cabaran Terengganu FC 2-0 di Stadium ikonik kebanggaan, Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri menyaksikan satu sejarah baharu telah tercipta dihadapan 31,889 penyokong apabila JDT tampil sebagai kelab paling lama mempertahankan Piala Sumbangsih setelah berjaya memonopoli kejuaraan selama enam tahun berturut-turut dan 8 kali secara keseluruhan. Untuk rekod, JDT telah merangkul kejuaraan Piala Sumbangsih pada 2015, 2016, 2018, 2019, 2020, 2021, 2022 dan 2023.

    Debut mempersonakan pemain luar negara baharu JDT ketika itu, Juan Muniz telah menghasilkan gol sulung musim 2023 dan satu lagi gol disumbangkan oleh Bergson da Silva.

    PIALA FA 2023, KEJUARAAN BUAT KALI KETIGA DAN KEDUA BERTURUT-TURUT

    Harimau Selatan telah meraih trofi kedua musim 2023 selepas dinobatkan sebagai juara edisi ke-33 Piala FA 2023 pada Sabtu, 22 Julai 2023 setelah meranapkan impian Kuala Lumpur City 2-0. Paling istimewa, Stadium ikonik kebanggaan, Stadium Sultan Ibrahim menjadi saksi supremasi Harimau Selatan dinobatkan sebagai juara Piala FA buat kali ketiga.

    JDT berjaya mempertahankan trofi kejohanan hasil gol yang disumbangkan oleh Nathaniel Shio Hong Wan dan Leandro Velazquez. Untuk rekod, JDT telah menjulang Piala FA pada edisi ke-27 (2016) dan edisi ke-32 (2022).

    Imbas kembali, langkah JDT dalam Piala FA bermula pada peringkat kalah mati ‘Round of 16’ dengan mencatat kemenangan 3-0 ke atas PDRM FC. Pada peringkat Suku Akhir Piala FA 2023, JDT telah melakar kemenangan besar 5-0 keatas Penang FC. Pada peringkat Separuh Akhir Piala FA 2023 bertemu Selangor FC, JDT telah mara ke peringkat Akhir Piala FA 2023 setelah berjaya menamatkan cabaran pasukan pelawat dengan keputusan 4-0.

    PIALA MALAYSIA 2023, KEJUARAAN BUAT KALI KEEMPAT DAN KEDUA BERTURUT-TURUT

    Sejak musim 2013, JDT telah membuat penampilan sebanyak 6 kali iaitu pada musim 2014, 2017, 2019, 2021, 2022 termasuk musim 2023 di pentas akhir kompetisi bola sepak tertua Asia ini.

    Naratif perjalanan Harimau Selatan di kejohanan Piala Malaysia 2023 bermula dengan mencatat kemenangan ke atas Kelantan FC 15-1 secara agregat pada peringkat ‘Round of 16’.

    Episod kemenangan besar terus dilakar pada 2 peringkat seterusnya dengan kemenangan 7-1 secara agregat keatas Negeri Sembilan FC di peringkat Suku Akhir Piala Malaysia 2023 dan menamatkan cabaran Perak FC menerusi agregat 12-2 pada peringkat Separuh Akhir Piala Malaysia 2023.

    Pada tanggal 9 Disember 2023, JDT dinobatkan sebagai juara kejohanan tersebut setelah menewaskan Terengganu FC 3-1 di Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2023 edisi ke-97 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil hasil jaringan Bergson da Silva, Feroz Baharudin dan Arif Aiman Hanapi. Trofi itu juga merupakan gelaran kali keempat dan kedua berturut-turut selepas menjulang kejuaraan pada 2017, 2019, 2022 dan 2023.

    LIGA SUPER MALAYSIA 2023, TANPA KALAH KALI KEEMPAT DAN KEJUARAAN KALI KESEPULUH BERTURUT-TURUT

    Kejuaraan ‘Perfect 10’ yang dilakar oleh JDT ini seharusnya satu pencapaian epik dan rekod yang sukar dipecahkan oleh mana-mana pasukan di masa hadapan kelak.

    Mengimbas kembali memorabilia indah di dalam kejohanan Liga Super Malaysia 2023, JDT mengutip 3 mata penuh pada perlawanan pembuka tirai Liga Super Malaysia 2023 dengan menewaskan Terengganu FC 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. Selepas itu, mata demi mata berjaya dikutip secara konsisten sehingga selesa di kedudukan superior carta Liga Super Malaysia 2023.

    27 September 2023. Pada perlawanan ke-22 Liga Super Malaysia 2023 (LS22) menentang PDRM FC di stadium kebanggaan, Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, JDT mencatatkan kemenangan 4-0 lantas mengesahkan kejuaraan Liga Super Malaysia edisi ke-20 buat kali kesepuluh berturut-turut lebih awal.

    JDT menutup tirai Liga Super Malaysia musim 2023 dengan kemenangan besar 8-0 keatas Penang FC pada aksi LS26, 17 Disember 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. Selain menjulang trofi Liga Super Malaysia untuk 10 musim berturut-turut sejak musim 2014, JDT turut unggul mencatat rekod tanpa sebarang kekalahan buat kali keempat selepas melakukannya pada musim 2016, 2020, 2022 dan 2023.

    Akhir kata, impian tidak dapat terwujud dengan sendirinya, namun impian akan datang ketika kita berusaha dan berkerja keras untuk meraihnya.

    Selamanya Johor Darul Ta’zim!