22 Februari 2024. Menjengah usia empat tahun, aset kekal paling berharga milik organisasi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri telah menyaksikan berbagai-bagai ekspresi, gabung jalin suka dan duka bermula dari majlis perasmian ekstravaganza, kekangan pandemik, norma baharu, total dominasi sehinggalah mencapai sedekad dominasi.

    Terlalu banyak peristiwa, terlalu banyak cerita, terlalu banyak fenomena yang telah tercipta disini lantas menjadi tanda yang signifikan di dalam lipatan sejarah baharu, perjalanan kelab bola sepak unggul dari negeri Johor ini.

    STADIUM SULTAN IBRAHIM SAKSI SEJARAH BAHARU DILAKAR DI MUSIM 2023

    Musim 2023, sejumlah 54 gol terhasil dari 13 perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim lantas merekodkan pencapaian paling terbaik sejak debut pertama JDT di Liga Super Malaysia lebih sedekad yang lalu. Tidak stagnasi di situ, 14 gol telah terhasil dalam Piala FA 2023 manakala 22 gol dalam kejohanan Piala Malaysia 2023 menjadikan sebanyak 90 gol telah diraikan di stadium kebanggaan kita ini.

    Selain itu, JDT meneruskan rekod cemerlang maraton 20 kemenangan berturut-turut di gelanggang sendiri sejak 24 Jun 2022 dalam kejohanan Liga Super Malaysia di hsamping tidak pernah tewas dalam kejohanan Piala Sumbangsih, Piala FA mahupun Piala Malaysia sejak gelanggang ini dibuka secara rasmi pada tahun 2020.

    Paling istimewa, pada musim 2023 juga iaitu pada hari Sabtu, 22 Julai 2023, buat julung kalinya perlawanan akhir Piala FA 2023 antara JDT dan Kuala Lumpur City telah berlangsung di ‘The-State-Of-The-Art’ ini.

    Secara kumulatifnya, Stadium Sultan Ibrahim menjadi saksi 9 piala telah dijulang iaitu 4 trofi Liga Super Malaysia musim 2020, 2021, 2022, 2023, 1 trofi Piala FA 2023 dan 4 trofi Piala Sumbangsih 2020, 2021, 2022, 2023 selain memuktamadkan rekod tanpa sebarang kekalahan dalam satu musim buat kali keempat.

    STADIUM SULTAN IBRAHIM MELONJAKKAN NILAI DAN STATUS JDT

    Stadium Sultan Ibrahim telah mendapat berbagai-bagai pengiktirafan eksklusif diperingkat global antaranya diangkat sebagai pemenang undian awam ‘Stadium Of The Year’ dan kedudukan kelima kategori utama ‘Stadium Of The Year’ dari laman Web Poland iaitu StadiumDB.com serta tersenarai antara beberapa stadium terpilih di seluruh dunia yang menjadi tuan rumah acara Spartan Stadion yang terkemuka di peringkat antarabangsa pada 24 September 2022.

    Hari demi hari berlalu, Stadium Sultan Ibrahim terus menerima limpahan pengiktirafan antarabangsa. Sekitar 26 April 2023, Stadium Sultan Ibrahim menjadi wakil Malaysia pertama dijemput untuk menganggotai Persatuan Pengurusan Venue (Asia dan Pasifik) di Asia-Pacific Venue Industry Congress ke-30 yang akan berlangsung dari 21 hingga 23 Mei di Melbourne, Australia.

    Jemputan ini merupakan satu penghormatan lantas mengkonsolidasikan lagi nilai komersial dan pendedahan jenama JDT ke peringkat global. Untuk makluman, Persatuan Pengurusan Venue (VMA) adalah badan untuk venue industri profesional di Australia, New Zealand dan Asia dengan lebih 900 keahlian, mewakili lebih 300 venue utama dari pelbagai sektor termasuk venue sukan dan bukan sukan.

    STADIUM SULTAN IBRAHIM MENJADI MERCU TANDA DAN PUSAT TARIKAN PELANCONG NEGERI JOHOR

    Sejak dari awal lagi, objektif pemilik kelab JDT, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor adalah menjadikan Stadium Sultan Ibrahim tampil sebagai antara stadium terbaik di dunia dan juga menjadi pusat tarikan pelancongan baharu negeri Johor.

    Segalanya menjadi kenyataan, Stadium Sultan Ibrahim telah dibuka kepada pengunjung pada setiap hari bermula 1 April 2022. Pelbagai aktiviti menarik telah disediakan kepada pengunjung antaranya menikmati makanan dan minuman di restoran yang berlokasi di Stadium Sultan Ibrahim, membeli belah barangan rasmi JDT dan eksplorasi perkarangan Stadium Sultan Ibrahim dengan pengalaman eksklusif menaiki JDT Hummer H2 Limosin rekaan khas.

    Sekitar 13 Oktober 2023, melalui platform media sosial rasmi JDT iaitu JOHOR Southern Tigers (JST) telah mengumumkan bahawa Jelajah Stadium Sultan Ibrahim (JDT Stadium Tour) telah bersedia untuk dibuka kepada semua pengunjung. Dengan kadar bayaran sebanyak RM60 selama satu jam, pengunjung mendapat akses menjelajahi setiap sudut ikonik stadium dan berpeluang melawat zon paling eksklusif yang terdapat di stadium avant-garde Harimau Selatan tersebut.

    Akhir kata, Stadium Sultan Ibrahim adalah representasi lambang, empayar, panji, legasi, revolusi dan dominasi bola sepak Negeri Johor.

    Dirgahayulah gelanggang kebanggaanku! Selamat ulangtahun ke-4 Stadium Sultan Ibrahim!