Melalui ‘Instagram Stories’ DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor, baginda memberi projeksi bagaimana kombinasi tujuh perkara iaitu ketenangan, matlamat, masa hadapan, cinta, kepercayaan, kesihatan mental dan diri sendiri berjaya menghasilkan kejayaan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

    PERKARA PERTAMA – KETENANGAN

    Ini adalah sifat yang kuat ada dalam diri DYAM Tunku Mahkota Johor. Dengan ketenangan, revolusi bola sepak negeri Johor berjaya dibuat sewaktu segelintir pihak memberi prediksi bahawa usaha itu bakal menjadi transisi yang gagal.

    Memorabilia 8 Januari 2013 menjadi sejarah apabila buat julung kalinya JDT beraksi di pentas Liga Super Malaysia namun tewas 3-2 di tangan pasukan Pahang FA. Pada tahun itu juga, detik kegagalan JDT menjadi lelucon setelah tidak menjulang apa-apa kejuaraan walaupun dibarisi deretan pemain bintang. Namun disebalik himpitan stigma itu, baginda kekal tenang serta langsung tidak menghiraukan sebarang sinisisme tersebut.

    Hasilnya, dengan ketenangan yang dimiliki oleh baginda, JDT berjaya mengumpulkan enam belas trofi sejak tahun 2013.

    “Ingatlah kekalahan umpama cuaca buruk, ianya tidak kekal selamanya” – DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

    PERKARA KEDUA – MATLAMAT

    DYAM Tunku Mahkota Johor seorang pemimpin yang sentiasa mahukan sesuatu realistik dalam mensasarkan matlamat.

    Matlamat mendominasi liga domestik tempatan, kekal menjadi kuasa bola sepak Asia tenggara, berdiri sebaris dengan kelab-kelab terkemuka Asia dan dunia, menjadi peneraju inovasi bola sepak dalam negara dan sentiasa dipandang dunia sebagai sebuah kelab kecil berjiwa besar adalah antara matlamat realistik organisasi JDT. Namun paling istimewa, DYAM Tunku Mahkota Johor menyatakan bahawa matlamat JDT paling utama adalah menjadi kelab kebanggaan dan agen perpaduan Bangsa Johor.

    “Untuk berjaya, kita mesti percaya bahawa kita boleh. Tetapkan matlamat anda tinggi dan jangan berhenti sehingga anda sampai di sana” – DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

    PERKARA KETIGA – MASA HADAPAN

    Masa hadapan Harimau Selatan adalah segalanya. DYAM Tunku Mahkota Johor sentiasa memastikan bahawa setiap pencapaian dan kejayaan pada hari ini bukan berjangka hayat pendek. Fasa perjalanan yang telah diaturkan menjadikan JDT sentiasa maju kehadapan.

    Segala aset kekal, struktur hasil, populariti, projek jangka masa panjang, kawalan hutang, ekuiti serta melahirkan bakat baharu dari produk akademi JDT adalah usaha yang sentiasa diberi tumpuan demi kesinambungan legasi Empayar Harimau Selatan. Suatu fundamental perjuangan baginda.

    “Tak akan pernah terlalu muda untuk membina sebuah empayar. Tak akan pernah terlalu tua untuk mengejar suatu impian yang baru” – DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

    PERKARA KEEMPAT – CINTA

    Tanpa keikhlasan dan cinta, kelab ini tidak akan sekukuh seperti hari ini. Kerana perkara itu, stabiliti kelab sentiasa terjamin.

    Segala yang dibina oleh DYAM Tunku Mahkota Johor adalah tidak mensasarkan kepada keuntungan. Baginda tidak menetapkan sebarang harapan untuk organisasi JDT mengembalikan semula semua pelaburan yang telah dikeluarkan sendiri dari kantung baginda. Apa yang dimahukan sejak dari dahulu lagi adalah untuk melonjak martabat negeri Johor supaya sentiasa dipandang tinggi. Kewujudan JDT juga secara tidak langsung berjaya memupuk rakyat Johor supaya berbangga dilahirkan di bumi selatan ini.

    “Inilah panji kepadanya saya berkhidmat, inilah panji yang saya pertahankan, dan deminya saya sanggup berkorban” – DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

    PERKARA KELIMA – KEPERCAYAAN

    Keupayaan psikologi DYAM Tunku Mahkota Johor sentiasa dikagumi. Baginda juga sentiasa mengingatkan bahawa hanya sifat percaya kepada diri sendiri menjadi faktor utama mencapai sesuatu kejayaan.

    Menjadi positif dalam situasi negatif bukanlah hal yang naif. Ini adalah bentuk sikap kepemimpinan. DYAM Tunku Mahkota Johor sentiasa optimis dan percaya bahawa suatu hari nanti, jika dikendalikan mengikut tatacara yang betul, JDT akan menjadi kelab bola sepak yang dikenali dunia. Tujuh tahun berlalu, impian itu benar-benar berjaya diterjemahkan. Kelab muda ini berjaya menundukan kelab gergasi Asia seperti Kashima Antlers dan Suwon Bluewings. Suatu pencapaian luar biasa yang membuka mata pemerhati bola sepak dalam dan luar negara.

    Selain itu baginda juga sentiasa memberikan motivasi dalam membangkitkan sifat percaya pada diri sendiri dan kelab kepada jurulatih, pemain malahan penyokong.

    “Jika kita boleh bermimpi mengenainya, kita pasti boleh melakukannya. Kita akan berjaya, tidak kira berapa lama masa yang perlu diambil” – DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

    PERKARA KEENAM – KESIHATAN MENTAL

    DYAM Tunku Mahkota Johor adalah tokoh intelektual bola sepak yang mempunyai perancangan realistik serta rasional.

    Falsafah JDT yang menerapkan kemahuan untuk memenangi setiap perlawanan, kesedaran taktikal dan revolusi permainan kepada bola sepak moden juga adalah korelasi idealistik genius baginda. Dari segi kontekstual, baginda berjaya mengubah persepsi negatif, landskap, mengangkat standard serta imej bola sepak Malaysia secara khususnya.

    Namun, disebalik cetusan kejayaan DYAM Tunku Mahkota Johor dan JDT, masih ada segelintir kelompok yang masih kurang bijak malah cuba menafikan segala pencapaian serta sumbangan menakjubkan pemilik dan kelab dari selatan ini.

    “Tiada sesuatu pun yang mampu menghalang seseorang yang mempunyai sikap mental yang betul daripada mencapai cita-citanya, dan tiada sesuatu pun yang mampu membantu seseorang yang tiada sikap mental yang betul, kerana kurang bijak ini tiada ubatnya.” – DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

    PERKARA KETUJUH – DIRI SENDIRI

    Namun akhirnya dalam segala perkara yang dinyatakan, diri sendiri adalah penentu. Diri sendiri yang berfomulasikan ‘Winning Mentality’ menjadi signifikan dengan JDT. Pengurusan, pemain malahan penyokong juga telah diberi kesedaran tentang aplikatif atitud tersebut. Dengan implementasi ‘Winning Mentality’ supaya sejati dalam diri, JDT sentiasa agresif memburu kejayaan demi kejayaan di masa hadapan.

    Fatalistik, pesimistik dan skeptis antara sifat-sifat yang tidak akan dibiarkan berasimilasi dalam organisasi terhebat ini.

    “Kelemahan kita yang paling besar adalah apabila kita berputus asa. Cara yang paling pasti untuk berjaya adalah dengan terus mencuba dan berusaha. Jangan sekali-kali berputus asa” – DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

    Akhir kata, carilah apa yang anda impikan, usahakan apa yang anda inginkan, jadilah apa yang anda hormati, dan bercerminlah kepada yang anda kagumi.

    Tujuh nasihat. Terima kasih TMJ!

    Sumber artikel: Media JST

    Hidup Johor Demi Johor