BENARLAH kata orang, jika genggam bara biarlah sampai menjadi arang.

    Mungkin tidak keterlaluan buat penulis untuk mengaitkan peribahasa itu dengan pencapaian Johor Darul Ta’zim (JDT) yang terus maju ke hadapan selepas melancarkan Pusat Medikal dan Kecergasan kelab terbaharu di Pusat Latihan JDT, Padang Seri Gelam baru-baru ini.

    Pertama, penulis mahu memuji visi dan misi pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sentiasa meletakkan skuad Harimau Selatan dalam kelas tersendiri sebagaimana baginda sentiasa menitikberatkan fasiliti-fasiliti terbaik bertaraf dunia buat barisan pemain dan pegawai.

    Baru-baru ini kita disajikan pelancaran Pusat Medikal dan Kecergasan JDT secara virtual di mana kemudahan kemudahan fasiliti ini menjadi yang pertama di Asia Tenggara dan akan menempatkan para doktor dan pakar fisioterapis sepenuh masa.

    Pusat Medikal dan Kecergasan ini bakal dilengkapi dengan ‘juice bar’ untuk minuman dan makanan sihat, dua mesin baharu ‘Infrared Sauna’, ‘Functional Trainers’, ‘Smith Machines’ dan peralatan medikal seperti mesin ‘Echocardiogram’ dan alatan untuk terapi asid Hyaluronic dan ‘platelet-rich plasma’.

    Hab ini juga turut mempunyai ‘indoor running surface’ yang diperbuat daripada ‘high-density polyethylene’ dan diperkukuh dengan getah untuk mengurangkan impak kepada sendi.

    Semua peralatan ini adalah tambahan kepada mesin terapi oksigen dan hidrogen serta pelbagai lagi peralatan gimnasium dan medikal yang sudah dibeli pada tahun-tahun sebelum ini.

    Sekali lagi Tunku Ismail memaksa JDT keluar dari ‘kepompong’ dunia bola sepak Malaysia yang sebelum ini kebanyakan lebih menumpukan baikpulih stadium, padang atau pemburuan pemain import semata-mata.

    Apa yang pasti, penulis optimis bahawa JDT sekali lagi membuktikan mereka adalah peneraju bola sepak utama di rantau ini dari segi infrastruktur, kejayaan dalam padang, inovasi, jenama dan pembangunan.

    Inilah kemegahan JDT di mana biarpun mereka telah dilengkapi dengan kemudahan fasiliti terbaik, penambahan infrastruktur terbaharu Harimau Selatan ini menyaksikan peralatan baharu dan kepakaran untuk memastikan para pemain berada pada tahap optimum.

    Jadi tidak peliklah mengapa JDT sentiasa kekal dominan dalam Liga Malaysia sebagaimana mereka sebenarnya telah menunjukkan ‘resepi’ bagaimana menjadi juara tujuh kali berturut-turut dalam saingan Liga Super.

    Rencana Khas Dalam World Soccer Magazine

    Sedikit kejutan penulis ingin kongsikan, penyokong-penyokong jangan terkejut dalam tempoh masa sebulan dua ini kerana JDT akan menerima satu lagi penghormatan yang akan disiarkan dalam ruangan Khas (rencana) di bawah Asia Football dalam majalah nombor satu bola sepak dunia iaitu World Soccer Magazine sebagai contoh yang sepatutnya menjadi ikutan kepada kelab-kelab lain dalam usaha tranformasi yang lebih berjaya.

    World Soccer Magazine bukan satu nama asing di mana majalah ini yang paling lama bertahan ini sejak 1960 dan memiliki jutaan pembaca seluruh dunia sama ada majalah fizikal dan juga atas talian.

    Akhir kata, penulis sentiasa kagum dengan visi dan misi Tunku Ismail yang telah membuka mata dunia menerusi kejayaan-kejayaan JDT selama ini.

    Kata orang, kalau takut ombak jangan sesekali berumah di tepi pantai dan Tunku Ismail membuktikan JDT boleh melakarkan sejarah demi sejarah baharu.

    (Nota: Mohd. Fariq merupakan penulis sukan bola sepak lebih daripada 20 tahun)Sumber: https://www.facebook.com/100681118630763/posts/112591217439753/