BANYAK pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) hanya ‘berpura-pura’ menjadi kelab, sedangkan 90 peratus masih bergantung kepada dana kerajaan.

    Kepada wartawan Utusan Malaysia, ROZAIDI ZULKIFLI, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut mendedahkan, kebanyakan pasukan berdepan isu kewangan kerana sikap ‘tidak mengukur baju di badan sendiri’ ketika berbelanja.

    Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) itu juga berkata, liga di negara ini belum mencapai tahap profesional dan beliau menyokong tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mewajibkan semua pasukan diswastakan untuk melayakkan mereka beraksi dalam Liga M musim depan.

    UTUSAN: Pandemik Covid-19 memberi kesan besar terhadap bola sepak tempatan dan antarabangsa. Selain potong gaji, apa lagi langkah boleh diambil?

    DYAM TUNKU ISMAIL: Pertama sekali apabila kita mentadbir kelab bola sepak, kita kena ada perancangan. Begitulah caranya anda mengurus syarikat. Kita mesti ada tindakan, SOP yang mana langkah itu akan menjaga kestabilan kewangan kelab. Bukan setakat pemotongan gaji tapi juga perancangan pada masa akan datang.

    Contohnya jika kita sudah ada belanjawan untuk 2021, kita kena selaraskan bajet yang boleh pulihkan kembali perbelanjaan yang kita rugi tahun ini. Ia seperti dana kecemasan untuk digunakan bagi memulihkan semula duit yang telah digunakan.

    JDT menangani krisis dengan baik. Biarpun terpaksa memotong 33 peratus gaji pemain, jurulatih dan kakitangan, secara keseluruhan pasukan tidak terjejas. Boleh kongsi langkah pihak pengurusan?

    Sebenarnya bukan 33 peratus tapi kami potong 25 peratus untuk dua bulan. Apabila pemain mula menjalani latihan walaupun sudah memasuki separuh Jun, kami tidak bayar separuh tetapi gaji penuh.

    Pertama 25 peratus kemudian 30 peratus dan selepas itu kami bayar penuh gaji mereka kerana kami amat berterima kasih kepada pemain yang memberi kerjasama dan sebulat suara bersetuju dengan tindakan kelab. Kami tidak membuat keputusan dengan mengambil kesempatan atas pemain atau menipu. Kami membuat keputusan bersama sebagai satu keluarga.

    Apakah standard Liga M sudah mencapai tahap profesio­nal daripada segi pengurusan dan permainan? Berapa jauh kita ketinggalan dibandingkan liga negara jiran seperti Thailand?

    Belum. Saya mengucapkan syabas kepada Terengganu kerana membuat kerja dengan betul mengikut kemampuan selepas belajar daripada kami sewaktu bertemu saya. Mereka tidak keluarkan banyak kenyataan (statement), sebaliknya lebih banyak be­kerja. Begitu juga JDT.

    Mustahak untuk kita sedar kedudukan kita dan tahu inisiatif yang perlu diambil. Kalau tak boleh membina sesuatu bertaraf lima bintang, buatlah sekurang-kurangnya yang bertaraf tiga bintang. Syabas sekali lagi kepada Terengganu kerana membuat pelaburan paling penting dalam bola sepak iaitu padang. Buat masa ini hanya kami (JDT dan Terengganu) memiliki padang paling lengkap.

    Dibandingkan liga kita dengan Thailand, ia sa­ngat jauh ketinggalan kerana ada yang masih bergantung kepada dana kerajaan. Walaupun beberapa pasukan menggelar diri sendiri sebagai kelab tetapi 90 peratus masih menggunakan dana kerajaan. Bagi saya kita kena jadi betul-betul kelab, bukan berpura-pura jadi kelab dan bergantung kepada kerajaan.

    Jika kita tak dapat buat RM20 juta dan hanya RM8 juta menerusi penajaan, kita kena pandai rancang bagaimana nak bersaing dengan jumlah itu. Contohnya, Chonburi masih mampu menyaingi pasukan besar se­perti Buriram, Bangkok Glass, Bangkok United dan Muangthong secara kompetitif dengan wang yang ada.

    Tindakan FAM mewajibkan semua pasukan diswastakan sepenuhnya untuk bertanding dalam Liga M langkah tepat? Dengan isu gaji belum selesai, apakah misi itu akan berdepan kesukaran?

    Itu perancangan yang bagus tapi semua pasukan masih memukul canang kononnya mereka kelab tetapi sebenar­nya masih menggunakan dana kerajaan. Kita semua tahu dan kerajaan juga sedia mengaku. Kalau tidak percaya, boleh semak sendiri dengan kerajaan. Misi FAM bagus, agenda FAM juga bagus cuma masalahnya kelab tidak profesional dalam ber­belanja.

    Ambil contoh Borussia Dortmund (Liga Jerman), mereka tidak boleh bersaing dengan Bayern Munich dan berbelanja mengikut kemampuan. Kalau Borussia hendak berbelanja seperti Bayern, mereka akan habis dalam dua tahun. Kita kena bijak mengurus kewangan. Seperti orang kata sebelum nak pakai baju, ukurlah di badan sendiri (ikut kemampuan) tapi masalahnya di Malaysia tiada orang hendak ikut kemampuan.

    Kalau JDT berbelanja RM30 juta, semua orang hendak berbelanja RM30 juta. Itu akan menimbulkan masalah kerana semua hendak jadi popular bukan berjaya. Saya berjaya, itu sebabnya JDT buat banyak keputusan yang kadangkala penyokong setuju dan ada juga tidak setuju tapi kami tetap dengan prinsip dan polisi kami. Sementara pasukan lain hanya mahu menjaga hati penyokong dan menjadi popular di mata penyokong. Akhirnya, ia tidak efektif dan kemudian timbul masalah.

    Sebagai bekas Presiden FAM dan Pengerusi MFL (Liga Bola Sepak Malaysia), pada panda­ngan Tunku benarkah bola sepak sukar mendapat penajaan biarpun ia sukan No. 1 di Malaysia?

    Memang betul. Terus terang saya cakap, di JDT, saya lagi ba­nyak hilang duit dari buat duit. Di Asia Tenggara, kita belum ada budaya bola sepak diban­dingkan negara-negara Eropah tapi Thailand boleh buat dengan modul yang ada. Kita tidak perlu pergi jauh, belajar daripada kelab-kelab di Thailand.

    Saya bina JDT kerana ba­nyak belajar daripada kelab-kelab di Eropah. Kami lakukan pramusim di Thailand bukan semata-mata untuk persiapan tapi juga belajar dengan kelab di sana. Saya kagum dengan cara dan sikap mereka yang bekerja secara realistik.

    Selain penajaan, masalah utama Liga M adalah kesukaran menarik penonton secara konsisten ke stadium. Bagaimana JDT menangani perkara ini, terutama bakal beraksi di stadium baharu?

    JDT pun susah. Ada perlawanan penuh dan ada yang tidak, dari dulu sampai sekarang. Itu yang saya kata, kita bukan ada budaya bola sepak tapi kelab kena ambil inisiatif bagaimana nak tarik penyokong.

    Apakah pendapatan daripada hak penyiaran Liga M tidak cukup lumayan?

    Cukup. Jika penonton kurang memanglah MFL terpaksa bagi ikut kemampuan. Kalau kita ada lebih ramai penonton, ada pe­rancangan mantap, sudah tentu boleh dapat lebih. Sekurang-kurangnya RM5 juta hingga RM6 juta. Namun, perkara itu belum realistik buat masa ini. Pada masa akan datang, jika ada lebih penonton dan sokongan, saya rasa ia akan jadi realistik.

    Berapa anggaran bajet yang diperlukan secara keseluruhan untuk sesebuah pasukan memberi saingan sengit dalam liga tempatan?

    Bajet terpulang kepada pa­sukan. Kalau nak bagi saingan sengit, sekurang-kurangnya RM15 juta hingga RM20 juta (semusim).

    Jika pasukan memiliki bajet terhad atau sederhana, pelaburan utama harus tertumpu kepada membeli pemain bintang, pembangunan atau fasiliti?

    Pembangunan dan fasiliti. Sebab itu banyak pasukan tidak boleh kekal lebih dua tahun. Jika mereka bijak, mereka akan buat apa yang JDT dan Terengganu lakukan iaitu pembangunan akar umbi serta fasiliti.

    Kredit https://www.utusan.com.my/premium/2020/07/ukur-baju-di-badan-sendiri-tmj/

    Hidup Johor Demi Johor

    JDT NEWS

    ONLY JDT ARE OF ELITE RANK

    Local news agency Harian Metro reported that a study by local sports observers and academics have found that only one of the 24 teams...
    JDT NEWS

    VENI VIDI VICI

    Johor is Complete. Permulaan ayat Tunku Mahkota yang cukup indah. Jelas ia memberi maksud yang mendalam. Ia juga menampakkan perwatakan seorang ketua yang cukup...