Liga Super Malaysia 2023 berehat dalam jangkamasa yang panjang dan hanya akan bersambung pada 27 September 2023. Namun begitu disebalik tempoh bertenang liga tersebut, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal berhadapan dengan jadual yang ketat dalam kejohanan Piala Malaysia 2023 dan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2023/24 di antara 13 sehingga 23 September 2023.
Selain itu, September 2023 juga menyaksikan Skuad JDT lll dan JDT IV berjuang di peringkat Separuh Akhir Piala Presiden 2023 dan Perlawanan Akhir Piala Belia 2023 manakala Kelab Futsal Johor Darul Ta’zim (JDT Futsal) akan menyempurnakan tugasan terakhir di cabaran Piala Futsal Malaysia (MFC).
PERTEMBUNGAN SUKU AKHIR PIALA MALAYSIA DAN LIGA JUARA-JUARA AFC
JDT akan bertemu Negeri Sembilan FC dalam aksi timbal balik peringkat suku akhir Piala Malaysia 2023. Badan pengurusan liga tempatan, Malaysia Football League (MFL) telah mengesahkan bahawa tarikh rasmi pertembungan itu akan berlangsung pada 13 September 2023 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi (1st leg) dan 23 September 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri (2nd leg).
Manakala dalam bulan September juga, JDT akan memulakan aksi di Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2023/24 pada Selasa, 19 September 2023 menentang naib juara liga Jepun (J1 League) musim 2023 Kawasaki Frontale di stadium ikonik kebanggaan, Stadium Sultan Ibrahim. Tanggal itu pastinya menjadi indikator awal perjuangan getir Harimau Selatan dalam kompetisi liga bola sepak paling elit di Asia tersebut.
Imbas kembali rekod pertemuan musim 2022, JDT berjaya mengikat Kawasaki Frontale 0-0 pada 21 April 2022 di pusingan pertama namun tewas 5-0 pada 24 April 2022 di pusingan kedua peringkat Kumpulan I Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022.
KEMARAAN SKUAD PELAPIS JDT DALAM PERSAINGAN LIGA MASING-MASING
Pada persaingan Piala Presiden 2023, JDT yang diwakili JDT lll mengungguli Kumpulan D dengan kutipan 15 mata lantas layak ke peringkat seterusnya. Pada peringkat suku akhir Piala Presiden 2023 yang dijalankan secara 2 pusingan, JDT lll berjaya menyingkirkan Kelantan United dengan agregat 1-0. Dalam situasi terkini, skuad muda Harimau Selatan ini telah melangkah ke peringkat separuh akhir bertemu Akademi Mokhtar Dahari B-17 (AMD) dalam aksi timbal balik pada 11 dan 18 September 2023.
Skuad JDT IV yang beraksi dalam Piala Belia 2023 juga menunjukkan prestasi yang amat memberangsangkan apabila layak ke peringkat akhir pertandingan bola sepak remaja tersebut. Muncul sebagai naib juara Liga Satu dengan rekod tanpa sebarang kekalahan, JDT lV mara ke peringkat suku akhir menewaskan Kuala Lumpur City dengan agregat 5-2. Pada peringkat separuh akhir, JDT IV menewaskan SSTMI B19 dengan agregat 6-2 seterusnya mengesahkan satu slot pada peringkat akhir Piala Belia 2023. JDT lV dijadualkan bertemu Selangor B18 dalam 2 aksi perlawanan akhir pada 9 dan 17 September 2023.
Secara rasionalnya, pencapaian konsisten skuad utama JDT dalam kejohanan domestik berjaya mempengaruhi, mendorong serta memberi motivasi kepada skuad-skuad pelapis muda JDT agar kekal fokus dalam persaingan liga masing-masing.
JDT FUTSAL BERTARUNG DI PERINGKAT AKHIR PIALA FUTSAL MALAYSIA 2023
Piala Futsal Malaysia (MFC) merupakan pertandingan tahunan kelab futsal di Malaysia yang dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Pasukan yang layak ke pertandingan ini adalah berdasarkan kedudukan dalam Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL).
JDT Futsal yang bereputasi sebagai kelab baharu dalam arena futsal Malaysia telah layak secara automatik ke kejohanan domestik futsal tersebut setelah tampil sebagai juara Kumpulan B Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL).
Bermula dengan peringkat suku akhir yang berlangsung secara timbal balik, JDT Futsal berjaya meneruskan kemaraan ke peringkat separuh akhir dengan kelebihan agregat 6-4 mengatasi Kuala Lumpur City.
Di peringkat separuh akhir Piala Futsal Malaysia (MFC) 2023 yang telah berlangsung di dua venue iaitu di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam pada 28 Ogos 2023 dan Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang pada 2 September 2023, JDT Futsal mengekalkan momentum kemenangan setelah menewaskan Selangor Mac dengan agregat 8-3. Kejayaan mara ke peringkat akhir kejohanan tersebut telah diraikan dihadapan ribuan penyokong setia JDT Futsal di gelanggang futsal bertaraf dunia dan mengikut piawaian Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) milik organisasi JDT tersebut.
JDT Futsal akan bertemu Pahang Rangers FC di Perlawanan akhir Piala Futsal Malaysia (MFC) 2023. Perhitungan akhir itu akan berlangsung pada 10 September 2023, Ahad, 8.30 malam bertempat di Stadium Malawati, Shah Alam.
Akhir kata, kesabaran, ketekunan, keinginan dan keberanian merupakan komposisi tiada tandingan untuk mencapai kejayaan.
Luaskan Kuasamu Johor!