Kejuaraan yang diraih Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim 2022 adalah ganjaran atas kebijaksanaan organisasi dalam mengkoordinasi kerangka kerja dengan penuh sistematik.

    Bermula dari kajian kerangka teoretikal disusuli konseptual, organisasi telah memutuskan bahawa hanya skuad berkualiti berskala besar sahaja dapat menjamin konsistensi Harimau Selatan mengharungi musim panjang dengan cemerlang.

    IMPAK STRATEGIKAL MENYEDIAKAN SKUAD BERKUALITI BERSKALA BESAR

    Sebermula perlawanan Piala Sumbangsih musim 2022 yang telah berlangsung pada 26 Februari 2022 sehingga kepada persaingan TM Piala Malaysia 2022, JDT telah mengimplementasi strategikal penggiliran pemain secara terancang pada setiap perlawanan.

    Secara konseptualnya, pelan kontigensi ini dipratikkan agar JDT mempunyai sebuah skuad berkualiti berskala besar yang superior dalam menghadapi empat kejohanan iaitu Liga Super Malaysia, Piala FA, Liga Juara-Juara AFC (ACL) dan Piala Malaysia.

    Mengikut kenyataan Pengarah Teknikal JDT ketika itu iaitu Alistair Edwards sekitar 21 Januari 2022, musim 2022 JDT berpotensi bermain lebih kurang 50 perlawanan sepanjang musim. Konsekuensi berdasarkan faktual tersebut, hanya sistem penggiliran termasuk melibatkan beberapa pemain dari skuad pelapis dilihat sebagai solusi efektif dalam membantu perkembangan pemain mencapai prestasi yang diekspektasikan oleh organisasi JDT.

    Ternyata langkah-langkah pragmatik tersebut membuahkan hasil. Pemain-pemain Harimau Selatan sentiasa berada pada prestasi optimum tanpa dibelenggu kemerosotan prestasi dalam mengharungi jadual yang padat. Paling menarik, beberapa bakat muda berpotensi dari skuad JDT ll seperti Muhamad Feroz Baharudin dan K.Daryl Sham telah mendapat pengalaman berharga rentetan diberi kepercayaan untuk melakukan debut dalam skuad utama.

    SKUAD BERKUALITI JDT MEMONOPOLI ARENA BOLA SEPAK TANAHAIR

    Kejuaraan Triple Hatrik Liga Super Malaysia, ‘Unbeaten’ kali ketiga, Quadruple dan kejayaan mara ke pusingan kalah mati 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022 yang dilakar oleh JDT pada musim ini seharusnya satu pencapaian yang begitu epik dan rekod yang sukar dipecahkan oleh mana-mana pasukan di masa hadapan kelak.

    Namun sejarah dilakar tidak setakat itu sahaja, horizon total dominasi JDT telah diperluaskan kepada penguasaan pemain-pemain Harimau Selatan dalam setiap anugerah yang telah dipertandingkan sepanjang musim.

    Imbas kembali, Fernando Forestieri telah dijulang sebagai penjaring terbanyak kejohanan setelah menghasilkan 6 gol dikejohanan Piala FA 2022. Bergson Da Silva dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Liga Super 2022 dengan 29 gol. Penyerang prolifik JDT ini juga muncul sebagai penjaring terbanyak TM Piala Malaysia 2022 dengan 7 gol namun berkongsi tempat bersama Kpah Sherman (Terengganu FC). Tidak stagnasi di situ, Bergson juga berada di kedudukan ketiga penjaring terbanyak Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022 edisi ke-41 hasil dari 6 jaringan terkumpul.

    Pemain bintang muda JDT Arif Aiman antara paling menonjol. Dalam usia 20 tahun, beliau kini mempunyai reputasi sebagai pemain tempatan termahal Liga Malaysia dengan tanda harga dinilaikan RM1.86 juta (berdasarkan penilaian oleh transfermarkt.com)

    Atas faktor itu, pada majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022 (ABK22), beliau berjaya mempertahankan gelaran Pemain Paling Bernilai (MVP) buat dua tahun berturut-turut. Arif Aiman juga merangkul dua lagi trofi iaitu Anugerah Penyerang terbaik dan Anugerah Pemain Muda Terbaik.

    Selain Arif Aiman, beberapa pemain JDT turut menguasai beberapa kategori yang dipertandingkan antaranya Shahrul Saad (Anugerah Pertahanan Terbaik), Afiq Fazail (Anugerah Pemain Tengah Terbaik) dan Bergson Da Silva (Anugerah Pemain Import Terbaik). Pemain luar negara JDT yang berasal dari Alegrete, itu juga diangkat sebagai penerima anugerah Kasut Emas musim 2022. Menambah naratif kegemilangan, produk Akademi JDT yang beraksi bersama JDT ll iaitu K.Daryl Sham turut merangkul Anugerah Penjaring Tempatan Terbanyak Liga Premier di majlis virtual Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022 (ABK2022).

    Akhir kata, Konklusinya, perancangan dinamik organisasi JDT meliputi penerapan tujuan, sasaran, penyusunan strategi, pelaksanaan program serta fokus kegiatan telah menunjangi kejayaan total dominasi JDT pada musim ini.

    Luaskan Kuasamu Johor!