Sejak dari awal kewujudan lagi, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) amat prihatin mengenai hak setiap kanak-kanak untuk membesar dengan sihat dan gembira, menjalani kehidupan dalam persekitaran selamat juga kondusif, menerima perlindungan perkembangan emosi, nutrisi serta masa depan mereka secara optimum sehingga membawa kepada pengiktirafan penuh penghormatan UNICEF pada 17 Disember 2020.
Di artikel ini, beberapa kempen dan program paling diingati mengenai peranan JDT-UNICEF memanifestasikan kekuatan sukan menjadi transportasi memperkasakan kepekaan tanggungjawab sosial tersebut.
KERJASAMA JDT BERSAMA UNICEF MEREALISASIKAN IMPIAN KANAK-KANAK
Mencecah satu tahun penubuhan gagasan JDT-UNICEF, kerjasama ini sering berkongsi matlamat yang sama malah sentiasa seiring menyampaikan mesej mengenai sokongan dan komitmen berterusan untuk merealisasikan impian setiap kanak-kanak.
Sekitar 20 November 2021, JDT bersama-sama UNICEF telah meraikan Hari Kanak-kanak Sedunia dengan menjayakan beberapa kempen seperti memperjuangkan hak #ForEveryChild dan merealisasikan impian kanak-kanak melalui program #KidsTakesOver. Pelatih Akademi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) Syabil Abd Khalid dan penyokong setia Jamsyir Farock telah dipilih memainkan peranan sebagai wartawan untuk menemubual idola mereka iaitu Safiq Rahim.
Pada tarikh itu juga, Stadium Sultan Ibrahim bergemerlapan dengan cahaya biru sebagai tanda sokongan kempen #GoBlue UNICEF untuk Hari Kanak-Kanak Sedunia.
KEMPEN ANTI-BULI DI PELANCARAN JERSI TERBAHARU JDT
Buli ialah tingkah laku agresif yang disengajakan dan melibatkan ketidakseimbangan kuasa atau kekuatan. Ia adalah tingkah laku yang berulang dan boleh berbentuk fizikal, lisan atau sosial. Buli telah menjadi budaya di sekolah dan aktiviti sukan selama bertahun-tahun. Walau bagaimanapun, baru-baru ini, teknologi dan media sosial telah mencipta tempat baharu untuk buli yang telah meluaskan jangkauannya iaitu buli siber.
Diatas kesedaran tersebut, ketika pengenalan jersi baharu pada 18 Februari 2022, organisasi JDT telah melancarkan video yang menyampaikan mesej kempen anti-buli (Anti-bullying campaigns). Ianya adalah selari dengan kempen #Standtogether bersama UNICEF dan responsif terhadap membenteras budaya buli di kalangan kanak-kanak termasuk dalam permainan bola sepak.
JDT SENTIASA MEMASTIKAN KANAK-KANAK KURANG UPAYA MENIKMATI HAK, PELUANG DAN AKSES SECARA SAKSAMA
Kanak-kanak kurang upaya menghadapi banyak halangan sehingga merasakan kehadiran mereka tersisih daripada masyarakat. Stigma dan diskriminasi keatas kanak-kanak kurang upaya pula hadir dalam pelbagai bentuk termasuk stereotaip, infrastruktur, dasar institusi, sikap, gangguan, pengasingan, pengabaian dan keganasan.
Berbanding dengan kanak-kanak lain, mereka juga sering terisolasi dari mengambil bahagian dalam acara komuniti.
Atas dasar itu, JDT tidak ketinggalan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) terhadap golongan tersebut. Interpretasi ini dibuktikan dengan responsif organisasi JDT dalam memberi pelbagai sokongan kepada orang kurang upaya dan merealisasikan impian kanak-kanak yang kurang bernasib baik di Negeri Johor secara khususnya sejak dahulu lagi.
Terbaharu pada 24 Mei 2022 melalui kempen #ForEveryChildPlay dan #JDTFamilyHelpsFamilies, JDT telah meraikan Orang Kurang Upaya (OKU) dari Taman Sinar Harapan Jubli, Larkin yang sebahagiannya terdiri daripada kanak-kanak dan remaja kurang upaya di Stadium Sultan Ibrahim. Mereka telah dibawa mengelilingi stadium serba canggih milik Harimau Selatan dengan menaiki JDT Hummer Tour.
SATU-SATUNYA KELAB YANG MEMPERJUANGKAN NASIB MANGSA PENDERAAN
Penderaan dan pengabaian kanak-kanak dan remaja adalah masalah kompleks yang berpunca daripada perhubungan dan persekitaran yang tidak sihat. Mencegah penderaan dan pengabaian kanak-kanak adalah tanggungjawab sosial yang memerlukan strategi komprehensif.
Bukan sekadar retorik, organisasi JDT bersama-sama UNICEF melalui kempen #ForEveryChild #JDTSupportsUNICEF
#MoreThanAFootballClub telah menyatakan pendirian bahawa penderaan dan pengabaian kanak-kanak adalah masalah serius yang boleh memberi kesan berbahaya yang berpanjangan kepada perkembangan mereka. Matlamat gagasan dua entiti ini adalah menggunakan pengaruh populariti dalam memberi kesedaran untuk menghentikan perkara ini terus berlaku.
Rasionalnya, JDT adalah satu-satunya yang menyatakan solidariti bersama mangsa kanak-kanak yang didera serta mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan tersebut. Organisasi JDT menegasakan bahawa tidak seharusnya ada kanak-kanak hidup dibelenggu ketakutan akibat keganasan atau penderaan.
Imbas kembali, sekitar 31 Januari 2021, JDT telah memuatnaik poster berkenaaan “say no to child abuse” dan menyatakan kesedihan atas tragedi yang berlaku kepada mangsa dera Allahyarham Zubaidi Amir Qusyairi.
Berhubung dengan kes #JusticeForBella, sekitar 16 April 2022, sekali lagi JDT menjadi satu-satunya kelab bola sepak di Malaysia yang menyatakan pendirian tegas mengutuk terhadap tragedi penderaan kanak-kanak tersebut.
Akhir kata, sesungguhnya gagasan JDT-UNICEF bukan sahaja mengubah atmosfera bola sepak Malaysia tetapi juga representasi koalisi yang mendokong nilai kemanusiaan, etika dan memiliki kesedaran sivik menakjubkan membantu kemelut sosial kanak-kanak dan remaja dalam menyusuri arus modenisasi.