Belum lagi berakhir, namun musim 2022 sudah dilihat sebagai tahun yang begitu luar biasa berikutan beberapa pencapaian cemerlang telah dicatat setakat ini oleh Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).
Dari sudut kontekstual, fenomena ini memprojeksikan bahawa setiap hierarki pasukan Harimau Selatan merangkumi dari pasukan akar umbi sehinggalah ke pasukan utama sentiasa bermotivasi untuk merealisasikan ekspektasi polisi dan falsafah yang telah disasarkan organisasi.
PIALA FA 2022, TROFI KE-20 SKUAD UTAMA JDT SEJAK 2013
Skuad utama Harimau Selatan telah meraih trofi kedua musim ini dan ke-20 secara keseluruhan selepas dinobatkan sebagai juara edisi ke-32 Piala FA musim 2022 menerusi kemenangan 3-1 ke atas Terengganu FC dalam aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada hari Sabtu, 10 September 2022.
Beraksi cemerlang di hadapan 84,321 penonton, JDT berjaya merangkul trofi kejohanan hasil gol yang disumbangkan oleh Arif Aiman Mohd Hanapi pada minit ke-34 serta jaringan berganda Bergson Da Silva pada minit ke-62 dan 78. Untuk rekod, kali terakhir JDT menjulang Piala FA adalah pada 14 Mei 2016, edisi ke-27 Super Best Power Piala FA musim 2016 dengan menewaskan PKNS FC 2-1 di Stadium Shah Alam, Selangor.
Penutup naratif gemilang perlawanan akhir tersebut, Arif Aiman Mohd Hanapi telah diangkat sebagi pemain terbaik perlawanan akhir Piala FA 2022 manakala Fernando Forestieri pula dijulang sebagai penjaring terbanyak kejohanan setelah menghasilkan 6 gol.
JDT ll MENCATAT 8 KEMENANGAN BERTURUT-TURUT DI GELANGGANG SENDIRI.
Berbaki hanya satu lagi perlawanan, skuad JDT ll berada dalam intensiti tepat di kedudukan superior carta Liga Premier 2022 ketika ini. Dengan keputusan 12 menang, 3 seri dan 2 kekalahan, 39 mata terkumulatif sepanjang 17 perlawanan yang telah berlangsung.
Kemenangan 3-0 keatas Terengganu FC II pada 4 September 2022 di Stadium MPPG, Pasir Gudang menyaksikan 8 kemenangan berturut-turut di gelanggang sendiri telah berjaya direkodkan sejak 18 Mac 2022 lantas menjadi penyumbang terbesar kutipan mata skuad Liga Premier Harimau Selatan.
Paling menarik, salah seorang pemain muda berpotensi besar JDT II yang baharu sahaja mencecah 19 tahun iaitu K.Daryl Sham telah membuktikan bahawa usia muda bukan penghalang untuk tampil sebagai antara pemain paling menonjol di kejohanan Liga Premier 2022 musim ini.
Dalam hanya 6 penampilan bersama skuad JDT ll setelah dinaikkan pangkat dari JDT lll, 8 jaringan telah terkumpul lantas berjaya menempatkan diri di dalam kedudukan kedua penjaring terbanyak namun berkongsi tempat dengan 3 orang pemain lain. K.Daryl Sham juga merupakan pemain paling muda di kalangan kelompok 10 kedudukan teratas senarai penjaring tersebut.
17 TROFI DIJULANG AKADEMI JDT, INVESTASI YANG BERBALOI
Produk Akademi JDT menjadi mekanisme utama dalam kesinambungan legasi JDT. Organisasi JDT juga mempunyai kesedaran yang amat kuat tentang kepentingan menginvestasi kepada projek memperkasakan teras akar umbi demi transisi yang kondusif buat empayar Harimau Selatan. Maka segala perancangan terperinci dan efektif telah disusun atur mengiringi sepanjang perjalanan mengimplementasikan aspirasi tersebut.
Hasilnya bermula pada tahun 2018 hingga 2022, segala investasi ini menerima pulangan berbaloi apabila 17 trofi telah dijulang oleh Akademi JDT. Pencapaian untuk musim 2022 juga dilihat antara paling terbaik apabila 7 trofi telah berada dalam simpanan Akademi JDT antaranya
Juara MSSM (JDT B12), Juara Kejohanan Yakult – Aidil Zaquan Cup, Juara ‘JSSL International Professional 7s’ (JDT B13), Juara Milo Challenger Cup 2022, Juara Laliga Youth Tournament (JDT B14) dan Juara MSSM (JDT B17).
Tidak stagnasi di situ, pencapaian spektakular Akademi JDT bertali arus pada musim 2022 apabila skuad JDT lll kendalian Javier Jorda Ribera berjaya membawa pulang Piala Presiden ke bumi Johor sejak kali terakhir piala itu dirangkul kira-kira 13 tahun lalu iaitu sekitar tahun 2009. Perkembangan terkini, skuad JDT III mewakili Negeri Johor bertanding di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN 2022 dan mengesahkan tempat ke peringkat Suku Akhir acara Bola Sepak lelaki. Selaku juara Kumpulan B, Johor bakal bertemu Wilayah Persekutuan pada Isnin, 19 September 2022.
Akhir kata, usaha giat yang diperjuangkan oleh organisasi JDT telah menghasilkan fenomena luar biasa terhadap pencapaian, apresiasi, konseptual, budaya, perspektif dan hala tuju empayar kebanggaan ini!
Luaskan Kuasamu Johor!