Bukan mudah mengemudi sebuah pasukan bola sepak. Lebih sukar untuk mengemudi pasukan yang asalnya mempunyai rekod kewangan dan pengurusan yang sangat teruk hingga mengundang siasatan pihak berwajib.
Tetapi perkara itu dibuktikan tidak sesukar mana oleh pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dengan syarat anda mempunyai impian dan bekerja keras dalam memajukan perkara yang anda sayang.
Setelah mengambil alih JDT pada 2013, pelbagai pembaharuan dan kejayaan dicapai oleh kelab sekaligus mengubah anjakan paradigma serta penanda aras dan corak pengurusan bola sepak tempatan.
Adakah TMJ majikan bola sepak terbaik? Jawapannya adalah sudah pasti!
Lihat sahaja bagaimana JDT menjamin kedudukan kewangan yang kukuh menerusi penajaan korporat dan lari daripada bantuan kerajaan negeri. Tetapi wang sahaja bukanlah segalanya.
DYAM Tunku Mahkota Johor juga menganggap setiap pemain JDT adalah seperti keluarga baginda sendiri. Baginda akan berlatih bersama, makan bersama, bergurau senda bersama dan memberikan kredit kepada pemain apabila berjaya meraih kejuaraan. Ini menjadikan pemain lebih bersemangat untuk bermain untuk baginda dan kelab.
Pemain-pemain yang meninggalkan JDT akan berasa sedih dan semuanya menjunjung kasih kepada DYAM Tunku Mahkota Johor atas apa yang dilakukan baginda kepada para pemain. Mengambil contoh bagaimana baginda sendiri menghantar Safawi hingga ke lif sebagai tanda penghargaan di atas usaha yang dilakukannya kepada kelab.
Penyerang import, Diogo Luis Santo juga tidak henti mengucapkan terima kasih kepada DYAM Tunku Mahkota dan kelihatan sedih untuk meninggalkan keluarga JDT. Diogo, seorang pemain professional yang sudah berkelana hingga ke Eropah turut memuji kemudahan dan fasiliti yang diberikan baginda dan kelab kepada beliau.
Rozaimi Abdul Rahman, seorang pemain yang sudah hilang punca pendapatan akibat kemalangan dan mula mengusahakan kedai gunting rambut, disambut oleh JDT dan diletakkan dalam proses pemulihan yang menyaksikan beliau kembali ke tahap terbaik dan berjaya naik hingga ke pasukan utama.
Kini beliau mengucapkan selamat tinggal kepada JDT dan beliau juga berterima kasih kepada DYAM TMJ di atas peluang dan segala jasa baik kelab ke atas beliau. Perkara ini tidak mungkin berlaku jika beliau kekal di negeri kelahiran beliau.
Bekas kapten legenda JDT pula, Safiq Rahim tanpa berselindung memuji apa yang dilakukan JDT amnya dan DYAM Tunku Mahkota Johor khususnya kepada apa yang berlaku kepada karier beliau. Walaupun sudah meninggalkan pasukan, tetapi rasa sayang dan bersyukur itu masih terlihat dalam diri pemain yang mesra disapa Chopot itu.
Atas faktor inilah, DYAM Tunku Mahkota Johor memang layak digelar majikan bola sepak terbaik di Malaysia. Bukan hanya kerana pakej gaji pemain yang menarik menjadi pendorong, tetapi rasa kekeluargaan dan sokongan tidak berbelah bahagi itu yang menjadikan JDT satu kelab yang istimewa.
Luaskan Kuasamu Johor.