Masa hampir tiba. Debaran semakin terasa. Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi aksi penuh bersejarah Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di pusingan kalah mati 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022 edisi ke-41.

    Untuk makluman, JDT bakal menentang kelab gergasi Jepun Urawa Red Diamonds pada 19 Ogos 2022 di venue berpusat, Stadium Saitama, Bandar Saitama, Jepun.

    Imbas kembali, JDT meneruskan kemaraan ke pusingan ini setelah mengungguli Kumpulan I dengan mengutip 13 mata secara keseluruhan. Paling menarik, Harimau Selatan berjaya mengetepikan cabaran tiga kelab terkemuka Asia iaitu Ulsan Hyundai FC, Kawasaki Frontale dan Guangzhou FC lantas merekodkan pencapaian paling terbaik sejak debut pertama JDT di Liga Juara-Juara AFC (ACL).

    MEMORABILIA INDAH 30 APRIL 2022, SELAMANYA TERPATERI DALAM INGATAN

    30 April 2022. Selamanya akan menjadi ingatan. Epik dan dramatik. Sehingga kini masih lagi terbayang gol kemenangan minit ke-94 yang mengesahkan eksplorasi Harimau Selatan diteruskan ke pusingan kalah mati 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022.

    Lebih 17,000 penyokong yang hadir menjadi saksi kepada peristiwa menakjubkan dalam lipatan sejarah bola sepak negeri Johor. Bukan sekadar retorik, pada detik tersebut, setiap penyokong yang hadir pastinya akan merasa satu kegembiraan yang melepasi paras logikal. Meraikan kejayaan JDT menumpaskan gergasi Asia Ulsan Hyundai FC pada petang itu pula merupakan satu kepuasan paling maksima dirasakan sepanjang kempen kejohanan tertinggi di Asia itu berlangsung.

    Ternyata Ngauman Selatan bukan sekadar mitos atau dongeng yang kabur. Ianya adalah atmosfera sebenar di koloseum kebanggaan Johor yang tersohor!

    BERGSON DA SILVA BERADA DI KEDUDUKAN KEDUA PENJARING TERBANYAK LIGA JUARA-JUARA AFC (ACL) 2022

    Bergson da Silva tampil sebagai pemain paling menyerlah buat Harimau Selatan di Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022. Ketajaman penyudah pemain antarabangsa JDT yang berasal dari Alegrete, Brazil ini diterjemahkan dengan menghasilkan 6 gol dalam 6 perlawanan malah merupakan jaringan terbanyak pernah dicatatkan oleh seorang pemain JDT sepanjang 4 musim bersaing di kompetisi tahunan liga bola sepak paling elit di Asia tersebut.

    Pada 15 April 2022 ketika perlawanan pembuka tirai menentang kelab bola sepak terkemuka Republik Rakyat China Guangzhou FC, Bergson da Silva juga telah mencetak jaringan hatrik pertama JDT di saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL).

    Bergson da Silva kini berada pada kedudukan kedua penjaring terbanyak kejohanan setakat ini berkongsi tempat bersama Zeca (Daegu FC) ketinggalan 2 gol dibelakang Edmilson Junior (Al-Duhail SC) yang telah menghasilkan 8 gol.

    GOL PANTAS FORESTIERI, JARINGAN PERIBADI KEDUA RAMADHAN DAN TIGA PENAMPILAN PENJAGA GOL DI LIGA JUARA-JUARA AFC (ACL) 2022

    18 April 2022, perlawanan kedua pusingan pertama peringkat Kumpulan I Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022 menjadi antara pencapaian terbaik Fernando Forestieri. Pemain luar negara JDT yang berasal dari Rosario, Argentina ini berjaya menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-3 ketika memberi kejutan terhebat kepada kelab gergasi Republik Korea, Ulsan Hyundai FC. Jaringan Fernando Forestieri tersebut merupakan jaringan terpantas yang telah dihasilkan pada peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 zon timur.

    15 April 2022, ketika perlawanan pertama Harimau Selatan menentang Guangzhou FC di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022, Muhd Ramadhan Saifullah Usman berjaya menjaringkan gol kedua peribadi beliau di peringkat antarabangsa setelah muncul sebagai pemain paling muda JDT menjaringkan gol ketika melakukan debut bertemu Nagoya Grampus di Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2021 pada 4 Julai 2021.

    Sebermula perlawanan peringkat Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 yang telah berlangsung pada 15 April 2022 sehingga 21 April 2022, JDT telah menurunkan ketiga-ketiga penjaga gol iaitu Farizal Marlias, Haziq Nadzli dan Izham Tarmizi. Ironinya pelan kontingensi ini dilihat sebagai bukti bahawa JDT mempunyai barisan pemain yang berkualiti dan sentiasa bersedia memberikan komitmen yang diekspektasikan oleh organisasi JDT.

    Akhir kata, semua impian akan menjadi kenyataan jika kita memiliki keberanian untuk mengejarnya! Sesungguhnya tiada lautan dapat diseberangi jika tiada keberanian melupakan pantai.

    19 Ogos! Semoga satu lagi sejarah baharu akan tercipta! Luaskan Kuasamu Johor!