(Terjemahan artikel The Sporting News, media Amerika Syarikat)
Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah melancarkan platform langganan baharu, JDT+, yang menampilkan sebuah dokumentari berdurasi panjang mengenai transformasi kelab dari Malaysia itu serta aspirasi yang mendorong usaha mereka untuk mencapai kejayaan di peringkat benua.
UNTAMED, penerbitan premium pertama di platform tersebut, merupakan sebuah filem berdurasi 76 minit yang mengisahkan kebangkitan JDT sehingga menjadi antara kelab bola sepak terkemuka di Asia Tenggara di bawah kepimpinan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.
Dokumentari yang diumumkan untuk tayangan pada 22 Oktober secara eksklusif menerusi JDT+ itu membawa penonton menyelami perkembangan dalaman kelab, termasuk individu, keputusan dan cabaran yang membentuk perjalanan pembangunan Harimau Selatan.
Dokumentari ini juga merupakan sebahagian daripada usaha lebih luas untuk memperkenalkan JDT kepada khalayak antarabangsa, dengan kandungan seterusnya akan mengikuti perjalanan mereka dalam pertandingan kelab terkemuka Asia.
Apakah JDT+?
JDT+, yang boleh diakses menerusi jdtplus.com
, merupakan platform kandungan baharu berasaskan langganan milik kelab yang menawarkan penyokong akses kepada kehidupan kelab di luar hari perlawanan.
Perkhidmatan ini akan menampilkan dokumentari dan kandungan di sebalik tabir yang memfokuskan pemain, kakitangan serta usaha yang terlibat dalam menguruskan kelab.
“JDT+ merupakan satu lagi langkah penting dalam perkembangan berterusan JDT, bukan sahaja sebagai sebuah kelab bola sepak, malah sebagai sebuah organisasi sukan moden,” jelas Luis Garcia, Ketua Pegawai Eksekutif JDT dalam pengumuman pelancaran platform tersebut.
“Platform ini memberikan peluang kepada para penyokong untuk melihat dengan lebih dekat identiti sebenar JDT.
“Bukan sekadar perlawanan, tetapi juga kehidupan harian pemain, kerja di sebalik tabir, individu yang terlibat, persiapan, standard serta mentaliti yang menjadi pendorong kepada kelab ini setiap hari.”
Garcia sebelum ini turut menjelaskan rasional di sebalik pembangunan platform tersebut dalam satu temu bual bersama Daily Mail, dengan menyatakan bahawa usaha mendekati penyokong di luar negara merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang JDT.
“Kami juga mahu menjalin hubungan dengan para penyokong di seluruh dunia,” katanya.
Apakah yang dipaparkan dalam UNTAMED?
UNTAMED mengisahkan transformasi JDT di bawah kepimpinan DYAM Tunku Mahkota Ismail, dengan meneroka bagaimana kepimpinan dan aspirasi Baginda telah membentuk semula identiti kelab tersebut.
Filem ini menjanjikan gambaran lebih dekat mengenai cabaran dan pengorbanan di sebalik perjalanan itu, dengan tumpuan bukan sahaja diberikan kepada prestasi di atas padang, malah kepada individu yang membangunkan organisasi berkenaan.
JDT menjadi kelab pertama dari Asia Tenggara yang menjuarai Piala AFC pada 2015, satu pencapaian bersejarah yang membuktikan potensi mereka melangkaui saingan bola sepak domestik Malaysia.
Kini, aspirasi JDT menjangkau usaha untuk bersaing dengan pasukan terkuat di benua Asia, manakala JDT+ menyediakan platform untuk menyampaikan kisah perjalanan tersebut secara langsung kepada para penyokong.
“Bagi DYAM Tunku Mahkota Ismail, inovasi sentiasa menjadi elemen asas dalam visi pembangunan JDT,” kata Garcia.
“Matlamatnya bukan sekadar untuk mencapai kejayaan di atas padang, tetapi juga untuk terus menambah baik, berkembang dan menetapkan standard baharu.”
Apakah yang akan dipaparkan dalam siri dokumentari OUTBOUND?
Selepas UNTAMED, JDT+ akan memperkenalkan OUTBOUND, sebuah siri dokumentari tahunan yang mengikuti kempen JDT dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit.
Siri ini akan meletakkan aspirasi JDT di peringkat benua sebagai fokus utama dalam fasa seterusnya pembangunan platform tersebut.
Alistair Edwards, Ketua Pegawai Operasi JDT menjelaskan bahawa JDT semakin mengukur kemajuan mereka berdasarkan persaingan dengan pasukan dari seluruh Asia.
“Apabila kami bermain dalam Liga Juara-Juara, kami menewaskan juara Korea, kami menewaskan juara Jepun dan kami bersaing pada tahap ini,” kata Edwards kepada pencipta kandungan, Emmanuel Brown.
Menerusi UNTAMED dan OUTBOUND, para penyokong berpeluang mengikuti asas yang membentuk aspirasi tersebut serta usaha kelab untuk merealisasikannya.
“JDT+ merupakan sebahagian daripada visi tersebut,” kata Garcia.
“Platform ini mendekatkan para penyokong dengan kelab dan membolehkan kami menceritakan kisah JDT dengan lebih mendalam serta autentik. Dan ini hanyalah permulaan.”
Sumber: https://www.sportingnews.com/…/465618490826b52bd43493e8
Hidup Johor Demi Johor
