Mengubah asasi dalam kuasa, struktur, sejarah dan norma budaya bola sepak tempatan menjadikan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) tampil sebagai peneraju bola sepak tanah air.

    Konsekuensi daripada elemen tersebut, JDT telah menerima pelbagai pengiktirafan dan anugerah. Antaranya adalah daripada The Malaysia Book of Records (MBOR) iaitu sebuah badan rasmi yang mengiktiraf pemegang rekod, pemecah rekod dan bertindak sebagai pencatat setiap pencapaian luar biasa dalam Malaysia. JDT merupakan satu-satunya kelab Liga domestik yang telah menerima sijil pengiktirafan eksklusif dan berprestij tersebut.

    2023, DRON TERBANYAK (1,010) DALAM PERTUNJUKAN CAHAYA

    Sekitar 19 Disember 2023, JDT telah mencipta rekod baharu apabila pertunjukan dron pada sambutan ‘Decade of Dominance’ disahkan MBOR sebagai pelepasan dron terbanyak dalam pertunjukan cahaya di Malaysia.

    Imbas kembali, pada 16 Disember 2023, organisasi JDT telah berkolaborasi bersama syarikat antarabangsa terkemuka Lumasky Drone Light Show di sambutan ‘Decade of Dominance’. Berpengkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Amerika Syarikat, Lumasky merupakan perintis pertunjukan dron berskala besar yang telah mengadakan pertunjukan cahaya di seluruh dunia sejak 2018 serta turut bekerjasama dengan jenama terkenal lain seperti Samsung, Hyundai, BVLGARI, Formula 1, FIFA, Lexus dan banyak lagi.

    Dengan mengaplikasikan teknologi ‘Drone Light Show’, pertunjukan cahaya yang menggunakan sebanyak 1,010 dron itu telah memaparkan imej simbolik dan signifikan dengan total dominasi sedekad JDT. Paling menarik, ribuan dron yang berwarna-warni menghiasi rona awan hitam Iskandar Puteri itu turut membentuk wajah berserta isyarat ikonik pemilik Kelab JDT, DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor lantas melengkapkan pertunjukan yang sarat dengan elemen futuristik dan bersifat sofistikated tersebut.

    2019, KEJUARAAN HATRIK BERGANDA KEJOHANAN LIGA SUPER MALAYSIA

    Kejayaan telah menjadi satu ketagihan. Berpegang pada dogma tersebut, saban tahun tiada sebarang halangan mampu menghalang ketagihan JDT dalam mengejar lebih banyak kejayaan. Sentimen itu terbukti apabila setiap kejohanan yang dilalui, JDT sentiasa berkemahuan muncul sebagai pemenang dengan mempamerkan aksi konsisten, dinamik dan bertenaga tanpa merasa selesa dengan sejarah kejayaan yang dirangkul.

    Pada 19 Julai 2019, termanifestasi sejarah baharu apabila JDT dianugerahkan sijil pengiktirafan MBOR apabila menjadi satu-satunya pasukan dalam negara menjuarai Liga Super sebanyak enam kali berturut-turut. Untuk rekod, JDT memperbaharui rekod sendiri yang dilakar pada tahun 2018 apabila muncul sebagai pasukan pertama dalam negara menjuarai Liga Super selama empat kali berturut-turut.

    Tidak stagnasi di situ, sedekad telah berlalu, JDT masih tidak boleh diberhentikan dari menambah koleksi kejuaraan dan memecah rekod yang dilakar sendiri. Bukan sekadar retorik, kejuaraan ‘Perfect 10’ yang dilakar oleh JDT pada hari ini seharusnya tercatat sebagai pencapaian epik dan rekod yang sukar dipecahkan oleh mana-mana pasukan di masa hadapan kelak.

    2018, 4 PENGIKTIRAFAN ATAS 4 PENCAPAIAN SPEKTAKULAR JDT

    Musim 2018, pada tahun ini segalanya pengiktirafan dari MBOR kepada JDT bermula. Buat julung kalinya, badan rasmi ini memberi penghargaan dan apresiasi terhadap segala usaha giat yang diperjuangkan sebuah kelab bola sepak tempatan yang mencetuskan fenomena luar biasa dalam arena bola sepak Malaysia.

    Dalam satu majlis rasmi penyerahan Sijil MBOR sekitar 24 Januari 2018, JDT telah menerima 4 pengiktirafan di atas pencapaian spektakular serta menakjubkan sejak tahun 2013. Pengiktirafan itu meliputi 4 pencapaian.

    Pertama, JDT menjadi pasukan pertama dari Asia Tenggara memenangi Piala AFC pada tahun 2015. Kedua, JDT menjadi pasukan pertama muncul juara Liga Super empat musim berturut-turut dari tahun 2014 hingga 2017. Ketiga, JDT berjaya mempertahankan rekod tanpa kalah selama 4 tahun di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin iaitu pada tahun 2013 hingga 2017 dan keempat, JDT mencatat rekod tanpa kalah dalam semua 22 perlawanan Liga Super Malaysia pada musim 2016.

    Akhir kata, jika menginginkan pelangi, harus tahan dengan hujan. Ambil risiko, hadapi cabaran dan tingkatkan kemampuan. Penghujungnya, masa depan adalah milik mereka yang percaya dengan impiannya.

    Luaskan Kuasamu Johor!