Liga Super Malaysia musim 2021 akan menjelang tidak lama lagi. Penyokong Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) pastinya tidak sabar menanti wajah baharu Harimau Selatan. Dalam diam ianya juga menarik perhatian seluruh pemerhati dan pengkritik bola sepak tempatan yang turut sama menunggu detik tersebut.
Berikut merupakan TUJUH perkara yang dilihat menjadi tumpuan utama;
PERTAMA, SENARAI LENGKAP PEMAIN TEMPATAN
Senarai lengkap pemain tempatan begitu dinantikan oleh semua pihak dan sudah pasti ianya memadamkan secara total ramalan, khabar angin dan spekulasi. Segala persoalan penyokong, pemerhati dan pengkritik bola sepak tempatan terjawab apabila satu persatu pemain baharu diperkenalkan secara rasmi. Realitinya, barisan pemain yang menyarung jersi merah biru kali ini adalah lebih mantap bagi mengharungi musim penuh cabaran 2021.
Imbas kembali, pada 21 Disember 2020, satu majlis rasmi berprestij telah diadakan oleh pengurusan JDT ketika mengumumkan pemain muda baharu berusia 23 tahun, Muhammad Danial Amier bin Norhisham. Paling menarik perhatian, pemain muda yang beraksi di posisi tengah itu diberi penghormatan apabila dibawa ke Ibu Pejabat JDT dengan menaiki limousin mewah Chrysler 300C milik DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
Tidak lama selepas itu, pada 28 Januari 2021, JDT yang sentiasa membuat kejutan, telah mengumumkan bahawa pengurusan kelab berjaya mencapai satu persetujuan bersama atau pra-kontrak untuk menandatangani pemain kacukan Malaysia berusia 20 tahun, Nathaniel Shio Hong Wan dari kelab Wolverhampton Wanderers.
KEDUA, SENARAI LENGKAP PEMAIN LUAR NEGARA
Perkara ini juga menjadi satu perkara yang amat ditunggu. DYAM Tunku Mahkota Johor sentiasa akan membawa pemain-pemain luar negara yang berkualiti dan bertaraf dunia menyarung jersi JDT. Pemain-pemain luar negara yang dipilih ini juga akan dipastikan mempunyai karisma, abiliti, kreativiti, kredibiliti dan kualitatif melebihi pemain tempatan. Senarai lengkap pemain luar negara ini akan diumumkan tidak lama lagi namun secara logikal tiada rombakan besar berlaku dalam kuota pemain luar negara JDT.
Sekitar 17 Januari 2021, JDT telah mengumumkan bahawa penyerang dari Argentina, Jonathan Herrera sebagai tenaga import baharu JDT bagi menggantikan tempat Diogo Luís Santo. Pemain prolifik berusia 29 tahun itu menandatangani kontrak selama 3 musim bersama JDT.
Harimau Selatan telah memperkenalkan Herrera secara rasmi pada 8 Februari 2021 selepas beliau melengkapkan tempoh kuarantin. Seperti Danial Amier, beliau juga diberi penghormatan apabila dibawa ke Ibupejabat JDT dengan menaiki limousin mewah Chrysler 300C milik DYAM Tunku Mahkota Johor.
Sebelum itu, pada 23 Disember 2020, JDT telah menyambar pemain berusia 21 tahun Syahrian Abimanyu yang berasal dari Indonesia. Syahrian Abimanyu merupakan sebahagian dari pelan jangka masa panjang organisasi JDT. Pemain muda ini tidak beraksi untuk JDT buat masa ini sebaliknya dipinjamkan kepada kelab bola sepak liga utama Australia (A-League) Newcastle United Jets Football Club. Dan ianya adalah proses transisi sempurna menjadikan pemain muda ini lebih berkeupayaan dan matang.
KETIGA, REKAAN EKSKLUSIF JERSI BAHARU HARIMAU SELATAN
Rekaan jersi musim baharu adalah antara perkara yang dinantikan oleh semua penyokong. Kebiasaaanya, satu acara rasmi pelancaran jersi baharu JDT bakal diadakan serentak di serata daerah seluruh negeri Johor. DYAM Tunku Mahkota Johor juga telah mendedahkan bahawa jersi baharu Harimau Selatan akan dilancarkan pada 24 Februari 2021. Namun melihat situasi perkembangan pandemik terkini, pastinya satu majlis secara norma baharu akan dirancang agar penyokong JDT dapat turut serta malah tidak ketinggalan mengambil bahagian pada hari pelancaran kelak.
Sejak tahun 2014, penajaan NIKE dan JDT mengalami sirkulasi revolusi yang sangat sistematik. Bermula dengan menaja jersi menggunakan reka bentuk sedia ada sehinggalah JDT mencatat sejarah baharu dalam bola sepak negara apabila menjadi kelab kedua di Asia Tenggara menerima pengiktirafan dari NIKE selepas Kelab Chonburi dari Thailand menerima kit jersi tajaan NIKE yang direka khas oleh Ibu Pejabat NIKE di Amerika Syarikat.
Imbas kembali, pada musim 2020, jersi JDT didatangkan dengan dua variasi iaitu jersi bertona kombinasi warna merah dan biru untuk tuan rumah dan jersi berwarna putih di tempat lawan. Konseptual jersi tuan rumah bagi musim 2020 diinspirasikan daripada bendera Johor iaitu sama seperti musim sebelum ini. Jersi kedua untuk tempat lawan berwarna putih yang melambangkan stadium baharu JDT iaitu Stadium Sultan Ibrahim. Lilitan berwarna emas di bahagian lengan dan leher pula membawa simbolik kejayaan yang dilakar JDT. Pada musim 2020 juga, NIKE turut mengeluarkan dua edisi yang berbeza iaitu edisi pemain (player issue) dan edisi penyokong (fans issue).
KEEMPAT, PERLAWANAN PERTAMA LIGA SUPER MALAYSIA 2021, MEMPERTAHANKAN KEJUARAAN PIALA SUMBANGSIH BUAT KALI KEEMPAT
Perlawanan Piala Sumbangsih menjadi perlawanan pembuka tirai Liga Super Malaysia 2021. Mempertahankan Piala Sumbangsih buat kali keempat berturut-turut dan mengutip tiga mata penuh menjadi misi pertama JDT untuk tahun ini. Seluruh penyokong Harimau Selatan pastinya teruja dan tidak sabar menunggu detik perlawanan ini. Pada perlawanan itu juga, pastinya kerinduan para penyokong terhadap Harimau Selatan juga akan terubat.
Mengikut perkembangan sebelum ini, satu projeksi positif telah terlihat apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengemukakan cadangan permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membawa masuk penonton berskala kecil dengan kapasiti 10 peratus penonton setiap stadium namun perlu diikuti bersama Prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ketat bagi menyaksikan perlawanan Liga Malaysia 2021.
Dari segi kontekstual, jika segala perancangan berjalan lancar, Stadium Sultan Ibrahim akan kembali gegak gempita dengan sorakan penyokong walaupun kehadiran yang dibenarkan dalam kuota terhad.
Untuk makluman, Liga Malaysia 2021 akan membuka tirai dengan perlawanan perebutan Piala Sumbangsih yang menemukan JDT dan Kedah Darul Aman FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 5 Mac 2021.
KELIMA, PENAMPILAN KALI KETIGA DI LIGA JUARA-JUARA AFC (ACL)
Penampilan kali ketiga barisan pemain JDT dalam persaingan kelab-kelab elit di Liga Juara-Juara AFC (ACL) yang telah menjangkau ke edisi yang ke-19 akan menjadi tumpuan. Seluruh Malaysia bakal menyaksikan JDT mendukung tugas berat membawa nama negara.
Dalam undian yang berlangsung di AFC House, Bukit Jalil pada 27 Januari 2021, JDT telah diundi dalam Kumpulan G bersama Juara Liga Super China musim 2020, Jiangsu FC, wakil dari Jepun Nagoya Grampus serta pemenang perlawanan play-off antara wakil Korea Selatan dan Thailand.
DYAM Tunku Mahkota Johor telah menyatakan bahawa pada tahun ini, baginda mensasarkan JDT melepasi peringkat kumpulan dan melayakkan diri ke peringkat suku akhir dalam pertandingan anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang berstatus kejohanan tertinggi di rantau Asia.
Imbas kembali memorabilia indah JDT pada Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim 2020. Pada perlawanan kedua Kumpulan G, Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, JDT telah turun menentang juara Piala FA Republik Korea, Suwon Samsung Bluewings. JDT melakar kejutan dengan membenam kelab elit itu 2-1. Gol-gol JDT dijaringkan oleh Gonzalo Cabrera pada separuh masa pertama melalui sepakan penalti dan Mauricio Nascimento menjadi wira Harimau Selatan setelah menjaringkan gol kemenangan.
Paling manis, kejayaan JDT menundukkan Suwon Samsung Bluewings telah disaksikan 25,524 orang penyokong setia Harimau Selatan.
KEENAM, PESAING BAHARU JDT DI LIGA SUPER MALAYSIA 2021
Setiap kali musim berganti, setiap itu juga pesaing JDT akan bertukar. JDT sudah pasti bersedia berdepan dengan mana-mana pasukan atau kelab kelak. Menoleh kembali apa yang telah berlaku dalam kempen bola sepak Malaysia pada CIMB Liga Super Malaysia 2020, Liga Super Malaysia buat pertama kalinya menjalankan format secara separuh liga.
Ianya merupakan tugas yang amat sukar malah memerlukan konsistensi maksima pada setiap perlawanan. Sedikit sahaja kesilapan atau tergelincir dari titik fokus dalam perebutan akan mengakibat segala misi akan menemui jalan yang krusial. Namun aplikatif atitud ‘Winning Mentality’ yang telah sebati dalam keluarga JDT, akhirnya JDT berjaya melaluinya dengan cemerlang lantas mempertahankan reputasi unggul sebagai sebuah kelab yang autoritatif tidak dapat ditewaskan, kebal dan terlalu kukuh pada musim tersebut.
Hasilnya, JDT telah dinobatkan sebagai juara buat kali ketujuh setelah mengutip 29 mata keseluruhan. Dengan jurang perbezaan mata yang jauh antara JDT dan pasukan tangga kedua lantas membuktikan Harimau Selatan berada dalam kelas berbeza sehingga tidak mampu dicabar oleh pasukan-pasukan lain di Malaysia.
KETUJUH, DOCU-SERIES FEARLESS: RISE OF THE JOHOR SOUTHERN TIGERS
‘FEARLESS: Rise of the Johor Southern Tigers’ adalah sebuah docu-series yang memvisualisasikan mengenai eksplorasi kelab kecil yang mempunyai aspirasi besar, sentiasa dahagakan kejayaan dan sentiasa berkemahuan tinggi untuk menggapai lebih banyak kemajuan.
Siri dokumentari juga memperincikan bagaimana DYAM Tunku Mahkota Johor, seorang pemilik kelab bolasepak yang muda menjadikan JDT muncul sebagai kuasa besar mendominasi arena bola sepak Asia Tenggara dan gerak kerja baginda dalam konstruksi sebuah empayar yang dinamik. Dokumentari ini juga menampilkan Boys of Straits sebagai keresponden menceritakan dari perspektif penyokong.
Dokumentari khas ini telah dirakamkan ketika musim 2019/20. Menampilkan 5 episod berdurasi selama 22 minit per episod. Diarahkan oleh Leon Tan bersama Tony Peitra Arjuna dan akan diterbitkan oleh Supernova Media yang berpengkalan di Kuala Lumpur. Firma Pelaburan, Penerbitan dan Perlesenan IP Global, 108 Media yang berpengkalan di Singapura pula telah memperoleh hak penjualan antarabangsa bagi siri dokumentari yang pertama termanifestasi di rantau Asia.
Akhir kata, interpretasi JDT 2021 adalah korelasi mutu fizikal yang berkarakteristik hebat, kekuatan aspirasi yang tidak dapat dihakis, ketahanan doktrin mentaliti kemenangan yang sukar dicalar dan keupayaan optik ‘Merah, Biru, Putih’ membiaskan cahaya sang juara yang begitu berkilauan.
‘Diamonds Are Forever!’
“Mari kita ambil sudut positif kejayaan yang kita kecapi pada tahun 2020 ke tahun 2021 dan berusaha untuk mendapatkan hasil yang lebih positif lagi untuk JDT”-DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
Sumber artikel: Media JST
Hidup Johor Demi Johor